ANWAR SEORANG YANG SUKA CABARAN
Pengerusi
PH, Anwar Ibrahim akhirnya memutuskan Parlimen Tambun sebagai kawasan yang akan
ditandinginya pada PRU15 nanti.
Mengumumkan perkara di Konvensyen PH di
Ipoh malam tadi, Anwar berkata, keputusannya memilih Tambun adalah bertujuan
untuk menjadikan Perak sebagai negeri barisan hadapan dalam perjuangannya kali
ini.
“Saya tidak memilih kerusi mudah yang
jamin majoriti besar. Saya mengepalai dan akan tawan Tambun dalam PRU15.
“Perak akan menjadi negeri barisan
hadapan perjuangan kali ini. Saya akan labuh di Tambun,” katanya disambut
tepukan gemuruh.
Dengan memilih Tambun, bermakna Anwar
yang juga Presiden PKR akan cuba merampas kerusi itu daripada wakil rakyatnya
sekarang iaitu Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu atau Peja yang
memenangi kerusi tersebut pada PRU14 lalu.
Secara tradisi pula, Tambun adalah kerusi
milik UMNO di mana Ahli Parlimen terakhirnya sebelum tewas kepada Peja ialah
Ahmad Husni Hanadzlah, bekas Menteri Kewangan Kedua.
Melihat kepada jumlah pengundi berdaftar
pada 2018 iaitu seramai 107,763, di samping cabaran daripada UMNO/BN dan
Bersatu/PN yang ada Pas didalamnya sudah pasti sengit, hakikatnya Tambun
bukanlah kawasan yang mudah bagi Anwar.
Berbanding Port Dickson, kawasan yang
diwakili Anwar sekarang dan telah dijaganya dengan baik sejak empat tahun lalu,
berpindah ke Tambun bermakna beliau harus bermula daripada kosong.
Banyak kerja dan program turun padang
harus dilakukannya, malah perlu dilipatgandakan berbanding yang dilakukannya di
Port Dickson sekarang ini.
Tetapi itulah Anwar, beliau memang
seorang yang suka cabaran dan tidak suka memilih jalan mudah dalam
perjuangannya.
Bahkan, dengan rekodnya di Port Dickson
selama ini, beliau kini menyediakan kawasan itu lebih mudah untuk dimenangi
sesiapa saja yang diputuskan PKR sebagai penggantinya.
Apa yang dilakukannya ini dengan memilih
kawasan baru untuk ditandingi tidak mungkin berani dilakukan oleh presiden
parti lain seperti Zahid Hamidi, Mahiaddin Md Yasin, Hadi Awang, malah Tun
Mahathir Mohamad pun tak berani keluar daripada negeri Kedah untuk bertanding.
Di sinilah kelebihan dan berbezanya Anwar
berbanding semua yang lain kerana selepas keluar daripada Permatang Pauh,
beliau kemudian berpindah ke Port Dickson dan kini ke Tambun.
Dalam erti kata lain, beliau adalah sosok
yang boleh menang di mana saja kawasan yang ditandinginya.
Termasuk Tambun dengan komposisi pengundi
– Melayu 65.8%, Cina 23.7%, India – 9.0% dan lain-lain 1.5%, kawasan itu adalah
gambaran wajah Malaysia yang sebenar dan walaupun cabaran dijangka sengit,
Anwar dilihat tidak sukar untuk memenanginya, sesuai dengan perjuangannya untuk
semua kaum selama ini.
Apatah lagi dengan bertanding di Tambun
yang sekaligus meletakkan Perak sebagai negeri barisan hadapan dalam
perjuangannya, selain kedudukan beliau sebagai bakal Perdana Menteri, semua itu
adalah merit tambahan yang lebih memungkinkan sokongan kemenangan lebih
melonjak kepadanya.
Jentera PH secara keseluruhan pula sudah
pasti juga akan memberi lebih tumpuan bagi memastikan calon Perdana Menteri
beroleh kemenangan yang membanggakan.
Bagi pengundi Tambun, berbanding diwakili
dua menteri sebelum ini iaitu daripada UMNO dan juga Bersatu, sudah tentu kali
ini amat teringin untuk diwakili oleh Perdana Menteri sebagai wakil rakyat
mereka.
Walaupun Perak adalah negeri kelahiran
Presiden UMNO dan keputusan Anwar mahu menjadikan negeri itu sebagai negeri
barisan hadapan dalam perjuangannya serta ingin dirampas dalam PRU15 nanti dan
ia tentunya merupakan suatu tamparan kepada Zahid Hamidi, Peja sebagai Ahli
Parlimen Tambun sebenarnya lebih tertampar lagi dengan keputusan Anwar
bertanding di situ.
No comments:
Post a Comment