July 18, 2011

Catatan 709: Propaganda murahan tidak laku

Demokrasi mempunyai dua aspek. Pertama-tama, sebagai sebuah sistem dan bentuk negara dan kedua sebagai nilai-nilai universal yang diperjuangkan demi kemanusiaan. Islam lebih kepada sebuah agama dan aturan hidup bermasyarakat, tidak berbicara tentang sistem, apalagi bentuk sebuah negara. Di Eropah pula, ide demokrasi dikembangkan melalui sekularisme (Niccolo Machiavelli), Negara Kontrak (Thomas Hobbes), pengasingan kuasa (John Locke) yang disempurnakan (Baron de Montesquieu), kedaulatan rakyat dan kontrak sosial (Jean-Jacques Rousseau). Doughlas Lummis kemudian datang dengan ide demokrasi radikal tentang perlunya meredefinisi demokrasi, kerana demokrasi kini telah menggantungkan maknanya pada para demagog. Katanya, "Democracy doesn't means 'feeling' powerful. It means holding real power…Radical democracy describes the adventure of human beings creating, with their own hands, the conditions for their freedom".

Proses inilah yang berlaku pada 9 Julai 2011/ 7 Sya’aban 1432. Perhimpunan aman BERSIH juga diadakan di 18 buah bandar, mungkin lebih, yang melibatkan New Zealand, Korea dan lain-lain. "Anwar Dalang Perhimpunan Haram", "BN Tak takut", "Proses demokrasi salah" dijadikan tajuk berita media perdana agar perhimpunan dipandang serong. Stadium Merdeka mula dicanang mempunyai simbol negara. Walhal pada suatu ketika, stadium itulah yang mengalu-alukan Justin Bieber dan bakal dirobohkan untuk mendirikan bangunan 100 tingkat. Ramai masih dalam bebalisme-nya itu, tidak terkecuali para cendekiawan, yang "ter"pelajar dan penganut agama rasis- masih kukuh pendirian "orang Melayu itu seperti boneka yang dimainkan 'bangsa' lain".

Perhimpunan 9 Julai antaranya melibatkan wakil rakyat seperti Saifudin Nasution dan Liew Chin Tong dan ramai lagi, basah dengan rahmat rabbal alamin. Mungkin mengejutkan ramai orang, tetapi yang melaungkan kata-kata semangat, bukan "boneka" Melayu sahaja, tetapi etnik Cina dan India.

Inilah Malaysia yang rakyat perlukan. Tiada sempadan kelas, etnik, agama, gender yang menghalang hasrat rakyat yang inginkan keadilan (atau dengan "K" besar). Tiada siapa-siapa yang mampu untuk berkompromi dengan penindasan.

PM iaitu Perdana Menteri yang tercinta turun padang hanya selepas 24 jam perhimpunan diadakan semalam. Tidak cukup berani untuk berdepan dengan massa semalam. Hari ini (10 Julai 2011), kelihatannya yang beramai-ramai bersama beliau itu hidungnya terletak, orang luar, mungkin orang yang sama dalam "perhimpunan" Patriot. Malah, orang awam mengatakan baju Patriot disebarkan dengan percuma kepada mamat-mamat Bangladesh di KL. NGO terus mengutuk perhimpunan ini seperti pengerusi silat gayong - meminjam kata Hishamudin Rais, taktik persilatan ghaib amat berkesan semalam.

"Baru kena sikit tear gas, muka dahi berkerut, macam dah kena belasah je…lepas tu dah terlentang di hospital."- PM

Benarlah kata Rosmah sebelum ini yang ditemubual akan hal suaminya, PM kita ini pandai bergurau! Jika lihat di berita TV3 jam 8 malam semalam, orang yang dimaksudkannya itu mungkin Khairi Jamaludin!

Malah, kodok besar yang selama ini menyanyikan lagu sumbang, juga tidak ada semalam. Kodok yang satu ini tidak lebih tidak kurang seperti Encik Ghaffar. Rakyat masih ingat kata-kata Ibrahim Ali yang lancang menyuruh Cina duduk rumah. Tanggal 9 Julai sudah cukup membuktikan pihak yang berani dan pihak yang kecut. BERSIH 2.0 dikatakan hanya akan melagakan Melayu sesamanya, menjayakan agenda pembangkang, menjadi alat kepentingan politik dan macam-macam lagi telah menunjukkan ia perayaan yang dikongsi rakyat multi etnik. Mereka berganding bahu melindungi satu sama lain, menghulur tangan bagi mereka yang tersungkur di jalan dan memberi air mineral dan garam kepada yang lain. Mereka yang merupakan "bangsa pendatang", "kafir", dan entah apa lagi tohmahan ini melindungi pakcik-pakcik tua dan anak muda tampan yang sedang solat dalam hujan tetapi diserang atas arahan parti yang dikatakan membela "bangsa" dan agama.

