SETAKAT BERANI MENYINDIR SAJA TIDAK MEMADAI
Menteri Kanan
Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob petang tadi membuat posting berbentuk sindiran
di media sosial berkaitan perlaksanaan PKP penuh atau total lockdown.
Beserta gambarnya
sedang menutup pintu pejabat, beliau menulis “Saya dah tutup pintu depan tapi……..”sambil
disertai dengan emoji sedih.
Meskipun hantarannya
itu tidak menyebut ia ditujukan kepada sesiapa secara khusus, tetapi
berdasarkan situasi semasa dan kedudukannya sebagai menteri yang
bertanggungjawab berkaitan keselamatan dan pematuhan SOP PKP, tidak sukar
menjangka ia adalah berkenaan laporan media semalam yang menyebut sebanyak
95,142 syarikat telah diberi kebenaran oleh MITI yang menterinya ialah Azmin
Ali untuk beroperasi meskipun total lockdown baru saja memasuki hari kedua
perlaksanaannya.
Diberitakan beliau
memuatnaik posting tersebut kerana dikatakan berasa cukup tidak puas hati
dengan kebenaran begitu banyak kepada syarikat dan kilang untuk beroperasi di
ketika angka kes Covid19 terus menunjukkan peningkatan angka kes yang ketara.
Maka itu, jika trend
memberi kebenaran kepada syarikat dan kilang terus berleluasa, sedangkan angka
95,142 yang sudah diberi kebenaran itu pun dianggap terlalu tinggi,
bagaimanakah negara mahu menang dalam perang melawan Covid19 ini?
Susulan itu, muncul
pula perkhabaran posting Ismail Sabri itu juga berikutan berlakunya
pertengkaran dalam mesyuarat kabinet berhubung kelulusan begitu banyak syarikat
dan kilang yang dibenarkan beroperasi itu.
Sejumlah menteri
dikatakan tidak berpuas hati atas kebenaran tersebut kerana persetujuan telah
dicapai sebelum ini untuk melaksanakan total lockdown atau PKP penuh selama dua
minggu, diikuti dua fasa lagi selepas itu.
Sebelum ini, semua
menteri bersetuju dengan pelaksanaan PKP penuh yang diumumkan oleh Perdana
Menteri tetapi berita berkenaan 95,142 syarikat diberi kelulusan oleh MITI
untuk beroperasi menimbulkan bantahan dan rasa tidak puas hati, lalu ia
mencetuskan pertengkaran yang agak panas antara sesama mereka.
Semalam juga Ismail
Sabri turut mengeluarkan kenyataan media berkaitan penutupan semua kilang arak
dalam tempoh 1 hingga 14 Jun, walaupun sebelumnya telah dibenarkan beroperasi
oleh MITI.
Tindakan Ismail Sabri
mengeluarkan arahan tutup itu adalah berikutan bantahan ramai kerana rata-rata
beranggapan kilang arak tidak seharusnya dibuka disebabkan ia bukanlah termasuk
dalam kategori barang makanan perlu.
Dalam erti kata lain,
berdasarkan apa yang berlaku sehari dua ini memang menampakkan adanya
ketegangan dan rasa tidak puas hati antara beberapa menteri UMNO dengan Azmin
yang diberi kuasa penuh oleh Perdana Menteri untuk memberikan kebenaran kepada
mana-mana syarikat untuk beroperasi dalam tempoh PKP penuh.
Sebab itu, sindiran
Ismail Sabri yang menulis “Saya dah tutup pintu depan tapi….” tidaklah sukar
difahami maksudnya serta ia ditujukan kepada siapa.
Selain mungkin
tindakan memberi kebenaran melalui pintu belakang untuk syarikat-syarikat
beroperasi sudah banyak berlaku sebelum ini, walaupun pintu depan sudah
ditutup, tidak mengejutkan juga jika lebih luas lagi pintu belakang akan terus
dibuka selepas ini.
Soalnya, jika Ismail
Sabri tidak puas hati dengan Azmin yang dilihat terlalu berkuasa atau begitu
banyak diberi muka oleh Mahiaddin Md Yasin, memadaikah sekadar berani menyindir
saja?
Kenapa tidak umum saja
letak jawatan dengan segera?
Tambahan lagi,
mustahil ada yang akan berubah dalam kerajaan dan kepada Mahiaddin selepas
sindiran yang dibuatnya itu.
Lagi pun, dalam
mana-mana perjuangan, pertempuran atau ketika sudah muktamad ingin menewaskan
pihak yang dianggap lawan, main sindir-sindir tidak termasuk sama sekali dalam
strategi untuk menang perang.
No comments:
Post a Comment