*TRAGEDI PEMIKIRAN MELAYU*
Oleh:
PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ
KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak
sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka
tidak mahu berfikir dengan mendalam.
Kalau kita tengok orang Melayu
dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita
dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah
untuk berdepan dengan Majapahit. Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun
Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang
jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh
besar.
Pertama, dalam tahun 1920-an dan
1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu,
termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu
sebagai second class. Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan
dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini
semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah.
Itu pengaruh penjajah.Pada zaman
ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan
teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu. Di
Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan
pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya.
Malangnya, di Malaysia, dari
bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di
universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?
Di negara kita, pelajar tidak
berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan
tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap
saintifik. Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang
kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena
tipu dengan bomoh.
Kalau pada kurun ke-18, terutama
di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita
hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa
manifestasi hantu. Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan
tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya,
yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran.Pemikiran Melayu
ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan
rahsia lagi.
Kita boleh membaca
dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini
kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak
mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan
hendakkan kebebasan. Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini
sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang
agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.
Akibat dasar itu, tidak ada
trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua
setelah kemasukan Jepun.
Telah ada banyak buku yang
membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang
mengongkong minda Melayu. Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda
orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila
hendak kuasa dan hendak jadi kaya.
Ini adalah teori saya mengapa
minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggung jawab tentang pandangan ini.
Selepas merdeka, sesetengah orang
Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam
penjajah British. Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan
mempengaruhi - daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an,
pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an,
kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada
dekad-dekad terakhir ini. *Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.*
Sebagai seorang pendidik
universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat
pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah. Contohnya pada akhir tahun
1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat
menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip. Kita dapat mewujudkan
peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita.
Wanita Melayu yang bekerja kilang
ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu
hina wanita Melayu yang bekerja kilang. Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini
mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi
bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka? Mereka sanggup kerana
mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program
kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walau
pun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak
perempuan Melayu.
Waktu itu terdapat beribu-ribu
remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya
pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak
kahwin? Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18
dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.Oleh
kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu
sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih
dahulu dan menyimpan duit.
Kita tanya lagi, kalau sudah
kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh
dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah
tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah. Dalam
sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh
kerajaan. Ia jadi begitu sahaja. Tetapi masyarakat Melayu tidak faham
keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran
konservatif.
Hari ini di Malaysia, trend
semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti.
Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi. Trend ini
pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah
pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an. Ini semua adalah hasil daripada
perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi.
Perubahan minda itu berlaku
secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang
tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita
Melayu. Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi
kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat
pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik
antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama
ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.
Minda Melayu tidak dapat memikul
ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah,
mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan
dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak
kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.
Titik perubahan kepada minda
Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar
ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap
orang Melayu. Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat,
peranan media massa, politik serta agama. Kita memang berubah sedikit dari segi
lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang
lebih baik.
Kita sudah terjangkit apa yang
bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini
cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahu pun PAS, dan
juga di kalangan para pegawai kerajaan. Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation
of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah
usahawan. Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan,
maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk
membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul.
Tesisnya silap. Tetapi itulah minda Melayu sekarang. Akhirnya saya lihat
orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak
ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang
Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.
No comments:
Post a Comment