February 05, 2009

PADAH LOMPAT-MELOMPAT

Saudara Mustaffa Kamal, Setiausaha Perhubungan Pulau Pinang


Sejak beberapa hari lalu, perkembangan di Perak menjadi tanda tanya kepada semua peminat politik tanah air, khusus penyokong Pakatan Rakyat. Pertanyaan bertali arus menghubungi Pejabat Keadilan Pulau Pinang.

Setiausaha Perhubungan Negeri, Saudara Mustaffa Kamal memberi komen yang jelas kepada penyokong parti.

“Perubahan atau melompat parti adalah perkara biasa yang berlaku di dalam senario politik tanah air. Di dalam UMNO, Tengku Razaleigh, Rais Yatim dan ramai lagi keluar UMNO dan menubuh Semangat 46.”

“Akan tetapi apabila wakil rakyat UMNO menyertai keadilan, UMNO beria-ia mendesak supaya diperkenalkan undang-undang anti lompat. Di mana letaknya kesungguhan mereka apabila wakil rakyat keadilan mentertai UMNO?” ujar Saudara Mustaffa Kamal.

“Wakil rakyat atau ahli boleh meninggal parti akan tetapi parti akan tetap utuh dan mantap,” tambah beliau.

Bekas pemimpin agung Umno Tun Dr Mahathir Mohamad mencatatkan dalam blognya:

“Apakah Umno begitu terdesak sehingga tidak dapat tunggu keputusan mahkamah berkenaan tuduhan terhadap mereka sebelum menerima mereka? Jika diterima sekarang dan kemudian mereka didapati tidak bersalah maka kerajaan pimpinan Umno (lebih kurang) akan dituduh mempengaruhi mahkamah. Benar tidak benar bukan soalnya. Pada pandangan masyarakat tuduhan ini tetap akan dipercayai. Ia akan punyai kesan dalam (pilihan raya umum ke-13).

“Umno sudah dianggap bergelumang dengan rasuah, selalu mungkir janji, mengutamakan kroni Perdana Menteri di Terengganu. Jika kepada semua ini ditambah pula dengan penerimaan orang yang dituduh melakukan rasuah seks, imej Umno akan jadi lebih buruk.”

Senyuman para pemimpin Umno dan BN yang dilihat di kaca TV sewaktu mengumumkan sokongan wakil-wakil rakyat daripada Pakatan kepada BN di Putrajaya hari ini mempunyai makna yang tersendiri.

Dua kali BN ditolak rakyat dan tersungkur dalam pilihan raya kecil sejak Mac 8 tahun lalu; dengan mudah sahaja ia menumbangkan sebuah kerajaan negeri melalui lompatan dalam sekelip mata.

Sekarang semua wakil rakyat boleh melompat.

Yang mengetap bibir menahan pilu adalah rakyat Malaysia yang bergelar pengundi. Igauan Sabah di mana fenomena “YBs For Sale” berleluasa sepanjang tahun-tahun 1990-an kini sudah merebak di Semenanjung.

Dan sekarang rakyat Malaysia di Semenanjung tidak boleh lagi mendabik dada kononnya hanya di Sabah ahli-ahli politik mudah dijual beli.

Apa yang dianggap sebagai tamparan hebat kepada Umno tidak sampai dua minggu lalu kini menempeleng kepimpinan Pakatan Rakyat.

Nasarudin melompat semula kepada Umno manakala dua exco kerajaan negeri Jamaluddin Mohd Radzi dan Osman Jailu, kedua-duanya dari PKR, dan timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Hee Yit Foong dari DAP mengisytiharkan diri wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

Dengan itu, “kejayaan” melompat ini meletakkan BN sebagai parti dengan kelebihan majoriti tiga kerusi iaitu 31 berbanding 28 milik bersama PKR, DAP dan Pas. Sama ada BN menubuhkan kerajaan negeri Perak akan ditentukan dalam masa sehari dua ini.
Yang pasti, pemimpin dan ahli parti-parti Pakatan Rakyat marah dan melenting dengan tindakan tiga wakil rakyat mereka melompat parti.

Yang pasti, penyokong-penyokong Pakatan Rakyat semakin membenci Umno dan Barisan Nasional kerana didakwa menggunakan umpan wang dan pangkat serta ugutan untuk menarik wakil-wakil rakyat Pakatan.

Sepertimana wakil rakyat Bota, Dato' Nasaruddin menyatakan beliau bukannya lompat parti, akan tepi beliau berhijrah dari UMNO ke PKR, sekarang beliau berhijrah semula kepada UMNO.

Persolannya apakah matlamat hijrah beliau? Tepuk dada tanya selera.

No comments:

Post a Comment