September 19, 2009

Kita Dan Hari Raya



Di ambang perpisahan
Ramadhan 1430 H diambang perpisahan dan akan meninggalkan kita lagi untuk kali ini. Seharusnya umat Islam melahirkan perasaan sedih untuk berpisah dengan Ramadhan kali ini.. Semoga kita dapat menghabiskan sisa fasa ketiga dengan sebaiknya. Dalam fasa ketiga ini umat Islam diseru untuk berusaha mencari Lailatul Qadar (Malam al-Qadar). Malam al-Qadar merupakan satu anugerah yang sangat istimewa kepada umat Islam umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Eidul Fitri (Hari Raya Fitrah) yang mana ianya akan disambut pada 1 Syawal. Ketibaan Bulan Syawal seharusnya disambut dengan penuh rasa keinsafan dan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wata’aala yang mengurniakan kita nikmat yang banyak dan tidak terhitung nilainya.

Fenomena yang melenyapkan perasaan sedih
Ketika umat Islam berada di penghujung Bulan Ramadhan, lagu-lagu raya dan promosi filem-filem mula menghiasi kaca-kaca televisyen. Kita berasa sangat sedih dengan fenomena seperti ini. Fenomena ini akan menyebabkan umat Islam langsung tidak menyedari bahawa Ramadhan akan meninggalkannya dan tiada lagi perasaan sedih untuk berpisah dengan Ramadhan. Hakikatnya tiada siapa pun yang dapat memastikan dirinya akan berjumpa dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Segalanya berada dalam pengetahuan Allah Subhanahu Wata’aala.

Amat malang bagi umat Islam hari ini yang tidak dididik untuk bersedih apabila berpisah dengan Madrasah Ramadhan. Kanak-kanak dilalaikan dengan permainan mercun dan bunga api yang jelas membazir malah membahayakan dan bukannya dididik untuk bertakbir. Sepatutnya semenjak kecil lagi kanak-kanak diasuh untuk menghayati Ramadhan dan menghayati tatacara menyambut ketibaan Hari Raya menurut ajaran Islam yang sebenar. Manakala umat Islam yang lain disibukkan dengan aktiviti membeli-belah, membuat kuih-muih dan pelbagai aktiviti lain. Malah terdapat gedung-gedung dan pasaraya yang melanjutkan tempoh perniagaan mereka sehingga larut malam pada hujung Ramadhan bagi membolehkan umat Islam terus dapat membeli-belah persiapan untuk menyambut Eidul Fitri.

Sesungguhnya fenomena seperti ini sedikit demi sedikit akan menyebabkan umat Islam terlupa akan saat untuk berpisah dengan Madrasah Ramadhan. Sedangkan Nabi dan para sahabat menjadikan 10 terakhir Ramadhan untuk melipat gandakan ibadah untuk mencari ‘lailatul qadar’. Saya pernah mendengar saranan penceramah di dalam radio agar segala persiapan hari raya ini diselesaikan terlebih awal iaitu sebelum Bulan Ramadhan lagi. Saya merasakan ada baiknya saranan tersebut dilakukan oleh seluruh umat Islam bagi memastikan kita dapat memaksimakan amalan-amalan di Bulan Ramadhan.

Hari Raya Hari Kemenangan
Eidul Fitri akan disambut oleh seluruh umat Islam pada 1 Syawal pada tiap-tiap tahun. Perkataan ‘Eid’ beerti perayaan atau hari ulang tahun manakala perkataan ‘fitri’ pula bermakna berbuka atau makan minum. Dengan makna lain pada hari raya umat Islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa.

Eidul Fitri merupakan hari kemenangan kepada seluruh umat Islam yang telah berusaha bersungguh-sungguh mentaati seluruh perintah Allah Subhanahu Wata’aala dan berusaha untuk menundukkan nafsu di bulan yang mulia iaitu Bulan Ramadhan. Sebulan di Bulan Ramadhan umat Islam diuji dengan pelbagai ujian. Ada yang diuji dengan ujian kesakitan, ujian kesusahan hidup dan ujian kelaparan. Maka umat Islam yang dapat mengharungi mehnah dan tribulasi dengan sabar dan penuh keredhaan merupakan umat Islam yang berjaya.

Di Bulan Ramadhan kita diperintahkan supaya bersederhana ketika berbuka puasa dan begitu jugalah dalam menyambut Eidul Fitri (Hari Raya Fitrah). Islam tidak melarang umatnya untuk bergembira tetapi janganlah keterlaluan dan berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran dalam menyambut Hari Lebaran.

Cara menyambut Eidul Fitri menurut Syariat
Di sini dinyatakan cara umat Islam menyambut Eidul Fitri menurut Syariat Islam. Antaranya ialah:
1. Memperbanyakkan ucapan takbir
2. Menunaikan zakat fitrah
3. Menunaikan solat Eidul Fitri
4. Saling bermaaf-maafan
5. Saling ziarah menziarahi
6. Bersederhana
7. Puasa Sunat 6 Hari di Bulan Syawal
8. Meneruskan qiamullail
9. Mandi pada pagi hari raya
10. Makan sebelum solat Eidul Fitri
11. Memakai pakaian yang indah
12. Bergembira di Eidul Fitri

Inilah merupakan sebahagian daripada amalan-amalan yang disyariatkan dan diajar oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ketika menyambut Eidul Fitri. Semoga Eidul fitri pada tahun ini dapat kita sambut dengan penuh keinsafan dan kesyukuran serta kemeriahan bertepatan dengan suruhan Allah Subhanahu Wata’aala dan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Selamat Menyambut Eidul Fitri. Maaf Zahir Dan Batin. Daripada
 http://abuaiman786.blogspot.com


No comments:

Post a Comment