Di situ, hari itu, cukup membuktikan rakyat telah menolak politik primordial yang berasaskan warna kulit, agama, "bangsa". Mereka berkongsi agama Cinta, rentas agama, etnik/ kaum, gender; mendahulukan kebajikan bersama daripada kepentingan diri. Perempuan juga sehebat bilangan lelaki turun ke jalan, lagaknya tidak seperti Maria Sunari dan Musa Elba. OKU juga didapati hadir dan bergerak bersama dalam laungan "Hidup Rakyat", "Daulat Tuanku", dan nyanyian lagu Negaraku. Unit amal terus mengawal lalu lintas, mereka yang hadir walaupun tidak cukup jari yang mengira, membuka jalan kepada kereta-kereta, biarpun itu kereta polis! Pemandu, penumpang, malah mereka yang berada dalam monorail menyatakan sokongan mereka dengan membunyikan hon dan melambai-lambai. Siapakah gerangan yang senang-senang dibodohkan dengan "BERSIH 2.0 tidak mendapat sokongan"?

Seperti biasa, media TV1, TV2, TV3, NTV7 dan banyak lagi tidak akan putus-putus menyaring dan memilih berita yang serasi dengan kepentingan rejim sedia ada. Bukan semalam, tetapi sejak minggu-minggu lepas. Sekejap kerugian peniaga mencecah RM1 juta, sekejap RM100 juta? Setelah kerajaan mengarahkan peniaga-peniaga menutup kedai, kini melalui presiden Ikhlas dengan tag 1Malaysia di dadanya menawarkan khidmat percuma peguam kepada peniaga-peniaga?? Berita Harian juga tidak terlepas mempamerkan gambar pemuda memegang senjata berupa pisau semasa "perhimpunan haram". Propaganda murahan itu tidak laku. Media bukan satu. Rakyat multietnik semalam membawa bunga, membawa cinta kasih untuk disampaikan pada anjing-anjing penguasa. Turut kelihatan juga belon-belon kuning dengan mesej "balloons not bombs". Namun, semua itu dibalas dengan tuba.

Media sebagai aparatus politik terus mengabsahkan kata-kata dan tindakan kerajaan menipu orang ramai. Solidariti yang ditunjuk semalam itu tidak mampu dibeli dengan harga RM200, mungkin hanya dalam perhimpunan Belia di Putrajaya. 907 itu ekspresi rakyat yang mencapai kesedaran atas penindasan yang mereka alami. Pemerintahan BN selama lebih lima puluh tahun cukup untuk membuatkan siapa-siapa sahaja turun. Tambah lucu, penganjur dan pengikut perhimpunan ini dikatakan "menderhaka/ mengkhianati perintah YDP Agong". Orang ramai ada di Brickfields, ada di Hospital Tung Shin, dan ada juga yang memenuhkan jalan-jalan di hadapan KLCC, tertera "Daulat Tuanku" di situ. Mereka duduk. Sambil mendengar ucapan. Helikopter berlegar-legar di langit pun tidak mampu menutup suara dan telinga yang ingin mendengar. Ada juga yang sanggup keluar dari BMW untuk duduk mendengar bersama. Membuat stadium mereka sendiri. Semua ini gara-gara stadium tidak diberi, permit tidak dikeluarkan, "pertubuhan" BERSIH diharamkan kerana yang di atas itu tidak mampu atau mahu mengabulkan tuntutan berkehendakkan pilihan raya bersih.

Hari itu di sekitar Kuala Lumpur diakhiri dengan "tren rakyat". Di KL central pada malam harinya, kelihatan ramai yang melabuhkan punggung di lantai menantikan pembohongan tepat jam 8 malam. Berita Utama TV3 hanya menjadi hiburan bukannya alat hegemoni. Dalam tren, ramai yang masih melaungkan "Hidup hidup, hidup Rakyat!" sambil memberi laluan pada yang lain. Kata mereka ini tren rakyat, dan dengan senangnya perempuan masuk ke dalam gerabak bukan-perempuan. Budak- budak muda semuanya mendengar kata-kata nasihat dan komen orang tua yang juga penumpang. Gelak tawa seolah difahami pelancong luar yang ada. Sesudah tiga orang tua itu turun di Bandar Tasik Selatan, kedengaran takbir dilaung berkali-kali. Beberapa minit kemudian, tren berhenti di UKM. "FRU dan kereta black Maria telah menjadikan UKM sebagai tempat mereka keluar masuk." Universiti yang didirikan atas usaha rakyat, kini menjadi balaci penguasa yang zalim! Itulah mesej yang tertera di media baru seperti Tweeter, Facebook, WhatsApp.

Walaupun tidak dinafikan ia mungkin menjadi landasan buat mereka yang mempunyai kepentingan politik tetapi ia juga hasrat warga, hak yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak untuk bersuara. Penguasa bukan sahaja menggunakan berpuluh trak FRU tetapi polis dengan anjing buruan, polis yang berkuda di sekitar KL dan telah memberi amaran awal jika keadaan tidak terkawal, tembakan dengan peluru juga akan dibenarkan. "dispersed or we'll shoot" itu tidak lagi hanya tembakan gas pemedih mata. Penguasa harusnya menjalankan tanggungjawab melindungi rakyat bukan melindungi tembolok diri dan anak cucu cicitnya.

Nota:
i. Encik Ghaffar ialah watak dalam cerpen Tamrin Gil karya A. Samad Said.
ii. Maria Sunari dan Musa Elba ialah watak dalam karya A. Samad Said berjudul Malam Merangkak ke hujungnya.

**Aishah ialah penulis blog anak muda-DISKOPI. MerdekaReview mengalu-alukan tulisan daripada pembaca. Sila email kepada editorial_bm@merdekareview.com. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment