AYOH BANGKIT BASMI KLEPTOKRASI
Memandangkan PRU-15 semakin hampir dalam tempoh kurang daripada sebulan, kita mesti berazam untuk memilih pemimpin yang bukan sahaja bebas daripada kegiatan rasuah, tetapi yang akan membantu untuk menghapuskan semua unsur kleptokrat yang menjangkiti kerajaan di semua peringkat dengan penyakit ini.
Istilah kleptokrasi sangat penting untuk
memahami perbezaan antara negara yang hanya dipengaruhi oleh rasuah, daripada
negara yang dikuasai oleh rasuah. Istilah negara kleptokratis merujuk kepada
negara yang dikuasai ‘maling’ atau pencuri harta rakyat.
Sebuah kleptokrasi merupakan pemerintahan
oleh pencuri yang menyamar sebagai pegawai negara yang jujur. Ciri utama
kleptokrasi adalah ia sejenis ‘jenayah negara’. Seorang kleptokrat merupakan
pegawai negara yang mencuri daripada dana dan sumber negara melalui kegiatan
rasuah. Rasuah ditakrif sebagai pencurian melalui penipuan terhadap badan
pemerintah, syarikat swasta, ataupun orang awam dan terdiri daripada tiga
komponen, iaitu, penyuapan, pemerasan, dan nepotisme.
Penghubung bagi tiga jenis rasuah ini,
adalah, penempatan kepentingan masyarakat umum di bawah kepentingan peribadi
serta pengkhianatan kepercayaan.
Menurut Syed Hussein Alatas dalam buku
beliau bertajuk “Korupsi: Sifat, Sebab dan Fungsi”, ciri rasuah yang penting
adalah dwifungsi pada mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah. Contohnya,
ketika seorang pegawai disuap oleh pihak yang menawarkan pemberian supaya
mengeluarkan lesen perniagaan, perbuatan mengeluarkan lesen itu merupakan
fungsi, baik pun daripada segi jawatannya mahupun daripada segi kepentingan
peribadinya. Rasuah terdapat di semua negara, tetapi bukan semua negara yang
dikuasai oleh daya rasuah. Negara yang dikuasai rasuah dapat digelar sebagai
kleptokrasi atau pemerintahan oleh maling.
Istilah kleptokrasi berasal daripada dua
perkataan, iaitu, “klepto” (mencuri) dan “krasi” (pemerintahan). Negara
seumpama ini dikuasai oleh para kleptokrat yang melibatkan diri dalam amalan
rasuah sebagai cara pengumpulan modal yang utama. Kleptokrat-kleptokrat yang
utama tidak terdiri daripada pekerja perkhidmatan awam yang memeras atau
menerima suapan untuk membiayai hidup mereka, tetapi daripada elit-elit politik
dan birokrasi yang menggunakan rasuah sebagai cara mengumpulkan modal,
memajukan kepentingan ekonomi peribadi, dan memperkayakan diri sendiri.
Ciri-ciri negara kleptokratis
Penerimaan lesen-lesen, francais,
insentif, dan konsesi cukai dimudahkan melalui hubungan penaung dan yang
dinaungi dan seringkali juga melibatkan nepotisme. Sebuah kleptokrasi itu
dikuasai oleh pegawai negara dan ahli politik yang amat egoistik. Tujuan mereka
melakukan rasuah bukan untuk membantu kaum keluarga dan sahabat disebabkan oleh
perasaan kewajipan moral dan timbal-balik, tetapi oleh ketamakan yang
berlebihan.
Tekanan untuk membantu kaum keluarga
seringkali didorong oleh kepatuhan kepada apa yang difahami sebagai norma
masyarakat. Menurut teori kebudayaan rasuah, amalan rasuah itu selaras dengan
nilai tradisional, apabila orang tua membantu anggota keluarga yang muda. Kita
menolak teori ini kerana norma masyarakat kita, walaupun menggalakkan
pembantuan sesama keluarga, tidak pada waktu yang sama mendorong kegiatan
jenayah. Sebenarnya, rasuah dalam konteks kleptokrasi berasaskan kepada
keinginan untuk keuntungan peribadi. Seorang kleptokrat mempunyai perwatakan
egoistik.
Pelbagai perkara
dianggap ciri negara kleptokratis termasuk:
·
ia
sejenis jenayah negara;
·
hubungan
rasuah antara ahli politik dan birokrat pada satu pihak, dengan ahli kelas
pemodal pada pihak lain;
·
rasuah
merupakan salah satu alat pengumpulan modal yang utama dan dapat dianggap
faktor pengeluaran dalam bidang ekonomi;
·
ia
berasas kepada peranan dwifungsi negara dalam proses pembangunan;
·
ia
berdasarkan kepada permintaan dan penawaran pertolongan;
·
kleptokrasi
adalah transistemik, iaitu, terdapat di kedua-dua negara demokratis dan
autoriter;
·
dalam
sebuah negara kleptokratis, kebanyakan pegawai negara terlibat dalam rasuah,
sekurang-kurangnya secara berskala kecil, supaya status quo dapat dikekalkan.
