KAMI SOKONG ANWAR
Ada tiga peristiwa yang rakyat tidak tahu dan
peristiwa-peristiwa ini tidak pernah diceritakan oleh Anwar Ibrahim kepada ahli
ahli KEADILAN sendiri. Sudah tiba masanya saya merasakan rakyat perlu tahu
supaya mereka boleh membuat perbandingan mengenai prinsip perjuangan dan
pengorbanan yang diambil antara kedua-dua tokoh ini.
Peristiwa Pertama
Menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) pemimpin-pemimpin
Pakatan Harapan (PH) kerap membuat perbincangan mengenai siapakah yang akan
diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri ke-7. Oleh kerana ketika itu Anwar
Ibrahim masih di dalam penjara manakala Tun Mahathir pula sudah agak lanjut
usianya maka Muhyiddin Yassin merasai dirinya layak dicalonkan. Di sinilah
bermulanya episod kerjasama di antara Muhyiddin Yassin dengan Azmin Ali.
Muhyiddin telah menemui Anwar di mahkamah untuk mendapatkan
persetujuan beliau. Janji Muhyiddin kepada Anwar, beliau akan menjadi Perdana
Menteri (PM) untuk tempoh dua tahun saja dan kemudian akan menyerahkan jawatan
PM kepada Anwar sebaik selepas Anwar mendapat pengampunan dan kembali semula ke
Parlimen.
Anwar dengan berlapang dada bersetuju dan menyokong cadangan
Muhyiddin. Anwar seterusnya meminta Muhyiddin membawa cadangan tersebut dan
berbincang dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan. Lim Kit Siang juga
difahamkan pernah mengusulkan nama Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke- 7
sementara menunggu Anwar dibebaskan dari penjara.
Bagaimanapun, sebelum cadangan ini dibawa ke Majlis Presiden PH,
Muhyiddin terlebih dahulu membentangnya dalam satu mesyuarat Majlis Tertinggi
Bersatu. Di situ, Muhyiddin turut memberitahu mesyuarat tersebut bahawa Azmin
Ali akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri jika PH berjaya membentuk
kerajaan dalam PRU14.
Namun malangnya cadangan Muhyiddin itu tidak mendapat restu dan
sokongan majoriti ahli MKT Bersatu lantas perdebatan hangat telah berlaku di
antara penyokong Tun Mahathir dengan Muhyiddin. Pertikaman lidah turut berlaku
di antara Setiausaha Politik Tun Mahathir iaitu Muhammad Zahid Mat Arip dengan
Muhyiddin sehingga Tun Mahathir terpaksa mencelah.
Tun Mahathir meminta supaya mesyuarat tidak lagi membincangkan
akan isu siapa yang harus menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri
kerana apabila tiba masanya beliau (TDM) dan Tun Daim akan berbincang dengan
Anwar sendiri.
Perancangan awal Muhyiddin-Azmin inilah antara punca utama
mengapa Azmin menolak cadangan Majlis Presiden PH kemudiannya apabila Majlis
Presiden PH telah menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri ke-7. Di
khabarkan Azmin dengan marah dan muka merah bertindak meninggalkan dewan
mesyuarat.
Justeru tindakan Azmin yang diketahui ramai sekarang iaitu
meninggalkan Tun Mahathir dan menyokong Muhyiddin bukanlah sesuatu yang
mengejutkan.
Peristiwa Kedua
Peristiwa ini berlaku selepas Pakatan Harapan memenangi PRU14.
Sebaik sahaja SPR mengumumkan kemenangan Pakatan Harapan, Tun Mahathir terus
bertanya kepada Muhyiddin jawatan apakah yang beliau mahu.
Muhyiddin ketika itu meminta jawatan Menteri Kewangan diberi
kepadanya atas alasan beliau adalah seorang bekas Timbalan Perdana Menteri dan
pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan. Tun Mahathir bersetuju dengan
permintaan Muhyiddin itu.
Setelah mendengar persetujuan dan janji Tun Mahathir itu,
Muhyiddin dengan penuh yakin pulang ke Johor Bahru untuk menyembah nama calon
Menteri Besar Johor kepada Baginda Sultan.
Sekembalinya Muhyiddin ke Kuala Lumpur beliau mendapat tahu
bahawa jawatan Menteri Kewangan telah diberikan Tun Mahathir kepada Lim Guan
Eng manakala beliau pula diberikan jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.
Muhyiddin bergegas bersemuka dengan Tun Mahathir lalu menagih
janji Tun Mahathir padanya. Tun Mahathir menerangkan kepada Muhyiddin bahawa
DAP telah meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri-2 namun setelah perbincangan
dan sebagai tindakan tolak ansur Tun Mahathir telah berjanji untuk melantik Lim
Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.
