November 04, 2020

 

SELAMATKAH MUHYIDDIN DENGAN MAINAN DUA KOLAMNYA?

Cakap-cakap bahawa Muhyiddin Yassin cuba “bermain dua kolam”untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan nampaknya bukan lagi sekadar omong kosong.

Sebelum ini tersebar perkhabaran bahawa Muhyiddin cuba “menyogok” semua Ahli-Ahli Parlimen untuk meluluskan belanjawan dengan menawarkan peruntukan pembangunan sebanyak RM3 juta setiap seorang kepada mereka bagi tahun depan.

Dengan adanya peruntukan tersebut, jika ada Ahli Parlimen yang menolak untuk menyokong belanjawan, bermakna mereka menolak peruntukan pembangunan yang ditawarkan kerajaan.

Penolakan itu tentu saja berisiko membuatkan rakyat atau pengundi di kawasan yang mana Ahli Parlimennya berbuat demikian menjadi marah kepada wakil rakyat mereka.

Terutama bagi Ahli Parlimen pembangkang, selain dihimpit faktor kewangan untuk menyelesaikan masalah setempat, ketidakmampuan memenuhi keperluan pengundi adalah suatu masalah yang berkait rapat dengan khidmat mereka kepada rakyat.

Dengan yang demikian, tawaran RM3 juta itu bukan sekadar membuatkan Ahli Parlimen pembangkang berada dalam keadaan serba salah, malah tidak mustahil ramai yang terdorong untuk menerimanya.

Menerima peruntukan tersebut, bererti mereka menyokong Belanjawan 2021 dan ia dalam masa yang sama juga bererti setuju melanjutkan lagi khidmat Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Memandangkan usul tidak percaya amat mustahil untuk diberi kebenaran oleh Speaker, Belanjawan 2021 adalah medan terbaik untuk menguji keabsahan kedudukan Muhyiddin yang diragui selama ini.

Namun, jika belanjawan juga disokong, apa lagi peluang yang ada untuk menjatuhkan Muhyiddin?

Untuk itu, tidak mustahil juga sokongan pembangkang kepada Belanjawan 2021 yang dilihat hanya disebabkan “sogokan” akan membuatkan mereka dihujani kecaman dan tidak lagi dihormati.

Namun demikian, pemberian peruntukan yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen itu, walaupun mungkin tidak mendatangkan masalah kepada mereka yang menyokong Muhyiddin, tetapi kelihatannya amat ditentang oleh BN.

Bagi BN, peruntukan sama rata itu akan “membunuh” mereka secara keseluruhannya.

Sekaligus, penentangan BN ini menunjukkan cakap-cakap mengenai tawaran itu memang ada kebenarannya.

“Kami tidak setuju, kenapa perlu beri pada mereka? Itu membunuh kami.

“Dulu semasa dia (Pakatan Harapan) memerintah, dia tak bagi kita pun (peruntukan),” kata Ahli MT UMNO, Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak.

Yang tersirat sebenarnya daripaka ketidaksetujuan BN itu ialah kerana ia juga akan menipiskan peluang UMNO untuk merampas semula kerusi Perdana Menteri selepas PRU15 nanti.

Lapan bulan berada dalam kerajaan tetapi berperdana-menterikan pemimpin parti lain pun sudah begitu meresahkan UMNO, apatah lagi jika mereka terpaksa berada di bawah telunjuk Muhyiddin untuk tempoh yang lebih lama selepas PRU15 akan datang.

Sebab itu, selain tidak setuju dengan langkah Muhyiddin mahu memberi peruntukan sama rata RM3 juta kepada semua Ahli Parlimen, UMNO turut tidak setuju dengan perjanjian keyakinan dan pembekalan yang diminta pembangkang.

Ada tiga perkara yang diminta pembangkang jika perjanjian keyakinan dan pembekalan itu dipersetujui – pertama; memperkasa fungsi Parlimen dengan Ahli Parlimen pembangkang dilantik dalam jawatankuasa terpilih, kedua; mendengar dan berunding dengan pembangkang sebelum belanjawan dibentangkan dan ketiga; perlunya reformasi di mana pembangkang berhak mendapat peruntukan pembangunan yang sama rata.

Bagi BN, jika Muhyiddin setuju dengan permintaan terhadap perjanjian keyakinan dan pembekalan itu, maknanya beliau tidak yakin dengan sokongan yang sedia ada padanya.

Serentak dengan itu, BN menjanjikan semua Ahli Parlimen BN akan menyokong penuh Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Soalnya, benarkah semua Ahli Parlimen BN akan menyokong Belanjawan 2021 yang mana sokongan itu bererti memanjangkan lagi hayat politik Muhyiddin?

Bagaimana dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang baru-baru ini mahu usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dipercepatkan, apakah beliau akan menyokong belanjawan ini?

Begitu juga, bagaimana dengan Zahid Hamidi dan Najib Razak yang telah menulis surat kepada Agong untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, apakah mereka juga akan menyokong belanjawan yang sama ertinya setuju Muhyiddin lebih lama sebagai Perdana Menteri?

Dengan majoriti hanya ada dua, ketiadan sokongan tiga Ahli Parlimen di atas tentu saja meruncingkan kedudukan Muhyiddin.

Dalam keadaan ini, beralih mendapatkan sokongan blok pembangkang dengan menawarkan mereka peruntukan RM3 juta dan bersetuju dengan perjanjian keyakinan dan pembekalan adalah pilihan yang munasabah bagi Muhyiddin.

Begitu pun, ia juga berisiko membuatkan lebih ramai Ahli Parlimen BN tidak setuju dan menolak Belanjawan 2021.

Apalagi dengan kedudukan Najib sebagai Pengerusi baru Kelab Penyokong BN atau BNBBC di mana 23 Ahli Parlimen BN yang tidak berjawatan dalam kerajaan berada di bawahnya, ini bermakna keadaan lebih bahaya buat Muhyiddin.

Yang nyata di sini, “bermain dua kolam”, selain belum tentu akan menjanjikan dataran yang selamat, bahkan tidak mustahil lebih mudah Muhyiddin jadi tenggelam kerananya. (Shahbudindotcom 04/11/2020)

No comments:

Post a Comment