March 25, 2024

 

KALAU JENIS MALAS MEMBACA, SATU HAPA PUN TAK TAU.

 

Anwar Ibrahim mendapat pujian hasil kenyataan tegasnya mengenai konflik di Gaza diluahnya semasa lawatannya ke Jerman tempoh hari. Apa yang dikatakan perdana menteri tidak perlu saya perinci di sini kerana pasti ramai sudah tahu. Cukup untuk dinyatakan bahawa Anwar “diasak” wartawan Jerman pada sidang media di Berlin mengenai pendirian keras Malaysia terhadap Israel dan keengganan menggelar Hamas kumpulan pengganas.

Ringkasan reaksi Anwar begini. Dasar Malaysia kata beliau adalah konsisten – menentang penjajahan, aparteid, penghapusan etnik dan rampasan harta di mana-mana negara tidak kira Ukraine atau di Gaza.

“Kita tidak boleh padam 40 tahun kezaliman dan pengusiran yang mengakibatkan reaksi dan kemarahan pihak yang menjadi mangsa. Hubungan kami dengan Hamas adalah dengan sayap politiknya dan kami tidak perlu rasa bersalah atau perlu minta maaf tentang hal ini,” kata beliau.

Sememangnya kata kata Anwar berapi dan tidak apologetik. Sidang media beliau masih boleh ditonton di YouTube secara keseluruhan atau pun sedutan beberapa klip. Yang jelas naratif media Jerman malah antarabangsa berbunyi “Malaysia lectures Germany on human rights”. Satu lagi “Malaysia condemns West hypocrisy”.

Paling menarik kenyataan keras itu dibuat di hadapan Canselor Jerman Olaf Scholz pada sidang media bersama di Berlin itu. Kita tahu Jerman menyokong Israel dan menyifatkan serangan ganas Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza sebagai hak Israel mempertahankan diri setelah diserang Hamas 7 Okt lalu. Pendirian Jerman, Olaf diulangi pada sidang media itu sebelum Anwar berkata apa yang beliau kata.

Podcast Keluar Sekejap dikendali Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan baru- baru ini mengulas kenyataan Anwar. Kata KJ perlu diingat sidang media diadakan di Jerman yakni “di gelanggang lawan” tetapi beliau kagum dan bangga perdana menteri “tidak berlapik, tidak beralas malah respons beliau bukan sekadar satu dua ayat tetapi respons yang komprehensif”.

Kata Shahril “dalam konteks ini PM kita tidak takut dan tidak terbawa-bawa dengan suasana sesuatu tempat. Maksud saya bila kita pergi ke tempat orang kita dikelilingi dengan suasana tertentu. ‘Mindset’ kita mungkin macam mana nak sesuaikan diri dengan keadaan dan kita boleh kompromi dengan apa yang kita percaya. Dalam hal ini saya yakin jika pemimpin yang tidak tegas dalam pendiriannya akan ‘just follow the flow’ dia akan keluarkan kenyataan yang ok ok untuk selesaikan soalan ini dan pergi ke soalan seterusnya”.

Kesimpulannya KJ dan Shahil berpendapat PMX “mengharumkan nama Malaysia dan tegas di hadapan pemimpin Jerman dalam isu Palestin”.

Dalam penerbangan pulang ke tanah air dari Hamburg setelah apa yang Anwar sifatkan “a hectic, punishing but highly productive official visit to Germany”, beliau mungkin untuk relaks membaca buku berjudul “Until August”. Gambar beliau membaca buku dalam ‘flight’ dipos di Facebook.

Bukan sesuatu yang pelik Anwar baca buku. Beliau dikenali penggemar dan pembaca tegar buku khususnya karya besar sasterawan dan penulis terkenal dunia. Buku “Until August” dikarang Gabriel Garcia Marquez sasterawan “luar biasa”, kata penggemar buku.

Anwar dikata banyak membaca karya Marquez atau Gabo. Tetapi karya kali ini agak berbeza. ‘For starters’ ia nipis. Cuma lebih kurang 130 muka surat. Menurut hantaran Facebook Anwar menyifatkan buku itu sebagai “a fine read” walaupun tidak mencapai kehebatan karya Gabo terdahulu. “But I am not complaining” kata beliau sambil menyifatkan buku itu sesuatu yang menarik dan sukar untuk berhenti baca.

“Until August” dicetak setelah Gabo meninggal dunia. Sebenarnya mendiang tidak mahu lantas tidak izin buku itu dicetak. Bagaimanapun anak-anaknya tidak pedulikan pesan si ayah. Lahirlah “Until August” untuk sajian seluruh dunia.

Sebaik hantaran di Facebook Anwar membaca buku itu seorang kawan menghantar mesej melalui WhatsApp untuk memberitahu mengikut ulasan di media sosial isinya “boleh tahan cabulnya”. Dan “jika ada musuh politik yang selidik tentang isi novel ini tentu riuh-rendah jadinya”.

Memang betul jangkaan kawan saya. Bukan sekadar riuh-rendah. Anwar dikecam dan diserang hebat. “Until August” menceritakan perihal seorang wanita yang sudah bersuami pergi ke Pulau Caribbean setiap bulan Ogos mencari cinta baharu dengan lelaki lain.

Pengkritik Anwar melihat buku itu bagai “porno”. Mereka pantas dan tangkas membidas, mengkritik dan menyerang. Pelbagai tuduhan dilempar di media sosial menggunakan bahasa kasar dan kesat yang saya tidak cadang mengulanginya. Sekadar menyatakan mereka mencemuh Anwar kerana membaca “Until August” terutama pada bulan Ramadan.

“Amalan membaca memang mulia dan sepatutnya diteladani. Menunjukkan kepada masyarakat kepentingan membaca juga sesuatu yang harus dipuji. Tetapi bukan semua buku sesuai dibaca oleh semua orang. Tak semua yang kita baca boleh ditayang kepada umum. Malah apa keperluan?” kata salah seorang pengkritik Anwar. Kritikan beliau adalah antara yang “sopan”. Tidak ramai yang sesopan itu.

Seorang kawan lama yang amat meminati presiden PAS menyiarkan di Facebooknya gambar Hadi Awang membaca buku mengenai takwa untuk dibandingkan dengan gambar Anwar membaca “Until August”. Mengiringi gambar ditulis kapsyen “dua-dua suka buku”. Rasanya boleh difahami mesej apa yang mahu disampaikan.

Saya tampilkan Fathi Aris Omar aktivis media yang umum tahu penggemar dan pembaca tegar buku-buku hebat. Kata beliau menerusi Facebook: “Anwar tidak membaca buku lucah apabila menghabiskan Until August. Bukan begitu tumpuan Marquez walau selalu muncul cerita anak haram, hubungan sulit, kecurangan atau pelacur dalam karyanya”.

Kata beliau, Marquez seperti sasterawan besar abad ke-20 mengupas persoalan budaya dan politik lebih besar melalui watak dan ceritanya. Mendiang bercerita tentang kolonialisme Eropah dan ingatan kolektif.

Lantas Fathi berkata kepada pengecam PMX “saya cadang elok mereka berkenalan dengan buku ini untuk mengenali siapa manusia bernama Gabriel Garcia Marquez”.

Nasihat yang bagus pada hemat saya. Cuma bagi pengecam Anwar mereka lihat apa yang mahu dilihat dan percaya apa yang mereka mahu percaya.

No comments:

Post a Comment