August 09, 2021

 PERUTUSAN MA’AL HIJRAH 1443H

Angka korban terus meningkat. Fasiliti kesihatan semakin tenat. Rakyat hilang mata pencarian. Mendung nestapa terus melindapi negara yang kian sengsara. Tentunya tahun 1442 Hijrah merupakan episod penuh duka dan tragedi buat kita terutama tatkala dirundung malapetaka yang sehingga kini gagal ditangani dengan berkesan.

Di samping meyakini takdir Allah SWT yang termaktub di Luh Mahfuz, sunnatullah mewajibkan kita selaku hambaNya untuk berikhtiar sehabis baik demi menyelamatkan setiap nyawa, dengan menggunakan seluruh kudrat yang ada. Namun perkara ini, menurut hemat pakar-pakar kesihatan dan majoriti rakyat, masih belum dilaksanakan.

Justeru kita mengimbau sejarah tatkala Saidina Umar menjadikan peristiwa hijrah ke Madinah sebagai landasan tahun Qamariyah, beliau sedar bahawa kitaran tahun baru harus didasarkan pada pembukaan lembaran baru. Maka bukan sekadar hijrah ke tempat baru, tetapi juga menegakkan strategi dan kepimpinan baru.

Walhasil, kita saksikan Nabi SAW dan para sahabat berhijrah meninggalkan pemerintahan usang pimpinan musyrikin Mekah yang zalim, serta meletakkan sepenuh kepercayaan kepada perintah Allah supaya berhijrah. Segala cubaan membeli kesetiaan Nabi SAW dengan sogokan kedudukan dan wang ringgit untuk menerima kepimpinan usang ternyata gagal sama sekali.

Oleh itu, kesediaan kita meraikan kehadiran bulan Muharram yang mulia ini mestilah disertai dengan semangat hijrah, yakni niat untuk melakukan perubahan. Unggun yang menjadi punca terbakarnya teratak bangsa kita harus segera dipadamkan.

Hijrah ditunai dengan mengukir muafakat baru demi menyelamatkan negara dari kancah yang membinasakan. Rakyat Malaysia berhak mendapatkan pembelaan sewajarnya.

Perubahan tidak boleh ditangguh lagi. Lembaran baru mesti dibuka.

Selamat menyambut awal Muharram 1443H.

ANWAR IBRAHIM

 

No comments:

Post a Comment