December 23, 2020

 

PERJUANGKAN KEADILAN DAN NEGARA HUKUM

Saudara saudari, politik ini apa?

Politik adalah kekuasaan, urustadbir atau ‘governance’ ini adalah untuk memenuhi aspirasi rakyat. Kenapa kita capai kemerdekaan? Kerana kita mahu negara ini tidak dijajah oleh orang asing dan tidak dijajah oleh orang kita sendiri. Kita tidak mahu umpamanya di mana negara ini, rakyat hanya dijadikan alat perkakas. Diberi sikit-sikit-sikit, dia cium tangan kemudian semua patuh.

Kita hendak supaya politik itu memberi peranan kepada rakyat. Ekonomi pula tidak seperti pengurusan ekonomi sekarang. Jangan pula rakyat diberi beberapa ratus ringgit tetapi ada pula rencana sekarang untuk memulihkan syarikat-syarikat konglomerat besar yang akan memerlukan berbilion ringgit.

Jadi politik itu pun ada dua peraturan. Bagi orang kaya, syarikat-syarikat besar seperti itu berlaku ‘bail-outs’ dianggap ‘insentif’ ratusan juta. Tak payah bayar cukai, diberi kemudahan, disebut insentif. Orang miskin petani nelayan disebut subsidi. Kalau subsisi ini dianggapp bermentaliti subsidi, kurang bekerja, malas, tak pandai, ‘kita beri subsidi’. Padahal kedua-duanya memerlukan dana suntikan oleh kerajaan.

Sepertimana juga kita lihat kes mahkamah. Badan perundangan, penguatkuasaan jabatan peguam negara, siasatan oleh polis dan badan kehakiman, semua itu mesti telus. Mesti menjalankan tanggungjawab hukum dan negara hukum. Apa dimaksudkan dengan negara hukum? Negara yang tunduk kepada hukum, ‘rule of law’. Bukan tunduk kepada penguasa, bukan tunduk kepada orang kaya, bukan tunduk kepada menteri tetapi tunduk kepada hukum. Kalau kita langgar berertinya ‘hukum rimba’. Yang kuat, sang singa itu menjadi hebat, ‘above the law’.

Oleh yang demikian jika kita bercakap soal politik, bukan saya bercakap soal parti atau menentang kerajaan. Kita rakyat harus faham jika kita dukung pemimpin, tak kira parti, tak kira kaum, dia mesti tunduk kepada hukum. Dia tidak boleh jadi sepertimana berlaku, hukumnya sama tetapi menghukumnya itu mengikut kriteria lain. Kalau VIP hukumnya RM1000, kalau nelayan 2 bulan penjara. Kalau VVIP, kecuriannya, pelanggarannya mungkin mencecah RM 1 bilion, runding-runding, lunding-lunding hingga londeh habis hukum. Tetapi dikalangan rakyat curi motosikal, ramai anak muda tahu kisah kawan-kawannya terlibat, kena 6 bulan penjara.

Saya lihat sendiri di penjara Sungai Buluh. Bila saya lalu hendak ke klinik saya lihat anak muda dengan pakaian compang camping matanya lebam. Saya ini ‘mata lebam’ ini sensitif sikit kerana saya pernah mata lebam kena belasah. Saya tanya pengawal penjara sebab apa dan dijawab, “Dia ini curi sepasang seluar jeans.” Salah memang salah. Berapa lama tahanan reman di penjara Sungai Buluh? 6-8 bulan. Kesalahan mencuri sepasang seluar jeans.

Ya Allah… yang mencuri ratusan juta, bilion, dia boleh naik pula dapat pingat tambahan. Ini yang dikatakan pelanggaran hukum.

Saudara-saudari, terutama anak-anak muda harus faham, kita dalam politik, dalam pendidikan, dalam menimba ilmu, kita hendak ketegasan ini dijaga. Saya tak peduli para netizen hendak kata apa tetapi saya hendak beritahu dalam politik, dalam urustadbir, dalam isu tatakelola negara, hukum ini mesti dimartabatkan.

Ini yang berlaku berterusan dan mengaibkan. Saya tidak mengatakan ini tidak pernah berlaku sebelumnya. Sebab itu kita lawan, sebab itu kita kata ada Reformasi kerana sang penguasa itu menggunakan lingkaran kekuatannya, jaringannya, kontrol media agar yang tidak setuju dengan penguasa diibaratkan hantu raya, peleset dan malaun. Yang sokong dia samada perompak, perasuah semua dibersihkan.

Penguatkuasaan begitu juga, kehakiman begitu juga. Negara kita pernah catatkan imej badan kehakiman yang sangat rosak. Dan saya lihat ada usaha mutakhir ini oleh ketua hakim negara, seorang wanita yang cuba memulihkan keadaan ini. Tetapi ini memerlukan dukungan seluruh sistem politik negara kita.

