MENGAPA UNDI18 PENTING UNTUK DINAMIKA POLITIK
Regenerasi ahli politik di Malaysia sebenarnya
agak perlahan. Ramai mengeluh dengan situasi parlimen dan DUN seluruh negara
yang didominasi oleh generasi tua. Kita harus terima hakikat bahawa tidak ada parti
politik yang imun daripada masalah regenerasi politik ini kerana ia berlaku
pada tahap sistemik.
Faktanya, hanya terdapat 27 dan 28 orang ahli
parlimen di Malaysia sejak tiga pilihan raya umum yang terakhir berusia antara
21 hingga 40 tahun dengan kebanyakan daripada mereka berusia antara 36-40
tahun. Dengan kata lain, 50% rakyat Malaysia bawah umur 40 tahun hanya mendapat
perwakilan 12% di parlimen – sangat tidak seimbang dari segi nisbah. Jika
dicerakinkan mengikut parti politik, kebanyakan ahli parlimen yang berusia
bawah 40 tahun datangnya daripada Pakatan Rakyat / Pakatan Harapan.
Statistik ini jauh lebih rendah berbanding
dengan situasi antarabangsa apabila 17.5% ahli parlimen dunia berada bawah usia
40 tahun dan 30.2% bawah 45 tahun. Sebagai contoh, berdasarkan laporan yang
diterbitkan oleh Inter-Parliamentary Union pada tahun ini, Norway merupakan
antara negara dengan amalan terbaik di dunia kini pada tahap 13% ahli parlimen
di bawah 30 tahun dan Armenia dengan 57% ahli parlimen bawah usia 40 tahun.
Antara
amalan yang membolehkan lebih ramai ahli politik muda berada di peringkat
nasional adalah umur mengundi yang rendah. Umur mengundi di Norway dan Armenia
ialah 18 tahun. Tetapi di Norway, umur mengundi bagi 20 pilihan raya kerajaan
tempatan sejak tahun 2011 telah diturunkan kepada 16 tahun dengan kadar keluar
mengundi yang menggalakkan – hampir sama dengan kohort umur lainnya.
Malaysia sebenarnya telah tertinggal gelombang
pendemokrasian belia (youth suffrage) yang pertama ketika tahun 1970-an apabila
banyak negara di dunia menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Pada tahun
1969, kerajaan Buruh Harold Wilson di UK menjadi negara pertama menurunkan umur
mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. Meskipun di Malaysia ada berlakunya
perbahasan dalam parlimen selepas penggantungan parlimen antara tahun 1969
hingga 1971, namun ia tidak membawa kepada sebarang perubahan.
Pada saat kita masih berdolak-dalih dan
tawar-menawar mengenai Undi18, dunia sebenarnya telah pun memasuki gelombang
hak mengundi belia kali kedua iaitu untuk menurunkan had umur kepada 17 atau 16
tahun.
Kematangan belia berubah mengikut zaman
Sejak tahun 1970-an, Malaysia telah mengalami
transformasi sosial agak pesat yang dipacu oleh industrialisasi dan urbanisasi.
Ia memberi kesan langsung kepada belia di mana peratusan belia dengan
pendidikan tertiari (IPT) meningkat daripada 3.8% pada 1979 kepada 43% pada
2019. Pada masa yang sama kohort umur 15 tahun hingga 24 tahun membentuk 45%
daripada keseluruhan tenaga buruh di Malaysia pada tahun 2019.
Pada tahun 2020 pula, 19.7% belia berusia 15-19
tahun dan 63.8% belia berusia 20-24 tahun terlibat dalam tenaga buruh. Ini
bermakna, lebih 20% daripada belia Malaysia yang telah menyumbang secara aktif
dalam ekonomi tanpa memiliki hak bersuara dalam pilihan raya.
Mitos belia tak minat pilihan raya
Mitos “belia tidak berminat dengan pilihan
raya” sebenarnya hanyalah bersandarkan kepada hujah yang tiada asas jelas dan
sering dikelirukan dengan dua pandangan. Pertama, banyak kaji selidik dan
kajian yang menunjukkan belia tidak berminat dengan politik. Kedua wacana youth
surffrage di negara maju yang menunjukkan wujudnya jurang keluar mengundi
antara generasi muda dan tua.
