September 25, 2022

 

Kenapa potrait Mona Lisa karya Leonardo Da Vinci begitu istimewa dan terkenal? Saya bukan peminat potrait dan pada mulanya saya sendiri tidak nampak dimana istimewanya potrait ini sehingga dikagumi oleh para peminat seni di seluruh dunia. 

Potrait Mona Lisa dihasilkan pada tahun 1506. Makanya, potrait ini perlu dinilai relatif dengan waktu ianya dihasilkan. Barulah dapat difahami nilai potrait ini dari perspektif seni lukisan waktu itu.  

Selain seorang pelukis, Da Vinci adalah juga seorang saintis, ahli matematik, dan jurutera pada zaman 'Renaissance'.  Beliau banyak mengkaji tentang mata, penglihatan, warna, dan cahaya.  

Karya seni pada zaman itu sudah agak maju dari sudut 'realistik view'.  Objek pandangan jauh dan dekat mempunyai nisbah yg 'realistik', warna-warna objek juga menghampiri warna dan pandangan sebenar.  Tetapi Da Vinci memperkenalkan satu konsep baru lukisan dalam Mona Lisa.  Beliau sedar bahawa tidak semua objek adalah jelas pada penglihatan mata manusia, tetapi dalam banyak hal pandangan manusia yang ada unsur kesamaran. 

Da Vinci mula mengaplikasikan konsep 'pandangan samar' ini dalam karya Mona Lisa.  Beliau memanggilnya 'Sfumato'.  Potrait Mona Lisa tidak mempunyai sempadan objek yang jelas yang memisahkan satu objek dengan objek yang lain.  Ini berbeza dengan lukisan-lukisan lain terhasil pada zaman itu dimana satu objek dengan objek yang lain jelas dipisahkan samada oleh sempadan warna yang kontra atau garis pemisah yang jelas kelihatan.  Ini tidak ada pada potrait Mona Lisa. 

Wajah wanita bangsawan bernama Lisa Gherardini yang terdapat dalam potrait Mona Lisa dilukis dengan konsep 'kesamaran' dan 'refleksi cahaya' sehingga ia kelihatan 'hidup', terutama di bahagian matanya.  Para peminat lukisan waktu itu memberi komen, "apabila lukisan ini digantung di dalam bilik, anda seolah-olah dapat merasakan matanya sentiasa mengekori pergerakan anda". 

Selain itu potrait ini juga seolah-olah berjaya 'membawa keluar' ekspresi yang terpancar dari wajah potrait ini.  Setiap kali orang melihatnya, ia seolah-seolah memberi ekspresi yang berbeza. 

Itulah yang membezakan potrait Mona Lisa dengan lukisan-lukisan lain pada zamannya.  Ternyata pemerhatian seorang saintis dan teknokrat terhadap realiti penglihatan dan pencahayaan, serta aplikasinya ke atas seni lukisan telah berjaya membawa bidang seni lukis ke aras yang lebih tinggi. 

Begitu juga dengan bidang-bidang yang lain.  Ia perlu adunan dan gabungan pelbagai ilmu dan pengalaman yang berbeza untuk diangkat ke paras yang lebih tinggi.

 


No comments:

Post a Comment