KAPAL
LCS PATUT SERAH OGOS 2022, TETAPI TIADA SATU SIAP
Dikatakan wujud
penyelewengan dalam projek LCS yang bernilai lebih RM9 bilion.
Tiada satu pun kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083
bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd
(BNS) secara rundingan terus.
Menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dikeluarkan
semalam, menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS
harus disiap dan diserahkan kepada TLDM. Lebih mengejutkan, laporan itu turut
mendedahkan terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan
apabila pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan
item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.
“Ini adalah luar biasa dan ini menyebabkan bayaran kemajuan LCS 1
melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus (bayaran sebanyak 63.8
peratus berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7 peratus),” dedah
laporan PAC setebal 247 muka surat. Menurut laporan itu, pandangan TLDM selaku
pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam
pelaksanaan projek LCS.
“Pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM telah
dipersetujui oleh Menteri Pertahanan. Keputusan tersebut telah berubah kepada
reka bentuk kapal jenis Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa
kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011. Memetik kenyataan Panglima Tentera
Laut pada ketika itu, Laksamana Tan Sri Dr. Abdul Aziz Jaafar, keputusan
tersebut adalah sesuatu yang tidak kena,” jelas laporan itu.
Dalam rumusan akhir PAC, siasatan dilakukan oleh kerajaan terhadap
BNS gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut apabila terpaksa membuat
pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion sekali gus bertentangan dengan
Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007 yang berkuatkuasa ketika itu.
Malah kedudukan kewangan BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna
kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan apabila setakat 2018, hutang
syarikat itu kepada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) adalah sebanyak RM801
juta manakala pinjaman dengan institusi kewangan adalah RM956 juta.
Malah laporan itu mendedahkan
peralatan yang disimpan dalam stor bagi projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7
bilion dan dianggarkan 15 peratus telah pun usang.
No comments:
Post a Comment