Sabah perlukan bantuan kecemasan segera.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata
Sabah memerlukan sokongan kerajaan memandangkan lebih daripada 50 peratus kes
COVID-19 dilaporkan di negeri itu setiap hari.
Kata Anwar, kerajaan perlu menyalurkan dana
bantuan kecemasan segera dalam bentuk kewangan dan makanan, selain menyeru agar
Kementerian Kesihatan (KKM) telus dalam menyampaikan maklumat berkenaan
sebarang strategi yang diambil dalam membendung wabak virus itu.
“Pertama, sistem kesihatan di Sabah yang kita
telah sedia maklum kekurangan dana, staf dan sumber daya kini ditimpa dan
dibanjiri impak dari pandemik ini.
“KKM telah mengalihkan segala sumber yang ada
ke Sabah, dan usaha ini tidak harus dibebankan pada kementerian sahaja.
“Rencana ini memerlukan dukungan politik dan
kepimpinan yang jelas, penglibatan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan
beberapa kementerian lain bagi menggerakkan pasukan-pasukan perubatan dan
kelengkapan perubatan yang diperlukan, mempertingkatkan aspek logistik bagi
meluaskan lagi bantuan di Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Malah, Anwar turut menyatakan bahawa pakar
juga telah meramalkan bahawa kadar jangkitan dijangka akan terus meningkat di
Sabah tatkala virus tersebut terus merebak dalam kalangan rakyat dan sebarang
maklumat serta strategi dalam membendung wabak ini perlu disampaikan secara
terbuka.
Selain itu, Anwar juga mengulangi gesaannya
sebelum ini berhubung pelanjutan moratorium pinjaman selama enam bulan dan
mengingatkan mereka untuk tidak melupakan kumpulan minoriti yang akan
memerlukan bantuan tambahan kerana Sabah berada di bawah Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Memandangkan hampir seluruh Sabah kini di
bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), saya menggesa kerajaan
untuk memikirkan bantuan kecemasan berupa kewangan dan makanan kepada rakyat
yang terkesan, dan ini sangat penting dalam memastikan warga yang terpinggir
dapat meneruskan hidup,” katanya dalam kenyataan itu.
No comments:
Post a Comment