MEMANG WAJIB UMNO DITUMBANGKAN SEKALI LAGI
Belum pun sampai sebulan UMNO beroleh
kembali kerusi Perdana Menteri yang gagal dipertahankan sejak 2018, lagak dan
gaya lama pemimpinnya sudah mula menjadi bualan semula.
Kalau dulu, bersama keangkuhan bahawa
UMNO tidak mungkin kalah pilihanraya, lagak dan kesombongan mereka yang
bergelar pemimpin bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Ia sudah menjadi tontonan yang merata
di mana-mana, bahkan jika ada sekumpulan orang sedang makan di penjuru coffee
house hotel lima bintang sambil diselang-seli hamburan derai ketawa yang kuat,
pastilah ia gerombolan pemimpin UMNO bersama pengikut tegar serta kroni mereka
sedang menjamu selera.
Orang lain kalau makan di hotel
selalunya agak sopan dan tidak mengeluarkan suara bila ketawa, hanya orang UMNO
saja yang berani berkelakuan sebegitu rupa.
Tetapi, apabila UMNO kalah pada PRU
2018, perubahan sikap dan perangai mereka yang bergelar pemimpin sudah mula
kelihatan.
Bukan saja mereka lebih merendah
diri, kurang berlagak dan jarang-jarang mengunjungi hotel lima bintang, malah
kalau makan beramai-ramai di gerai pun mereka sudah pandai memperlahankan
ketawa.
Di mana-mana saja ketika itu, lebih
mudah melihat kelibat pemimpin UMNO dan bekas menteri bersama kelompok bawahan
berbanding dengan kroni dan tauke-tauke.
Ahli bawahan dan rakyat biasa yang
mahu bergambar dan berselfie pun lebih mudah mendapat layanan, disertai lagi
dengan senyum dan tawa yang lebih ramah.
Kalau ada pilihanraya kecil atau PRK
pula, lagilah kita dapat melihat mereka begitu merendah diri, mudah diajak
berbual dan tak kisah duduk di tepi parit sekali pun.
Perubahan mula menjelma apabila UMNO
dapat semula berada dalam kerajaan melalui pengkhianatan yang dilakukan oleh
Mahiaddin Md Yasin bersama kawan-kawannya pada awal 2020 lalu.
Pada waktu itu, bermulalah terdengarnya
rungutan daripada dalam UMNO sendiri tentang berubahnya sikap dan watak mereka
yang dulunya ramah ketika tiada jawatan, kini telah berubah setelah beroleh
kembali kedudukan dalam kerajaan.
Banyak rungutan kedengaran, bukan
saja yang memegang jawatan menteri, timbalan menteri dan lain-lain diperhatikan
mula mempamerkan kesombongan dan tidak menjawab panggilan, tukang bawa beg dan
pencacai pun terjangkit sama dengan penyakit sombong itu.
Hari ini UMNO beroleh kembali kerusi
Perdana Menteri, meski mandat kemenangan dan menubuh kerajaan pada hakikatnya
adalah milik pihak lain.
Namun, kesombongan era BN dulu jelas
sudah muncul semula, walau belum sampai tempoh sebulan mengetuai kerajaan.
Hakikat kesombongan ini bukan
rungutan rakyat biasa atau orang luar parti, tapi luahan daripada mereka
daripada dalam UMNO sendiri.
Melalui perbualan dan percakapan
dengan beberapa pemimpin pertengahan dalam UMNO, jelas sekali sindrom sombong,
berlagak dan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi
dan kroni telah menjelma semula di kalangan mereka yang bergelar pemimpin dan
berjawatan menteri dalam kerajaan.
Ada yang mula menyusun orang-orang
terdekat untuk mengaut projek kerajaan dan ada pula yang sewenang-wenangnya
membuat lantikan politik yang ramai dalam kementerian masing-masing di sebalik
negara sebenarnya tidak lagi punya banyak wang dan masih berdepan wabak Covid19
yang mengancam nyawa.
Apa sebenarnya prioriti mereka itu –
mengaut habuan selagi sempat atau untuk membantu parti mampu menang pada PRU
akan datang melalui jawatan dalam kerajaan yang dipegang?
Tidak sedarkah mereka ramai rakyat
tengah kesusahan, tidak cukup makan dan ada yang memilih membunuh diri akibat
tekanan perasaan?
Seorang pemimpin UMNO peringkat
bahagian berkata, pemimpin UMNO hanya boleh dibuat kawan ketika mereka tiada
kuasa saja atau setelah tidak lagi menjadi menteri.
Baik sebelum UMNO kalah atau setelah
diberi pengajaran hilang kuasa, perangai mereka sama saja jika ada kuasa, kata
pemimpin bahagian itu ketika berbual-bual sambil minum petang dengannya.
Apa yang dirungutkan ini baru tidak
sampai sebulan UMNO menerajui semula kuasa di Putrajaya, itu pun sebenarnya
masih banyak menumpang kekuatan parti lain dalam kuasa yang sedang dipegang.
Tentulah tidak sukar membayangkan
bagaimana lagak dan kesombongan mereka serta keghairahan menggunakan kuasa
dalam tempoh-tempoh mendatang nanti.
Kalau dalam UMNO sendiri pun ramai
yang bersungut tentang perangai mereka, pastilah rakyat biasa lebih menyampah
lagi.
Kalah pilihanraya, menumpang kuasa
dan sekarang pun masih menumpang lagi, walau kerusi Perdana Menteri sudah
diperolehi, hakikatnya tiada apa-apa yang berubah dalam sikap dan perangai
pemimpin UMNO.
Dulu, kini dan selamanya – perangai
pemimpin UMNO tetap sama.
Tiada ubat mujarab untuk mengubati
mereka melainkan UMNO mesti dikalahkan selagi lagi dalam PRU15 akan datang
nanti.
Kalau boleh kali ini biarlah lebih
lama ia hilang kuasa – 15 atau 20 tahun sekurang-kurangnya, agar tunas baru
yang akan mengambil alih kepimpinan UMNO benar-benar berbeza dengan pemimpin
dan saki-baki yang ada sekarang ini. –
ShahbudinHusin 04/09/2021.
No comments:
Post a Comment