Dua Hari lepas Teng Chang Yeow,
Pengerusi BN P Pinang, menunjukkan sifat rasis Gerakan. Teng telah memainkan isu
kaum dan agama yang sangat sempit semata-mata kerana politik sempit BN P Pinang.
Kali ini BN sekali lagi menunjukkan sikap bermuka-muka mereka dengan membidas
Lim Guan Eng kerana memberikan peruntukan 300% kepada Hal Ehwal Agama Islam di
negeri itu. Dalam pada itu komponen terbesar BN, UMNO pula telah bercakap
bergegar-gegar dalam perhimpunan parti itu minggu lepas dengan cuba
menonjolkan yang UMNO memperjuangkan Islam dengan serius.
‘Satu undi untuk PAS, adalah satu
undi untuk kehancuran Islam’ kata Presiden nya, Najib yang akhir-akhir ini cuba melekatkan
imej Islam kepada diri beliau sendiri. Kalau benar Najib dan UMNO itu kuat
memperjuangkan Islam, Presiden parti itu sepatutnya membuat kenyataan akhbar
untuk memberikan pujian terhadap Lim Guan Eng (LGE) kerana peruntukan yang besar untuk kegiatan
agama beliau itu. Najib sepatutnya membidas Teng Chang Yeow kerana membantutkan
usaha meyakinkan rakyat bahawa BN itu memperjuangkan Islam seperti yang
termaktub di dalam Bab 3 Perlembagaan UMNO itu.
BN dan UMNO nampaknya hanya beretorik
tentang Islam ini, sebaliknya DAP pula membantu PAS dalam memperkemaskan isu
Islam dalam perjuangan Pakatan Rakyat. UMNO hanya sarat dengan slogan. Dulu
UMNO berslogan ‘bersih, cekap dan amanah’ tetapi tidak di laksanakan, tetapi
DAP pula yang melaksanakan slogan itu dengan mentadbir P Pinang dengan bersih,
cekap dan amanah. Begitu juga di Selangor, Kedah dan Kelantan: apa yang di
slogankan UMNO, itulah yang dilaksanakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat (PR).
Kadangkala ada juga baiknya BN
ini. Itu sebabnya saya pernah mencadangkan supaya BN duduk di pihak pembangkang
dan tugas mereka hanya mencipta slogan-slogan yang besar-besar. Biar PR
memimpin dan mentadbir kerajaan dan melaksanakan semua slogan ciptaan BN itu. BN tidak pernah menjayakan apa-apa
slogan laungannya.
Berbalik kepada kenyataan terang
Teng Chang Yeow di Pulau Pinang itu, kita
ingin melihat dan mendengar reaksi UMNO Pulau Pinang khususnya dari Pengerusi
dan Timbalan Pengerusi Perhubungan negeri itu yang sentiasa menuduh DAP anti
Islam dan anti Melayu itu. Apakah
jumlahnya peruntukkan bagi Hal Ehwal Agama Islam di negeri itu semasa BN/Gerakan
memimpin negeri itu sejak merdeka selama 55 tahun dahulu? Semasa tahun akhir
pentadbiran BN di P Pinang peruntukan bagi Hal Ehwal Islam di P Pinang hanyalah
RM12 juta sahaja berbanding dengan RM64 juta sekarang ini.
Kita tidak tahu, yang mana satu
yang betul kerana lain parti dalam BN ini lain perjuangannya. Selama ini yang
kita tahu dengan pimpinan UMNO dan BN menuduh Pakatan Rakyat yang tidak
sealiran dalam perjuangan parti-parti komponennya. Sekarang ini elok kita minta
pimpinan BN duduk di atas satu pentas
Kita hendak juga mendengar apa kata Chua Soi Lek dari MCA, Teng Chang
Yeow dari Gerakan serta parti-parti komponen yang lain di P Pinang itu.
Dengan kenyataan Pengerusi BN P Pinang
itu, kita yakin yang sebenarnya bercanggah perjuangan ialah parti-parti dalam
BN itu. Oleh kerana kelemahan setiap parti dalam BN itu maka keluar lah
kenyataan yang membingungkan yang susah untuk di fahami rakyat.
Justeru kita tidak nampak
bagaimana BN boleh diyakini oleh rakyat di P Pinang khususnya orang-orang
Melayu yang beragama Islam di sana.
Tidak ada penyatuan matlamat dalam perjuangan BN itu. BN gagal untuk menampilkan
pendirian yang satu di antara parti-parti komponennya. Mereka sedang dalam keadaan lemah dan tidak
akan dapat menyelesaikan krisis keyakinan yang sedang mereka hadapi.
Sesungguhnya UMNO dan BN tidak
mempunyai apa-apa lagi. Yang ada hanyalah saki-baki kuasa yang masih ada kepada
mereka dan dalam penantian untuk menghadapi kekalahan buat kali pertama dalam
sejarah kemerdekaan kita.
No comments:
Post a Comment