Jangan (dibiarkan begitu). Kerana yang menjadi mangsa ini adalah orang-orang kecil. Yang kadang-kadang kuat menyokong perasuah ini juga orang-orang kecil. Ini masalah kita kerana tidak ada pendedahan, tidak ada pencerahan, tidak ada maklumat dan tidak ada upaya untuk melawan. Jadi, mengalah sajalah.

Saudara bayangkan boleh tak kita terima orang yang hendak mencari nafkah. Dia langgar PKP. Salah memang salah kerana dia langgar peraturan PKP dan pergi menjala ikan. Tujuannya untuk mencari rezeki halal bagi anak-anaknya. Hukumannya 2 bulan penjara.

Anak muda yang saya lihat di Sungai Buluh. Salah memang salah. Tapi padankah curi seluar jeans kena tunggu 6-8 bulan reman. Reman belum hukum lagi tetapi ditahan kerana dia tidak mempunyai wang untuk bayar ‘bail’, ikatjamin.Jadi saudara-saudari itulah erti perjuangan. Bila kita sebut tentang PERALIHAN KUASA, ini yang kita maksudkan. Bukan hendak kembalikan kekuatan lama, bukan hendak tunduk kepada cara lama dan rasuah dan kroni. Kita lihat umpamanya bila pemimpin semua jadi kaya raya. Kemudian anak-anak mereka kaya raya. Sebab apa?

Tidak mungkinkah kita sebagai rakyat Malaysia, orang Melayu, orang Islam melahirkan suatu sistem di mana kita lebih prihatin terhadap rakyat jelata. Jadi ini yang saya sebut, saya rangkulkan erti Reform dan apa yang kita usahakan dalam Pakatan Harapan.

Apakah kita tidak mempunyai kelemahan? Ya, kita belajar dari pengalaman tetapi ada beberapa tunggak yang kita tidak boleh bertolak ansur. Kalaupun ada orang menggesa, menegur, mengkritik saya terima tetapi saya tidak sanggup korbankan prinsip ini semata-mata untuk memperolehi kuasa. Ini saya ingatkan rakan-rakan saya dalam KeAdilan, dan rakan-rakan saya dalam Pakatan Harapan. Jangan kita korbankan idealisme dan prinsip hanya semata-mata untuk meraih kuasa. Ada orang bicara mengata dia hendak meninggalkan KeAdilan kerana idealisme. Untuk apa? Dia pilih siapa? Dia pilih kelompok rasuah. Idealisme apa ini?

Sebab itu anak-anak muda kena faham kita mesti melihat keperluan menegak hukum. Hendak jaga peralihan kuasa harus ikut urustadbir tatakelola yang baik. Ekonomi mesti menjaga, menunjukkan kepedulian kepada rakyat. Kemanusiaan mesti ditingkatkan. Untuk menang kita boleh main sentimen kaum atau berpura-pura jadi tokoh agama. Tetapi bila kita ada kuasa, kelabu semua, kita tidak nampak. Kedai arak macam kedai jual oren. Kedai judi pun kelabu. Tetapi kalau pidatonya… Allahu Akbar… bukan main hebatnya. Sebab itu ujian Allah swt bukan sahaja pada keadaan masa kita sukar tetapi juga pada masa kita beroleh kuasa.

Kita mengambil pendirian untuk mempertikai perjalanan parlimen. Mempertikai dasar. Bagaimana hendak berbahas? Ada mengatakan terimalah (belanjawan) kerana semuanya ini sudah baik. Siapa yang mengatakannya baik. Jika baik, kita terima. Biarlah menteri mempertahankannya. Yang sibuk di bawah ini mengata baik-baik ini, baik apa? Kita tahu wang dari mana, kontrak-kontrak diberi saja tanpa tender. Apakah kita dijamin ia dijalankan dengan telus dan tidak ada lagi penipuan? Mudah-mudahan jika ada perjalanan parlimen yang baik, yang terbuka, kita ada ruang untuk berbincang.

Saya akhiri dengan menyatakan bahawa dari segi Pakatan Harapan, prinsip-prinsip ini, negara hukum, ekonomi, kemanusiaan diperjuangkan tanpa menolak prinsip perlembagaan. Prinsip tentang bahasa Melayu, hak keistimewaan Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Islam agama persekutaun. Kita Pakatan Harapan dari awal lagi penubuhannya sejak Pakatan Rakyat lagipun hinggalah sekarang kita tetap pertahankan prinsip-prinsip ini dengan segala jiwa raga.

(ANWAR IBRAHIM)

14 Disember 2020)

I S L A H M E D I A


No comments:

Post a Comment