MALAYSIA
SUKAR JATUH KE TANGAN DIKTATOR
Oleh:
Hassan Abdul Karim
Atas
titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Istana Negara akan menganjurkan sesi
perbincangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun 2021.
Perbincangan khas tersebut adalah inisiatif baginda dan akan dipengerusikan
oleh Yang di-Pertuan Agong.
Perkembangan
ini menarik. Ia menunjukkan pemimpin politik awam yang berkuasa melalui pintu
belakang atau 'tebuk atap' tidak mudah untuk menjadi seorang diktator dengan
menggunakan helah proklamasi darurat.
Kuasa
politik di Malaysia tidak berada sepenuhnya di tangan ahli-ahli politik
profesional atau Ahli-ahli Parlimen. Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong
juga mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan. Malaysia adalah sebuah
negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Raja-raja
tampil selamatkan negara
Apa
yang berlaku sekarang bukannya satu krisis perlembagaan. Ini menunjukkan
institusi Raja-Raja Melayu tampil ke depan untuk menyelamatkan negara ketika
menghadapi krisis kesihatan awam yang parah dan memburuk serta mengancam nyawa
rakyat.
Yang
di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu mungkin tidak campur tangan sekiranya
kerajaan yang memerintah adalah sebuah kerajaan yang mempunyai mandat rakyat,
sebuah kerajaan yang jelas sokongan kepercayaan di Parlimen dan sebuah kerajaan
yang cekap dan tidak gagal. Beberapa Raja dan Sultan telah bersuara menzahirkan
rasa tidak puas hati tentang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang
tidak berkesan dan program vaksinasi yang terlalu perlahan.
Tidak
pada semua masa Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak dengan terlebih dahulu
mendapat nasihat Perdana Menteri atau Jemmah Kabinet di bawah Fasal (1) Perkara
40 Perlembagaan Persekutuan.
Malahan,
dalam Fasal (2)(c) Perkara 40 Perlembagaan dinyatakan dengan jelas peruntukan
di mana Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya.
Tempoh
kuasa Muhyiddin semakin singkat?
Secara
jujur perlu dinyatakan. Penulis bukanlah seorang peminat institusi Feudalisme.
Tetapi penulis menentang keras institusi kediktatoran yang anti-demokrasi.
Peruntukan
Perlembagaan seperti Fasal (2)(c) Perkara 40 itu amat membantu Malaysia yang
demokratik ini tidak mudah jatuh ke tangan mana-mana Perdana Menteri yang mabuk
kuasa untuk menjadi seorang diktator.
Usaha
Yang di-Pertuan Agong memanggil pemimpin-pemimpin politik ke Istana Negara
bermula hari ini 9 Jun sehingga 11 Jun nanti dan diikuti dengan Sesi
Perbincangan Khas Raja-raja Melayu pada 16 Jun dibuat tanpa perlu merujuk dan
mendapatkan nasihat dari Perdana Menteri atau Jemaah Kabinet terlebih dahulu,
adalah satu isyarat jelas kepada Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin bahawa
tempoh anda berkuasa sudah boleh dibilang harinya untuk tamat.
Kerajaan
PN tanpa mandat sah dari rakyat melalui Pilihan Raya Umum tidak boleh selamanya
berkuasa seakan beraja di mata dan bersultan di hati. Masa sudah sampai untuk
anda bermuhasabah diri, mengundur diri dan serah semula kuasa kepada rakyat
negara ini. Rakyat menolak Kerajaan Diktator.
No comments:
Post a Comment