Pertikaian dan pertentangan daripada dalam negara dielakkan;
·
negara
kleptokratis itu merupakan oligarki, iaitu, negara itu dikuasai oleh segolongan
kleptokrat egoistik yang kecil.
Bahaya
rasuah
Oleh kerana negara memain peranan yang
amat penting, khususnya di negeri-negeri membangun, negara kleptokrasi dapat
membawa kesan yang amat buruk terhadap ekonomi, termasuk kehilangan pendapatan
pemerintah, kekurangan kecekapan, herotan dasar-dasar kerajaan, dan penumpuan
modal.
Ada yang berhujah rasuah dapat
menambahkan kecekapan kerana pekerja yang menerima wang segera akan menjadi
lebih produktif tanpa tambahan gaji. Pemerhatian ini kurang tepat kerana wang
segera biasanya tidak membeli kecekapan, tetapi hanya suatu perkhidmatan yang
tidak akan diberi tanpa insentif kewangan itu.
Pemerintahan kleptokratik juga
menyebabkan penyimpangan dasar-dasar kerajaan. Sesuatu dasar yang bertujuan
memanfaatkan segolongan tertentu dalam masyarakat akhirnya dimanfaatkan
golongan-golongan lain.
Contohnya, di sebuah negara di Asia
Tenggara beberapa tahun yang lalu, pemerintah memperuntukkan ribuan ekar untuk
sebuah syarikat besar sedangkan tanah itu dikhaskan untuk ribuan keluarga.
Rasuah juga mengakibatkan penumpuan
modal. Rasuah dan, khususnya, nepotisme memain peranan yang penting dalam
penumpuan modal. Ini merujuk kepada sejauh mana segolongan kecil syarikat
menguasai industrinya daripada segi jumlah pengeluaran dan guna tenaga.
Contohnya, kadar penumpuan modal dianggap
agak tinggi jika 75% daripada guna tenaga dalam industri dalam lima syarikat
terbesar.
Negara kleptokratis amat berbahaya.
Kesedaran tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pembangunan ekonomi dan
politik seharusnya dipertingkatkan sehingga muncul gerakan sosial menentang
kleptokrasi.
Malangnya, selain segolongan kecil
sarjana seperti Syed Hussein Alatas, Peter Evans, dan Bjorn Beckman yang
mengambil perhatian tentang dimensi rasuah dalam pengkajian negara, masih ada
kekurangan usaha mendidik rakyat tentang bahaya fenomena negara kleptokratis.
Izinkan saya menamatkan makalah ini
dengan beberapa petikan daripada Qasidah
Anti-Korupsi yang dikarang di Indonesia. Saya rasa ada beberapa
ajaran bagi warga Malaysia yang dapat diperolehi daripada sikap anti rasuah
dari seberang.
Islam
agama yang bersih lagi suci,
Umatnya dilarang berbuat mencuri,
Apalagi korupsi, lebih jahat lagi,
Ayo kita bangkit membasmi korupsi,
Bagaimana
Indonesia diberkahi,
Kalau pejabatnya banyak yang korupsi,
Memberantasnya pun hanya pilih-pilih,
Ayo kita bangkit membasmi korupsi,
Negeri
RI bangkrut bukan sebab subsidi,
Bukan juga karena luasnya negeri,
Tapi negeri bangkrut lantaran korupsi,
Ayo kita bangkit membasmi korupsi,
Rakyat
banyak melarat akibat korupsi,
Sekolah jadi mahal akibat korupsi,
Rumah sakit antri akibat korupsi,
Ayo kita bangkit membasmi korupsi,
Ma‘siat
merajalela akibat korupsi,
Preman di mana-mana akibat korupsi,
Rakyat diadu domba akibat korupsi,
Ayo kita bangkit membasmi korupsi,
Miskin
makin miskin akibat korupsi,
Bangkrut makin bangkrut akibat korupsi,
Rusak makin rusak akibat korupsi,
Jika kita benar-benar menyayangi negara,
jangan kita memberi kesempatan untuk kleptokrat dan maling memerintah. Mari
kita memperalatkan undi kita untuk memajukan kepentingan rakyat dan bukan
kepentingan segolongan kecil.
No comments:
Post a Comment