ANWAR BIDAS KENYATAAN MENTERI
UNDANG-UNDANG
Kenyataan Menteri
Undang-Undang terkait sikap kerajaan PN yang mahu terus menutup Parlimen
menampakkan ketidakarifan beliau terhadap prinsip asas demokrasi.
Menteri tersebut juga
menyatakan kerajaan PN sedang memberi ‘keutamaan’ penuh pada usaha mengekang
penularan wabak dan akan terus menutup Parlimen. Kononnya dengan penutupan
Parlimen sangat penting dalam usaha melawan wabak, tetapi keadaan makin parah.
Kadar warga yang menerima vaksin antara yang terendah di rantau Asia dan kadar
jangkitan antara yang tertinggi di Asean.
Sebuah sistem yang
menginjak aspek Parlimen adalah sistem diktator, bukan demokrasi. Kedudukan dan
maruah Parlimen kini tergantung pada pemuka-pemuka yang tidak punya mandat sama
sekali, dan ini jelas menunjukkan bahawa aspek semak imbang yang dijamin Perlembagaan
ini terus dinodai dengan rakus.
Demokrasi mesti
tertegak, meski di kala kemelut. Suara rakyat tidak boleh dipadam oleh para
petinggi yang rakus dan gila kuasa.
Kenyataan bijaksana
YDPA bertarikh 26 Februari yang lalu bahawa kuasa darurat yang diperuntukkan
pada kerajaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak sesi Parlimen.
Kuasa dan undang-undang
yang diperuntukkan darurat setakat ini tidak memberi dampak yang positif dalam
usaha kita melawan wabak. Sebaliknya, ianya digunakan untuk membungkam wartawan
dan media, serta memberi kuasa pada kerajaan ini untuk menggunakan dana awam
tanpa hormat pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pada Parlimen.
Menggunakan hampir 50% dana dark Kumpulan Wan Amanah Negara (KWAN) untuk
pemerolehan vaksin sebagai contoh.
Terdapat banyak hujah
yang menampakkan pemerintah hari ini sedang meminjam dan berbelanja tanpa semak
imbang, dan ini menjadi sebab ampuh mengapa Parlimen sebagai fungsi dan
institusi yang dijamin Perlembagaan mesti diberi ruang untuk menjalankan amanah
rakyat.
Kita tidak nampak
sebarang tanda bahawa darurat ini akan tamat dalam masa terdekat. Dengan
peningkatan kes penularan COVID-19 hari ini ianya akan memberi alasan kepada
kerajaan PN untuk melanjutkan tempoh darurat melepasi bulan Ogos 2021. Saya
yakin inilah matlamat sebenar pemerintah; memperpanjang tempoh darurat selama
mana yang mungkin meski dengan jumlah jangkitan yang akan terus tinggi.
Dengan kadar vaksinasi
yang ternyata rendah saat ini, saya bimbang dan yakin tidak akan ada sidang
Parlimen untuk tahun ini.
Prestasi Malaysia akan
terus tercorot dengan masalah pengangguran tanpa reformasi ekonomi yang
menyeluruh. Persaingan di rantau ini dalam mendapatkan investasi asing
nampaknya akan terus meletakkan Malaysia di barisan belakang.
Sikap kerajaan ini yang
terus berhutang dan berbelanja tanpa semak imbang akan memberi dampak buruk
kepada generasi akan datang.
Ekonomi tidak akan
mampu pulih bilamana keyakinan kepada kerajaan dan kebijakannya tidak wujud,
serta prinsip negara hukum terus diinjak tanpa belas.
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment