Pegawai Penjara lawat rumah
Najib, dipercayai nilai kesesuaian untuk tahanan rumah
Dua kenderaan yang tertera logo Jabatan Penjara dilaporkan dilihat memasuki
kediaman bekas perdana menteri Najib Razak, di kawasan mewah di Jalan Langgak
Duta hari ini.
Menurut laporan New Straits Times, kenderaan berkenaan yang
dipercayai membawa beberapa pegawai Jabatan Penjara memasuki kawasan kediaman
itu kira-kira jam 9.40 pagi.
Menurut laporan itu, pegawai berkenaan berada di situ untuk menilai
kesesuaian kediaman tersebut sebagai lokasi Najib menjalani tahanan rumah.
Beberapa pegawai kemudiannya dilihat memeriksa kawasan sekitar kediaman
selama kira-kira 15 minit sebelum kembali ke kawasan rumah.
Pegawai berkenaan dilaporkan meninggalkan kediaman itu kira-kira jam 11.50
pagi.
Malaysiakini telah menghubungi pembantu Najib, Ahmad Lutfi Azhar, untuk
mendapatkan komen.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberikan pengampunan
bersyarat kepada Najib untuk membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani
baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Bagaimanapun, pengampunan itu disertakan syarat bahawa Najib perlu membayar
denda RM50 juta dan mematuhi semua syarat yang dikenakan di bawah pengampunan
berkenaan.
Semalam, Peguam Negara Dusuki Mokhtar menjelaskan bahawa pengampunan
bersyarat yang diberikan kepada Najib hanya terpakai terhadap hukuman penjara
yang dikenakan dalam kes SRC International.
Penjelasan Dusuki bermakna Najib mungkin perlu kembali ke penjara kerana
masih berdepan beberapa pertuduhan jenayah lain di mahkamah.
Ini termasuk hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur tahun lalu selepas dia disabitkan atas 25 pertuduhan dalam kes
1MDB. Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar denda RM11.38 bilion.
Najib kini sedang merayu terhadap sabitan tersebut.
Bekas ahli Parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara atas tujuh
pertuduhan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram
membabitkan lebih RM42 juta milik SRC International.
Bekas presiden Umno itu pertama kali disabitkan atas semua pertuduhan itu
oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 selepas menjalani perbicaraan panjang, dan
dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah
Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya serta mengekalkan sabitan
terhadapnya.
Bagaimanapun, pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan
separuh hukuman penjara daripada 12 tahu kepada enam tahun dan mengurangkan
denda RM210 juta kepada RM50 juta.
Ketika itu, lembaga berkenaan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ketika
itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.





