Kebimbangan
terhadap kemahiran 3M di kalangan murid darjah 1
Proses pembelajaran yang terjejas tahun ini akibat wabak
Covid-19 memberi kesan kepada pelajar, dan antara yang membangkitkan
kebimbangan adalah kalangan yang akan masuk darjah 1 pada tahun depan.
Ini kerana perkembangan kemahiran asas membaca, bertutur dan
menulis (3M) mereka dikhuatiri tersekat akibat sesi pembelajaran yang terganggu
sepanjang tahun lalu.
Perkara itu dibangkitkan bekas menteri pendidikan Dr Maszlee
Malik pada 16 Disember lalu, berhubung 'Generasi Tersisih' akibat wabak
Covid-19, seperti yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Unesco dan
Bank Dunia.
Menurut Maszlee, dianggarkan hampir sejuta murid prasekolah,
tahun satu dan tahun dua terjejas akibat tiadanya sesi pembelajaran yang normal
tahun ini.
Mereka yang terlibat secara langsung dalam pendidikan awal yang
dihubungi Malaysiakini rata-ratanya berkongsi kebimbangan yang
sama.
Guru Tabika Perpaduan di Hulu Selangor, Zuraini Idris berkata
terdapat sebilangan anak muridnya yang berdepan masalah 3M dan keadaan itu
diburukkan lagi dengan sesi pembelajaran tahun lalu yang tidak seperti
sebelumnya.
"Mereka agak perlahan untuk menerima pembelajaran, tak
boleh membaca kerana mengharapkan cikgu untuk mengajar dan tidak dibantu di rumah.
"Masa Covid-19 ini, ada seorang dua murid saya yang tak
kenal huruf dan nombor," katanya.
Zuraini mempunyai 25 orang anak murid prasekolah dan dan
menurutnya hanya sejumlah kecil yang berdepan masalah itu.
"Pandemik ini memberi kesan kepada murid enam tahun kerana
mereka perlu tahu asas belajar (sebelum masuk darjah satu). Kalau tak mengajar
secara bersemuka, memang bermasalah," katanya.
Pengetua Tadika Islam Si Manja Dahlia di Hulu Selangor, Nor
Yazimah Mohd Yatim pula berkata walaupun proses pengajaran dan pembelajaran
(PdP) masih dibuat secara dalam talian, ia tidak sama seperti kelas normal.
Katanya, keengganan ibu bapa untuk membayar yuran perkhidmatan -
atas pelbagai sebab - juga menyukarkan lagi proses PdP.
"Saya masih menawarkan khidmat PdP tetapi kebanyakan ibu
bapa mereka enggan membayar yuran perkhidmatan.
"Bagaimanapun saya tetap mengadakan kelas, jika ibu bapa
enggan membayar yuran itu urusan mereka," katanya yang turut membekalkan
buku pelajaran kepada murid lantas memberi pilihan kepada ibu bapa untuk
mengajar anak mereka sendiri.
Walaupun boleh dikatakan hampir tiada kemungkinan untuk anak
muridnya berdepan masalah buta huruf, dia mengakui perkembangan PdP mereka
terjejas sepanjang tahun lalu.
Dia juga berkata dalam perancangan untuk mengadakan sesi
pembelajaran secara bersemuka dengan jumlah murid yang lebih kecil, iaitu 30
orang berbanding 60 orang seperti sebelumnya.
"Ini untuk menjaga penjarakan fizikal sesama pelajar di
samping tadika alami kekurangan tenaga kerja," katanya.
Pertengahan Disember lalu, Maszlee berkata dia turut mengajukan
soalan mengenai pelan induk untuk kanak-kanak prasekolah yang memasuki darjah 1
bagi sesi 2021 kepada Kementerian Pendidikan (KPM).
"Isu ini ialah isu pendidikan dan masa depan lebih 1 juta
anak-anak kita.
"Tidak wajar isu ini terperangkap dalam gelanggang
perbezaan politik," kata Maszlee sambil menyeru semua pemegang taruh untuk
meletakkan pendidikan sebagai keutamaan.
'Tak boleh tergesa-gesa rangka pelan induk'
Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Tadika Malaysia (PTM)
Eveleen Khoo berkata pelan induk itu akan memakan masa panjang dan perlu
menitikberatkan pelbagai aspek.
"Banyak pandangan dan pertimbangan mesti dimasukkan ke
dalam pelan induk.
"Ianya tidak dapat dibuat dengan tergesa-gesa agar tidak
berlaku kesalahan yang akan memburukkan lagi (keadaan)," katanya.
Katanya lagi, pandemik Covid-19 menyukarkan KPM untuk memberikan
arahan kepada sekolah-sekolah yang mempunyai "kaedah pembelajaran yang
berbeza".
Menurutnya, KPM perlu mengambil kira kepelbagaian sekolah di
Malaysia yang merangkumi sekolah kerajaan, sekolah swasta dan sekolah
antarabangsa.
Menjangkakan masalah pembelajaran yang terjadi, guru sekolah
menengah di Negeri Sembilan Noor Lizura Mohamed Nasir bertindak proaktif dengan
mendidik anaknya yang berusia enam tahun dengan asas 3M.
"Alhamdulillah, anak saya boleh menguasai kemahiran asas 3M
ini.
"Anak sudah dimasukkan ke Pasti Al-Fityan sejak berumur 4
tahun, jadi dia boleh buat (3M) mengikut tahapnya," katanya ketika
dihubungi.
No comments:
Post a Comment