Dengan perasaan amat kecewa dan marah dengan alasan yang
diberikan Tun Mahathir, Muhyiddin lantas memberitahu kepada Anwar Ibrahim
bahawa beliau akan meletakkan jawatannya.
Anwar dengan tekun dan penuh hormat meminta agar Muhyiddin
bersabar kerana kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional pada
PRU14 adalah lebih besar ertinya dari sebuah jawatan.
Kata Anwar, apa yang berlaku kepada Muhyiddin adalah terlalu
kecil berbanding jumlah jawatan dalam kabinet yang diberi kepada KEADILAN
walaupun KEADILAN pada selepas PRU itu memiliki kerusi parlimen terbanyak.
Anwar berkali-kali meminta agar Muhyiddin bersabar kerana sukar
bagi beliau nanti untuk melantik Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri
jika Muhyiddin meletakkan jawatan beliau. Pada ketika itulah Anwar berjanji
akan melantik Muhyiddin sebagai TPM apabila Anwar mengambil alih jawatan
Perdana Menteri daripada Tun Mahathir dalam tempoh dua tahun seperti yang
dijanjikan oleh Tun Mahathir.
Peristiwa Ketiga
Peristiwa ini berlaku beberapa bulan lalu apabila Tun Mahathir
meminta Muhyiddin mengharamkan UMNO. Tindakan mengharamkan UMNO adalah strategi
akhir Tun Mahathir bilamana beliau mendapati tidak ramai Ahli Parlimen UMNO
menyeberang dan menyertai Bersatu. Matlamat akhir Tun Mahathir ialah untuk
membina Parti Bersatu sebagai pengganti UMNO.
Muhyiddin bersetuju dan turut menyokong langkah ini. Fail dan
dokumen untuk membatalkan pendaftaran UMNO telah disediakan dan sudah pun
berada di atas mejanya. Hal ini pernah diceritakan oleh Presiden UMNO Zahid
Hamidi kepada MKT UMNO bagi menghalalkan langkahnya untuk berunding dengan Tun
Mahathir.
Apabila rancangan untuk mengharamkan UMNO ini diketahui Anwar,
beliau bergegas menemui Muhyiddin dan berhujah menyanggah tindakan itu.
Kata Anwar, UMNO adalah legasi perjuangan Melayu menuntut
kemerdekaan yang turut disertai ibu ayah dan keluarga kita semua. Pengharaman
UMNO akan menjadi satu tragedi hitam yang akan menyayatkan hati seluruh umat
Melayu termasuk Raja-raja Melayu.
Kata Anwar lagi kepada Muhyiddin, jika pengharaman ini berlaku
maka Tun Mahathir dan Pakatan Harapan akan dikutuk oleh orang Melayu dan kita
semua akan dicatat sebagai pengkhianat bangsa.
Hujah Anwar, UMNO tidak berdosa tetapi yang berdosa ialah
pemimpinnya. Sekiranya UMNO diharamkan sudah pasti proses di Mahkamah akan
memakan masa dan kerajaan PH tidak mampu menumpukan seluruh perhatian kepada
pembinaan semula negara yang hampir muflis. Lebih parah lagi rakyat akan
percaya dengan dakyah pembangkang bahawa PH adalah kuda tunggangan DAP. Pakatan
Harapan pasti akan kalah pada PRU akan datang.
Alhamdulillah akhirnya Muhyiddin akur dengan hujah Anwar dan
UMNO terselamat darpada diharamkan.
Bayangkanlah dimana kedudukan Muhyiddin sekarang jika beliau
mengikut nafsu amarah dan meletakkan jawatannya.
Bayangkanlah apa yang akan terjadi kepada seluruh ahli-ahli UMNO
sekiranya UMNO berjaya diharamkan?
Yang pasti, tentu sekali pada hari ini tidak akan wujud
Perikatan Nasional jika UMNO diharamkan dan sudah tentulah Muhyiddin tidak akan
menjadi Perdana Menteri ke-8.
Maka Muhyiddin sewajarnya berterima kasih kepada Anwar kerana
keikhlasan Anwar menasihati beliau. Bahkan seluruh Ahli Parlimen dan ahli Umno
juga wajar berterima kasih kepada Anwar kerana sosok yang pernah difitnah dan
diaibkan oleh pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO inilah yang telah bertindak
menyelamatkan UMNO daripada diharamkan.
Maka, tepuk dada tanyalah hati berfikirlah dengan nurani yang
tulus untuk menilai pengorbanan sebenar antara Anwar dengan Muhyiddin dan juga
pemimpin politik yang lain.
Sesungguhnya Ini adalah satu episod hitam yang benar-benar telah
meninggalkan parut yang mendalam dalam sejarah tanah air kita yang tercinta.
“Bijak berpenchak langkah bertukar
Bijak berakal mengawal diri
Adat berhutang kami membayar
Adat berjanji kami tepati”
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Penerangan,
Parti
Keadilan Rakyat.
No comments:
Post a Comment