Hassan
Karim berkata, gambar ini diambil di rumah seorang kerabat rapat pemerintah
Qatar pada 2019 yang menghidangkan nasi Arab berlauk kambing kepada Anwar
Ibrahim dan rombongannya. (Gambar Facebook)
Seorang pemimpin PKR berkata, gambar tular Perdana Menteri,
Anwar Ibrahim menjamu selera di depan dulang besar adalah gambar lama pada 2019
ketika beliau ke Doha atas jemputan perdana menteri Qatar.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, lawatan itu
diadakan selepas Anwar memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada Oktober
2018, di mana dirinya antara beberapa Ahli Parlimen PKR yang turut menyertai
rombongan itu.
Katanya, Anwar turut dipelawa menghadiri satu persidangan
antarabangsa memperingati tokoh Islam Malek bin Malek, selain menziarahi tokoh
ulama Islam Yusuf al-Qaradawi.
“Anwar dan rombongannya bukan ke Doha, Qatar untuk makan nasi
Arab dalam dulang besar.
“Gambar ini diambil di rumah seorang Sheikh, iaitu kerabat rapat
pemerintah Qatar. Anwar dan rombongannya sebelum pulang ke Malaysia telah
dijemput oleh Sheikh itu singgah ke rumahnya sebelum ke lapangan terbang Doha
untuk pulang ke tanah air.
“Sebagai tetamu, Anwar dan rombongannya pun terperanjat dengan
hidangan hebat seperti dalam gambar itu. Kami makan bersila dalam pinggan yang
kecil di hadapan dulang besar dengan nasi Arab berlauk kambing, bukannya unta,”
jelasnya dalam catatan di Facebook.
Semalam, pemilik akaun Facebok Sam MY memuat naik gambar Anwar
sedang makan bersama beberapa individu dan mendakwa rakyat disuruh makan Menu
Rahmah sedangkan perdana menteri menikmati hidangan nasi mewah dalam dulang
besar.
Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil
dilaporkan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan polis menyiasat
hantaran itu yang disifatkannya berniat jahat dan sengaja menimbulkan prasangka
terhadap perdana menteri dengan menyiarkan gambar lama.
Hassan meminta laporan polis tidak dibuat terhadap penyebar
gambar itu kerana “kita lawan fitnah dengan fakta dan penjelasan rasional”.
“Saya ceritakan ini semua untuk menegakkan fakta dan kebenaran
untuk melindungi nama baik Anwar daripada difitnah sesuka hati. Kebenaran pada
saya adalah dinding kepada fitnah.”
No comments:
Post a Comment