CURIGA PERKAUMAN BUKAN SEBAHAGIAN TRADISI MELAYU ISLAM
Di tengah-tengah polarisasi masyarakat di
Malaysia yang meruncing, adanya rasa curiga yang kian menebal. Curiga ini
ditanam dan disemai agar bercambah menjadi rasa takut dan benci kepada golongan
yang “lain” (the Other), iaitu kelompok yang berbeza dengan “kita”.
Siapa “kita” dan “yang lain” itu pun tidak jelas melainkan ianya dimainkan oleh
pihak-pihak berkepentingan tentu. Natijahnya, kecurigaan ini akhirnya
digunakan, adakalanya atas nama Islam, untuk mengapi-apikan umat Melayu Islam
untuk membenci dan menolak sebahagian golongan bukan Islam di negara ini. Ini
bukan pendekatan agama kita. Ini tentunya bukan pendirian nilai bangsa
kita.
Agama Islam, sepertimana yang termaktub
dalam Al-Qur’an dan Sunnah, sentiasa berpijak pada prinsip keamanan dan
kedamaian. Almarhum Ustaz Siddiq Fadzil pernah mengungkapkan: “Islam
menganjurkan sikap memaafkan, malah memberikan reaksi yang lebih baik dengan
objektif mengubah permusuhan menjadi persahabatan, bukan untuk mempertajam
pertentangan.” Pandangan ini selaras dengan firman Allah SWT:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami
jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal
mengenali (ta’arufu).” (Surah Al-Hujurat, ayat 13)
Petikan ayat ini jelas meletakkan prinsip
dasar bagi hubungan antara manusia (tanpa mengira kaum dan agama) tidak
bertitik tolak daripda rasa curiga dan adu domba, tetapi sifat berlapang dada
untuk saling mengenal dan belajar antara satu sama lain. Istilah ta’arufu,
dari kata arafa, menegaskan semangat kesalingan: kenal mengenal,
faham-memahami, dan hormat-menghormati. Ustaz Quraish Shihab, ulama tafsir
besar Indonesia, dalam kitab tafsirnya Tafsir Al-Misbah menegaskan
bahawa ayat ini mengajak kepada sikap saling mempelajari antara satu
sama lain bagi meningkatkan ketakwaan sekaligus mendorong ke arah kedamaian dan
kesejahteraan hidup duniawi dan kebahagiaan ukhrawi[1].
Deretan panjang sejarah umat Islam juga
memaparkan pelbagai contoh yang menekankan semangat kesalingan yang benar-benar
ikhlas antara golongan Islam dan kelompok dari agama yang berbeza. Riwayat
hidup baginda Rasulullah SAW dipenuhi dengan kisah-kisah kedamaian dan saling
mempelajari antara satu sama lain. Baginda, misalnya, tidak kekok untuk
memanfaatkan taktik dan strategi perperangan Tamadun Parsi (sungguhpun dari
sudut geopolitik, empayar Sasanid lebih mendatangkan ancaman bagi kerajaan
kecil Islam di tanah Arab). Sayyidina Umar al-Khatab, pemimpin kerajaan yang
turut menakluki beberapa kawasan penting di bawah naungan Empayar Romawi dan
Sasanid, juga tidak menolak menerapkan model pentadbiran (Al-dīwān) dari
kerajaan Parsi ke dalam pemerintahan kerajaan Islam yang baru berkembang.
Semangat saling mengenal (baca:
anti-curiga) ini juga terus mekar dan berkembang dalam era pasca al-Khulafāʾ
al-Rāshidūn. Kegiatan penterjemahan dan keilmuan kerajaan Abbasiyyah yang
dijulang sebagai “Zaman Keemasan Islam” hanya boleh berkembang melalui proses
mengenal dan mempelajari hikmah dan kebaikan tradisi Yunani dan Farsi;
memanifestasikan semangat kesalingan yang ikhlas dan tulen.
