Kenyataan Bersama
YAB Perdana Menteri Dan Pemimpin-Pemimpin
Pembangkang
25 Ogos 2021
Menjunjung kasih di atas nasihat Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah
Al-Musta’in Billah untuk meredakan suhu politik dalam negara, Perdana Menteri,
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah menjemput pemimpin-pemimpin pembangkang
untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan bagi merealisasikan titah hasrat
Baginda Tuanku.
Hadir dalam pertemuan tersebut adalah YB Dato’
Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),
YB Tuan Haji Mohamad Sabu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan YB Tuan
Lim Guan Eng, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Pejabat
Perdana Menteri di Putrajaya.
Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam
ini, tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan
yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan
keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada
cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
Persetujuan bersama dicapai dalam memperkasa
fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan
konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus
dan memenuhi kehendak rakyat.
Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya
kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang
baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam
konteks ‘Keluarga Malaysia’.
YAB Dato Sri Ismail Sabri Yaakob
Perdana Menteri
YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang
Presiden PKR
YB Tuan Haji Mohamad Sabu
Presiden AMANAH
YB Tuan Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP
No comments:
Post a Comment