KEDUDUKAN PKR PADA TAHAP TERBAIK
Kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
hari ini berada pada tahap terbaik dan ia perlu dimanfaatkan untuk terus
memperkukuh kekuatan di peringkat cabang serta negeri.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata, hal itu berikutan parti-parti lain di negara ini, khususnya
pembangkang, dilihat dalam keadaan tidak stabil.
Menurutnya, keadaan semasa ini penting
bagi mengekalkan dan mengukuhkan cabang parti sebagai asas kekuatan parti
tersebut.
"PKR berada pada tahap terbaik
sekarang, jadi bagaimana hendak kukuhkan parti dan cabang. Latihan untuk ahli
baharu perlu diterima dan mereka perlu mengikuti beberapa program
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata,
kekuatan parti tidak boleh bergantung kepada individu semata-mata, sebaliknya
memerlukan kerjasama berpasukan dan disiplin dalam organisasi.
Beliau turut menekankan kepentingan
latihan kepada ahli baharu bagi memastikan mereka memahami dasar serta
perjuangan parti.
Jelasnya, ahli baharu mesti mengikuti
beberapa program latihan sebelum benar-benar memikul tanggungjawab.
"Jangan anggap bila sudah menyertai
parti, semuanya sudah diketahui,” ujarnya.
Mengulas kerjasama dalam Kerajaan
Perpaduan, beliau berkata, wakil PKR bersama parti lain termasuk UMNO, Gabungan
Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu bekerja sebagai satu
pasukan.
“Kita mesti bekerja seolah-olah satu
suara dan satu pasukan. Soal dalaman jangan sampai melemahkan parti,” tegasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan
parti menyantuni golongan wanita dan veteran sebagai sebahagian daripada usaha
memperkukuh sokongan akar umbi.
Anwar yakin dengan rekod pentadbiran
serta tadbir urus yang ditunjukkan, PKR berpotensi bangkit sebagai kekuatan
politik yang lebih kukuh pada masa akan datang.

No comments:
Post a Comment