Perwakilan asing di negara ini menghantar
ucapan tahniah kepada Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai perdana menteri ke-10
pada hari ini.
Mesej tahniah pertama yang diterima
sejurus selepas Anwar mengangkat sumpah pada 5 petang adalah daripada Duta
Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D McFeeters.
“Tahniah kepada Anwar Ibrahim atas
pemilihannya sebagai perdana menteri Malaysia ke-10. Kedutaan AS Kuala Lumpur
berharap untuk terus mengukuhkan perkongsian strategik AS-Malaysia di bawah
kepimpinan anda,” katanya pada mesej yang disiarkan di akaun Twitter rasmi
kedutaan US Embassy KL, hari ini.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia,
Justin Lee dalam akaun Twitter rasminya juga menghantar mesej ucapan tahniah
kepada Anwar.
Lee juga menyiarkan gambar beliau bersama
Anwar.
“Tahniah kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim
atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia ke-10!. Australia &
Malaysia adalah kawan yang paling rapat.
“Suruhanjaya Tinggi Australia berharap
dapat bekerjasama dengan pasukan anda di bawah perkongsian strategik
komprehensif kami,” tulisnya di Twitter.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi
Katsuhiko ketika mengucapkan tahniah kepada Anwar berkata beliau amat berharap
kerajaan baharu akan memimpin Malaysia dalam perpaduan dan seterusnya
mempromosi hubungan Jepun-Malaysia.
“Tahniah kepada Anwar Ibrahim
@anwaribrahim yang telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia
ke-10,” tweet beliau.
Anwar, 75, dipilih sebagai perdana
menteri Malaysia ke-10 oleh Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad
Shah selepas lima hari kebuntuan politik berhubung Parlimen yang tergantung
susulan keputusan pilihan raya umum ke-15 pada 19 Nov.
No comments:
Post a Comment