BERMULANYA SEJARAH KEBANGKITAN ANAK2 MUDA MALAYSIA
Pada pagi 3 Disember
1974, empat puluh tujuh tahun yang lalu, beribu-ribu orang pelajar universiti
dari seluruh negara telah berhimpun di ibukota Kuala Lumpur untuk menzahirkan
sokongan kepada perjuangan petani-petani miskin di Baling, Kedah yang terhimpit
dalam kemiskinan akibat kejatuhan harga getah.
Dalam tempoh hampir
setengah abad itu, banyak kejayaan yang telah dicapai oleh pergerakan anak-anak
muda di Malaysia yang dipelopori oleh para pelajar universiti.
Antara yang nyata
ialah mulai 15 Disember tahun 2021 ini, anak-anak muda Malaysia yang berumur 18
tahun dan ke atas secara otomatik sudah boleh mengundi di dalam pilihanraya dan
juga boleh bertanding sebagai calon ahli parlimen ataupun ahli dewan undangan
negeri.
Peranan anak-anak muda
sangat terserlah semasa tempoh hampir dua tahun negara mengharungi Pandemik
Covid-19 di mana berlaku tiga kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika
sebahagian rakyat miskin dari golongan B40 keputusan makanan di ambang
kebuluran, anak-anak muda muncul dengan inisiatif, “Kibarkan Bendera Putih” di
seluruh negara.
Begitu juga untuk
menarik perhatian akan suasana cemas tentang kegagalan kerajaan menangani
jumlah kematian angkara Covid-19 yang meningkat setiap hari, maka anak-anak
muda tanpa rasa takut ditangkap atau dipenjara telah turun ke jalan-jalanraya
mengisytiharkan gerakan “Kibarkan bendera hitam” di seluruh negara.
Perjuangan para
pelajar universiti dan anak-anak muda Malaysia tidak pernah berhenti. Mereka
sentiasa dapat mengesan denyut nadi kehidupan rakyat jelata.
Kini anak-anak muda dan
para pelajar universiti tampil sekali lagi ke hadapan menyuarakan keresahan dan
kebimbangan rakyat yang sedang menghadapi krisis harga barangan makanan seperti
ayam, telor, sayur-sayuran dan roti naik melambung tinggi.
Apa yang berlaku 47
tahun lalu yang digerakkan oleh anak-anak muda di kampus-kampus universiti
bukanlah satu perkara terpencil yang tidak meninggalkan kesan atau legasi.
Sejarah perjuangan
adil dan berani para mahasiswa universiti hampir setengah abad yang lalu,
berlanjutan hingga ke hari ini.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
3 Disember 2021 (Jumaat)
No comments:
Post a Comment