Semangat ini juga boleh diteladani
melalui perjalanan hidup pemikir besar Islam, Abū al-Rayḥān Muḥammad ibn Aḥmad
al-Bīrūnī (362-442H / 973 -1048M). Al-Bīrūnī berkelana ke India melalui
ekspedisi ketenteraan Mahmud dan menetap di sana untuk mempelajari kebudayaan
India selama 12 tahun. Sepanjang beliau di India, al-Bīrūnī menekuni bahasa
Sanskrit, dan menterjemah beberapa kitab agama hindu sekaligus mengkaji
kepelbagaian aliran keagamaan di India.
Penelitiannya itu tersingkap dalam Kitab
ma li al-Hind, yang disifatkan oleh sebahagian sarjana sebagai kitab
pertama yang mengkaji perbandingan agama secara sistematik dari seorang ilmuan
Islam. Kitab ma li al-Hind menjelaskan kepelbagaian agama
dalam ketamadunan India menurut kaca mata masyarakat-masyarakat di India dan
kitab-kitab sanskrit sendiri. Beliau cukup berhati-hati untuk tidak
mendatangkan sebarang penilaian (judgemental) dari perspektif Islam.
Bagi al-Bīrūnī, proses pemahaman dan pembelajaran harus dimulakan dengan
mengenal “yang lain” (the other) secara ikhlas dan jujur tanpa bersikap
prejudis. Demikianlah semangat li’ta’arufu yang disarankan
oleh Islam.
Tradisi dan kebudayaan alam melayu juga
tidak asing dengan semangat kesalingan yang damai antara masyarakat berbilang
kaum. Jauh sebelum Islam mula bertapak di rantau ini, masyarakat tempatan sudah
pun mengamalkan pertukaran budaya dan idea sesama agama dan ras. Sejarawan
seperti O.W. Wolters, Ian Mabbett, Van Leur dan M.B. Hooker turut mencatakan
bagaimana pertukaran idea berlangsung secara organik, tanpa sebarang paksaan.
Dalam maksud lain, tesis Samuel
Hungtinton Clash of Civilization tidak terpakai di alam Melayu
– yakni tidak ada dominasi sesebuah tamadun terhadap ketamadunan yang lain
dijalankan secara keras atau melalui jalan konflik. Bahkan, ungkapan Bhinejka
Tunggal Ika ( Kepelbagaian dalam Kesatuan) yang dipetik daripada karya
puisi kuno berbahasa Jawa sewaktu kekuasaan Empayar Majapahit lebih tepat
menggambarkan semangat hubungan antara kaum dan agama di rantau ini.
Kedatangan Islam ke tanah Melayu terus
mengekalkan budaya kesalingan dan toleransi ini. Ulama Kesultanan Acheh,
Sheikhul Islam Nuruddin ibn Ali al-Raniri (m.1068 H/1658 M) turut mengarang
kitab bertemakan perbandingan aliran agama berjudul Tibyān Fī Ma‟rifat
Al-Adyān. Huraian ar-Raniri banyak menyamai karya ilmuwan Parsi Muhammad
al-Shahrastānī (abad 5H/10M). Meskipun demikian, al-Raniri turut mendatangkan
pandangan beliau yang tersendiri. Misalnya, berbeza dengan al-Shahrastānī yang
tidak menggolongkan agama Hindu sebagai Ahli Kitab, al-Raniri melihat golongan
Barāhimah (Brahmanisme dalam keagamaan India) termasuk dalam 10 golongan Ahli
Kitab.
Contoh-contoh yang saya bawakan ini
bertujuan untuk mengingatkan umat Melayu Islam di Malaysia ini bahawa tradisi
keagamaan dan kebudayaan kita tidak bermula dengan rasa curiga pada kaum dan
agama lain. Rantau ini terbangun melalui dasar toleransi yang tinggi, beserta
sikap ingin mengenal dan belajar antara satu sama lain secara ikhlas dan jujur.
Sikap keterbukaan dan kesediaan untuk memahami agama dan budaya lain harus
dihidupkan semula dan dipasak utuh dalam ragam kehidupan seharian umat Melayu
Islam hari ini.
Inilah identiti dan nilai tradisi Melayu
dan Islam yang sebenar. Identiti dan nilai inilah yang mampu menyelamatkan kita
daripada ditipu dan dihasut dengan retorik kebencian pihak-pihak tertentu.
Penulis:
Imran Rasid
No comments:
Post a Comment