Ramai yang memetik Indeks Belia Malaysia (IBM -
Malaysian Youth Index) yang diterbitkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
sejak tahun 2006. Indeks memperlihatkan dari segi Domain Sosialisasi Politik,
penyertaan politik dalam kalangan belia sangat rendah dan begitu juga dengan
perbincangan tentang isu politik. Malah telah mencapai tahap terendah pada
2019. Namun, kajian-kajian ini banyak yang menggunakan kerangka penyertaan
politik yang bersifat konservatif – penyertaan dalam parti politik – dan
menunjukkan belia sebenarnya lebih kritikal serta pesimistik terhadap politik.
Bukan tidak berminat dengan politik.
Buktinya, angka-angka peratusan keluar mengundi
bagi setiap kumpulan usia di Malaysia tidak menunjukkan perbezaan yang
signifikan antara pilihan raya umum 2013 dan 2018. Keseluruhan pengundi dari
kelompok berusia 21 tahun hingga 69 tahun mencatatkan peratusan keluar mengundi
antara 84% hingga 85.7% pada PRU 2013 dan 80.1% hingga 84.4% pada PRU 2018.
Ini tidak sebagaimana yang berlaku di banyak
negara maju - adanya jurang generasi yang besar dari segi jumlah keluar
mengundi. Di UK umpamanya, kadar keluar mengundi bagi kohort umur 18-24 tahun
dan 25-34 tahun adalah sekitar 50% berbanding sekitar 60% bagi kohort 35-44
tahun dan sekitar 70% bagi kohort 45-54 (British Election Study, 2019).
Di luar politik pilihan raya pula, dapat
diperhatikan bahawa belia di Malaysia merupakan teras kepada dua gerakan sosial
paling besar dalam tempoh 20 tahun terakhir ini yang banyak memberi kesan
terhadap politik pilihan raya – Reformasi (1998) dan siri demonstrasi BERSIH (2007-2016).
Malah, jika kita percaya bahawa belia tidak berminat dengan politik, maka
seharusnya undi18 ini dipercepatkan untuk meningkatkan minat dan kesedaran
mereka, bukan sebaliknya!
Undi18 ‘game changer’ politik Malaysia
Dari angka-angka yang telah dinyatakan, maka
tidak dapat dinafikan bahawa Undi-18 dan partisipasi belia merupakan perkara
penting dalam mencorakkan hala tuju politik Malaysia. Bahkan bagi saya, Undi18
ialah game changer naratif politik Malaysia ke hadapan ini. Saya nyatakan
sekurang-kurangnya tiga aspek untuk melihat Undi18 sebagai game changer naratif
politik kita.
Pertama, sudah masanya politik Malaysia keluar
dari perseteruan politik lama. Dari dulu politik kita masih berkisar
watak-watak lama. Bukan bermaksud watak pemain politik lama ini tidak penting,
tetapi Malaysia perlu ada nafas baru. Mereka yang muda tidak memiliki beban
sejarah dan pergelutan politik lama yang tidak berkesudahan.
Kedua, banyak isu pada masa kini berkisar
tentang anak muda. Anak muda menerima kesan langsung dari sebarang dasar yang
dirangka pada masa ini. Lebih-lebih lagi dalam masa krisis kesihatan dan
ekonomi, ramai anak muda yang terkesan. Justeru, anak muda atau belia harus
dilibatkan secara langsung dalam proses demokrasi bermula dari soal mengundi
sehinggalah dibenarkan menjadi calon seawal usia 18 tahun bagi memastikan
isu-isu yang diangkat selari dengan keperluan generasi anak Malaysia.
Ketiga, hanya anak muda harapan terakhir kita
untuk keluar daripada polemik politik perkauman dan komunalisme sempit yang
mengheret seluruh bangsa Malaysia ini daripada maju ke hadapan. Lebih mudah
untuk kita melakar naratif budaya politik baru dalam generasi muda yang mahu
keluar daripada politik perkauman ini. Mereka kini berhadapan dengan cabaran
nyata daripada perubahan ekonomi dunia, kepesatan teknologi dan kemunculan
ancaman transnasional bukan konvensional seperti pandemik kesihatan, kedaulatan
makanan dan pemanasan global. Jika kita tidak mahu mula mengiktiraf isu-isu ini
dan enggan memberi peluang kepada generasi baharu, maka kita akan sekali lagi
tertinggal gelombang pendemokrasian belia untuk kali kedua.
Penulis
ialah SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh
merangkap Naib Pengerusi DAP Johor dan Ketua Pemuda Negeri.
No comments:
Post a Comment