GERAKAN JATUHKAN KERAJAAN KERJA SIA-SIA
DAN BUANG MASA
Sama ada Langkah Tropicana yang
diperbualkan ketika ini benar-benar wujud atau sebaliknya, sebarang gerakan
untuk menggugat kerajaan perpaduan yang diterajui Anwar Ibrahim sekarang
hanyalah kerja sia-sia serta membuang masa.
Realitinya kerajaan ini sedang diterima
baik oleh rakyat dan cubaan menggugatnya bukan saja dianggap suatu penderhakaan
kepada Yang Dipertuan Agong kerana idea kerajaan perpaduan itu sendirinya
datangnya daripada baginda, malah mereka yang bertindak demikian juga pasti
akan dicop sebagai orang jahat di mata rakyat.
Rakyat baru saja selesai menunaikan
tanggungjawab mereka dalam PRU15 dan walaupun tiada majoriti mutlak diperolehi
oleh mana-mana parti, tetapi selain PH merupakan pemenang kerusi terbanyak,
penggabungan melalui beberapa parti untuk membentuk kerajaan perpaduan juga
bermakna jumlah majoriti telah diperolehi.
Dengan PH, BN, GPS, GRS, Muda, Warisan,
PBM dan Bebas bergabung membentuk kerajaan perpaduan, majoritinya kini adalah
berjumlah 148 kerusi Parlimen.
Ini bukan saja bererti majoriti sudah
dimiliki, bahkan telah mencapai tahap dua pertiga.
Maka, mahu digugat apa lagi?
Walaupun Anwar sendiri telah mengumumkan
kesediaan membawa undi percaya di Parlimen pada 19 Disember nanti, soalnya
apakah PN mampu menggugatnya dalam undian itu nanti?
Selain itu, berikutan kerajaan perpaduan
yang diterajui Anwar ini turut diterima baik di seluruh dunia dengan ucapan
tahniah datang bertalu-talu, pihak yang ingin menjadi jahat ini sepatutnya
berfikir sepuluh kali jika ingin terus menggugatnya.
Sebahagian dunia pasti akan mengecam dan
mengutuk perbuatan mereka itu, di samping rakyat juga tidak terkecuali akan
berbuat demikian.
Begitu pun, sesuai dengan semangat
demokrasi, jika gugatan ingin dilakukan dengan cara menumbangkan Ahmad Zahid
Hamidi selaku Presiden UMNO dalam pemilihan parti, masa untuk berbuat demikian
juga belum tiba.
Pemilihan UMNO hanya akan diadakan pada
tahun depan, kemungkinan bulan Mac atau April, jadi bersabarlah dulu.
Setelah tarikh pemilihan UMNO ditetapkan,
barulah boleh kalau nak turun mengadakan apa jua gerakan yang diingini.
Buat masa sekarang, jadilah orang baik
yang bersama-sama menyokong kerajaan terlebih dahulu, sambil tidak cuba
melakukan apa-apa tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai penderhakaan dan
membawa kesusahan kepada rakyat.
Lebih daripada itu, jika benar mahu
melakukan apa-apa gerakan untuk menjatuhkan kerajaan, siapakah calon Perdana
Menteri yang ingin ditonjolkan?
Baik Mahiaddin Md Yasin atau Ismail Sabri
Yaakob, kedua-dua bekas Perdana Menteri itu telah diangagp gagal oleh rakyat
selama 31 bulan mereka berpeluang memegang kuasa sebelum ini.
Di mana logik dan munasabahnya jika
pemimpin yang pernah gagal itu mahu ditonjolkan kembali?
Masa paling baik untuk menggugat kerajaan
sekarang ialah pada PRU16 tahun 2027 akan datang, itu pun calon Perdana Menteri
yang ingin ditonjolkan mestilah pemimpin baru yang diyakini lebih baik dan
lebih berkaliber daripada Anwar yang ada sekarang.
Kalau tidak, sekali lagi, semua itu kerja
sia-sia dan membuang masa saja. – ShahbudinHusin
26/112022.
No comments:
Post a Comment