REFORMASI
TATAKELOLA
Kerajaan
MADANI menegaskan pendirian yang jelas, berprinsip dan tidak akan berkompromi
dalam soal tatakelola bagi memastikan kestabilan ekonomi negara jangka panjang.
Perdana Menteri
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga tidak akan bertoleransi terhadap
amalan rasuah dan menegaskan bahawa tiada pengecualian akan diberikan kepada
mana-mana pihak, termasuk golongan yang mempunyai pengaruh atau hubungan luas.
Beliau
menekankan bahawa akauntabiliti adalah tunjang kepada kredibiliti sesebuah
negara, yang seterusnya menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"Ini
bukan sekadar kempen untuk mengejar tajuk berita (headlines), mahupun
fasa yang bersifat sementara. Ia adalah pengakuan bahawa keyakinan yang
berpanjangan bergantung kepada kepastian bahawa undang-undang terpakai secara
saksama kepada semua.
"Apabila
penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten, kepercayaan dapat dipulihkan dan
institusi akan kembali mendapat kewibawaannya," katanya.
Beliau
berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi Malaysia (FEM)
2026 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Beliau
bagaimanapun menjelaskan bahawa aspek penguatkuasaan semata-mata tidak
mencukupi, justeru agenda reformasi institusi akan terus diperkasakan tanpa
henti dan tanpa perlu memohon maaf kepada mana-mana pihak.
Jelas beliau
lagi, pengukuhan institusi adalah kritikal bagi memastikan integriti negara
tidak bergantung kepada keperibadian individu, sebaliknya berpaksikan kepada
sistem yang teguh.
"Peraturan
mesti mengatasi individu. Reformasi mesti kekal bertahan melampaui kitaran
politik," tegas beliau.
Mengulas
lanjut, beliau berkata, usaha-usaha tersebut kini mula membuahkan hasil apabila
komuniti pelabur menunjukkan respons positif terhadap ketekalan dan
kebolehramalan (dasar yang dibawa kerajaan.
Beliau
berkata para pelabur kini melihat tatakelola yang lebih kukuh, hala tuju yang
lebih jelas serta keseriusan Malaysia dalam mengekalkan kestabilan jangka
panjang.

No comments:
Post a Comment