March 16, 2012

TOL jambatan P.Pinang akan dihapuskan

TOL jambatan P.Pinang akan dihapuskan jika Putrajaya ditawan Pakatan Rakyat Tol Jambatan Pulau Pinang akan dihapuskan jika rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang.
Itu adalah janji Pakatan yang disampaikan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang.

Setakat ini, semua janji yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang telah pun dilaksanakan.

Hanya janji yang melibatkan kuasa kerajaan pusat seperti pemansuhan tol dan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan belum dapat dilaksanakan kerana UMNO-Barisan Nasional masih berkuasa di peringkat persekutuan.

Pakatan Rakyat lebih memahami penderitaan rakyat berikutan tekanan ekonomi semasa, bukan sahaja kesan ekonomi global tetapi juga akibat pembaziran dan kehilangan wang rakyat kerana salah urus, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa kerajaan UMNO-BN.

Tidak cukup dengan itu, keangkuhan dan kesombongan pimpinan UMNO-BN masih menjadi amalan.

Sementara wang rakyat digunakan untuk memancing undi dan rasuah politik, kroni-kroni mereka mengambil kesempatan untuk meragut kekayaan negara yang sepatutnya diagihkan secara adil kepada golongan yang memerlukan.

Corak pentadbiran dan pengurusan UMNO-BN masih di takok lama. Mereka mudah lepas tangan untuk meletakkan beban di bahu rakyat daripada sanggup berkorban memenuhi keperluan rakyat.

Pakatan mahu hapuskan tol, UMNO-BN terus lanjut konsesi tol

Dalam isu tol Jambatan Pulau Pinang, kerajaan UMNO-BN terang-terangan tidak pedulikan rakyat. Apabila Pakatan Rakyat berjanji untuk menghapuskan tol tersebut, pimpinan UMNO-BN memberi jawapan kurang cerdik – negara akan bankrap jika tol berkenaan dimansuhkan.

Lebih dari itu, kerajaan pusat UMNO-BN telah melanjutkan pula tempoh konsesi kutipan tol Jambatan Pulau Pinang selama 17 tahun sehingga 2038! Alasan UMNO-BN untuk lanjutan itu adalah semata-mata kerana ia “bermurah hati” untuk tidak menaikkan kadar tol dalam masa tiga tahun akan datang.

Guan Eng telah pun menjelaskan bahawa alasan negara boleh bankrap kerana pemansuhan tol Jambatan Pulau Pinang serta tol-tol Lebuh Raya Utara-Selatan (NSE) dan Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) adalah tidak masuk akal dan dangkal.

Menurut beliau, jJambatan Pulau Pinang telah mengutip RM1.859 bilion dengan kos pembinaan RM944 juta, iaitu lebihan sebanyak RM924 juta.

Bagi BKE, tol yang dikutip berjumlah RM340 juta manakala kos pembinaannya RM256 juta, iaitu lebihan sebanyak RM84 juta, yakni rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan tol sehingga 31 Disember 2038, malah tol bagi Jambatan Pulau Pinang dan BKE harus dihentikan serta merta.

“Kos maksimum untuk pemansuhan NSE dan Jambatan Pulau Pinang adalah RM50 bilion, iaitu RM40 bilion untuk NSE dan RM10 bilion untuk Jambatan Pulau Pinang. Jumlah RM50 bilion tidak akan menjadikan negara bankrap.

“Yang akan menjadikan negara bankrap adalah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme. Lagipun, kos projek MRT baru pun sudah mencecah RM50 bilion,” tambah beliau.

Jambatan kedua belum siap, kerajaan UMNO-BN sibuk nak kutip tol

Yang terbaru, belum pun siap Jambatan Kedua Pulau Pinang, kerajaan UMNO-BN awal-awal lagi sudah mengumumkan kadar tol RM7 untuk kereta, dengan alasan bahawa ia harus sama dengan kadar yang dikenakan untuk jambatan yang sedia ada.

Malah, laporan versi online akhbar The Star hari ini menggambarkan seolah-olah sesuatu yang lucu bagi pihak kerajaan UMNO-BN apabila memetik Pengarah Utusan Jambatan Kedua Sdn Bhd Datuk Dr Ismail Mohamed Taib sebagai berkata bahawa pihaknya sebenarnya mahu kadar tol yang lebih rendah tetapi bimbang jika pihak jambatan pertama akan “bising”.

“Jambatan pertama Pulau Pinang sepatutnya menaikkan kadar kepada lebih RM9, jadi kami sedia ikut mereka. Bagaimana pun, apabila mereka mengesahkan kekal pada kadar RM7, maka kami pun akan kenakan kadar RM7,” kata Dr Ismail sebagaimana yang dipetik oleh akhbar tersebut.

Jambatan kedua itu dijangka siap pada September 2013.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Guan Eng sebelum ini, semakan semula dan pelanjutan tempoh konsesi tol sehingga 2038 telah dilakukan tanpa rundingan dengan rakyat dan hanya menguntungkan syarikat-syarikat pengendali tol.

Itulah cara, amalan dan budaya kerajaan UMNO-BN yang semakin jelas tidak akan berubah sama sekali, walau apa pun yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba janjikan atau laksanakan, termasuk menyalahgunakan wang rakyat sebagai gula-gula politik menjelang PRU ke-13.

No comments:

Post a Comment