February 14, 2022

 PERUBAHAN PERLU HADIR DARI BAWAH

Lebih kurang sebulan yang lalu, saya ikut bersama perjumpaan bersama keluarga dan beberapa kawan serta beramah mesra selepas beberapa bulan kuncitara.

Seperti biasa, perbualan kami seringkali menjurus kepada keadaan negara kita yang semakin tenat.

Ketika berbincang, salah seorang di antara kami melontarkan sebuah persoalan hipotetikal: “Apakah sebuah perkara yang akan kita lakukan, bagi membuat sebuah perubahan yang jelas … jika kita mempunyai kuasa eksekutif?” 

Persoalan ini mengingatkan saya kepada karangan yang perlu kita tulis ketika di bangku sekolah dulu. Cumanya sekarang, kita semua sudah dewasa, dan persoalan ini pastinya mengandungi teka-teki yang mempunyai pelbagai dimensi untuk kita terokai. Di mana kita akan bermula jika bukan pada permasalahannya, kan?

Sementara setiap seorang daripada kami yang ada ketika itu membawa pulang soalan yang sukar ini untuk direnung bersama, banjir tiba-tiba menyelubungi keseluruhan negara kita. Dalam satu malam, air deras memberi kesan kepada sebahagian tempat di Selangor – serta, dalam beberapa hari selepas itu, Pahang dan Johor turut terkesan – dan ribuan warga terpaksa dipindahkan dari rumah mereka, mengakibatkan kerugian melibatkan berbilion ringgit, serta beberapa nyawa lainnya.

Banjir ini sekaligus membongkar ‘permasalahan’ yang sedia ada wujud. Cukup mudah bagi sesiapa yang mengikuti isu banjir ini lewat media sosial untuk memahami bagaimana kerajaan kita tidak mempunyai empati, tiada komitmen terhadap integriti, serta kurang kecekapan dalam cara mereka menguruskan banjir.

Kita tahu bahawa pam air yang kritikal berada di pintu pasang surut di Shah Alam itu tidak diselenggara selama berbulan lamanya walaupun sudah beberapa kali diberikan peringatan. Nampaknya, beberapa lokasi pusat tadahan banjir turut ditanda di dalam pelan tindakan sebagai kawasan pembangunan, di mana dengan penuh misteri dan mencurigakan kemudiannya dijadikan sebagai kawasan pembinaan.

 

No comments:

Post a Comment