KALAU JENIS MALAS MEMBACA, SATU HAPA PUN TAK TAU.
Anwar Ibrahim mendapat
pujian hasil kenyataan tegasnya mengenai konflik di Gaza diluahnya semasa
lawatannya ke Jerman tempoh hari. Apa yang dikatakan perdana menteri tidak
perlu saya perinci di sini kerana pasti ramai sudah tahu. Cukup untuk
dinyatakan bahawa Anwar “diasak” wartawan Jerman pada sidang media di Berlin
mengenai pendirian keras Malaysia terhadap Israel dan keengganan menggelar
Hamas kumpulan pengganas.
Ringkasan reaksi Anwar
begini. Dasar Malaysia kata beliau adalah konsisten – menentang penjajahan,
aparteid, penghapusan etnik dan rampasan harta di mana-mana negara tidak kira
Ukraine atau di Gaza.
“Kita tidak boleh padam
40 tahun kezaliman dan pengusiran yang mengakibatkan reaksi dan kemarahan pihak
yang menjadi mangsa. Hubungan kami dengan Hamas adalah dengan sayap politiknya
dan kami tidak perlu rasa bersalah atau perlu minta maaf tentang hal ini,” kata
beliau.
Sememangnya kata kata
Anwar berapi dan tidak apologetik. Sidang media beliau masih boleh ditonton di
YouTube secara keseluruhan atau pun sedutan beberapa klip. Yang jelas naratif
media Jerman malah antarabangsa berbunyi “Malaysia lectures Germany on human
rights”. Satu lagi “Malaysia condemns West hypocrisy”.
Paling menarik kenyataan
keras itu dibuat di hadapan Canselor Jerman Olaf Scholz pada sidang media
bersama di Berlin itu. Kita tahu Jerman menyokong Israel dan menyifatkan
serangan ganas Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza sebagai hak Israel
mempertahankan diri setelah diserang Hamas 7 Okt lalu. Pendirian Jerman, Olaf
diulangi pada sidang media itu sebelum Anwar berkata apa yang beliau kata.
Podcast Keluar Sekejap
dikendali Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan baru- baru ini mengulas
kenyataan Anwar. Kata KJ perlu diingat sidang media diadakan di Jerman yakni
“di gelanggang lawan” tetapi beliau kagum dan bangga perdana menteri “tidak
berlapik, tidak beralas malah respons beliau bukan sekadar satu dua ayat tetapi
respons yang komprehensif”.
Kata Shahril “dalam
konteks ini PM kita tidak takut dan tidak terbawa-bawa dengan suasana sesuatu
tempat. Maksud saya bila kita pergi ke tempat orang kita dikelilingi dengan
suasana tertentu. ‘Mindset’ kita mungkin macam mana nak sesuaikan diri dengan
keadaan dan kita boleh kompromi dengan apa yang kita percaya. Dalam hal ini
saya yakin jika pemimpin yang tidak tegas dalam pendiriannya akan ‘just follow
the flow’ dia akan keluarkan kenyataan yang ok ok untuk selesaikan soalan ini
dan pergi ke soalan seterusnya”.
Kesimpulannya KJ dan
Shahil berpendapat PMX “mengharumkan nama Malaysia dan tegas di hadapan
pemimpin Jerman dalam isu Palestin”.
Dalam penerbangan pulang
ke tanah air dari Hamburg setelah apa yang Anwar sifatkan “a hectic, punishing
but highly productive official visit to Germany”, beliau mungkin untuk relaks
membaca buku berjudul “Until August”. Gambar beliau membaca buku dalam ‘flight’
dipos di Facebook.
Bukan sesuatu yang pelik
Anwar baca buku. Beliau dikenali penggemar dan pembaca tegar buku khususnya
karya besar sasterawan dan penulis terkenal dunia. Buku “Until August” dikarang
Gabriel Garcia Marquez sasterawan “luar biasa”, kata penggemar buku.
Anwar dikata banyak
membaca karya Marquez atau Gabo. Tetapi karya kali ini agak berbeza. ‘For
starters’ ia nipis. Cuma lebih kurang 130 muka surat. Menurut hantaran Facebook
Anwar menyifatkan buku itu sebagai “a fine read” walaupun tidak mencapai
kehebatan karya Gabo terdahulu. “But I am not complaining” kata beliau sambil
menyifatkan buku itu sesuatu yang menarik dan sukar untuk berhenti baca.
“Until August” dicetak
setelah Gabo meninggal dunia. Sebenarnya mendiang tidak mahu lantas tidak izin
buku itu dicetak. Bagaimanapun anak-anaknya tidak pedulikan pesan si ayah.
Lahirlah “Until August” untuk sajian seluruh dunia.
Sebaik hantaran di
Facebook Anwar membaca buku itu seorang kawan menghantar mesej melalui WhatsApp
untuk memberitahu mengikut ulasan di media sosial isinya “boleh tahan
cabulnya”. Dan “jika ada musuh politik yang selidik tentang isi novel ini tentu
riuh-rendah jadinya”.
Memang betul jangkaan
kawan saya. Bukan sekadar riuh-rendah. Anwar dikecam dan diserang hebat. “Until
August” menceritakan perihal seorang wanita yang sudah bersuami pergi ke Pulau
Caribbean setiap bulan Ogos mencari cinta baharu dengan lelaki lain.
Pengkritik Anwar melihat
buku itu bagai “porno”. Mereka pantas dan tangkas membidas, mengkritik dan
menyerang. Pelbagai tuduhan dilempar di media sosial menggunakan bahasa kasar
dan kesat yang saya tidak cadang mengulanginya. Sekadar menyatakan mereka
mencemuh Anwar kerana membaca “Until August” terutama pada bulan Ramadan.
“Amalan membaca memang
mulia dan sepatutnya diteladani. Menunjukkan kepada masyarakat kepentingan
membaca juga sesuatu yang harus dipuji. Tetapi bukan semua buku sesuai dibaca
oleh semua orang. Tak semua yang kita baca boleh ditayang kepada umum. Malah
apa keperluan?” kata salah seorang pengkritik Anwar. Kritikan beliau adalah
antara yang “sopan”. Tidak ramai yang sesopan itu.
Seorang kawan lama yang
amat meminati presiden PAS menyiarkan di Facebooknya gambar Hadi Awang membaca
buku mengenai takwa untuk dibandingkan dengan gambar Anwar membaca “Until
August”. Mengiringi gambar ditulis kapsyen “dua-dua suka buku”. Rasanya boleh
difahami mesej apa yang mahu disampaikan.
Saya tampilkan Fathi
Aris Omar aktivis media yang umum tahu penggemar dan pembaca tegar buku-buku
hebat. Kata beliau menerusi Facebook: “Anwar tidak membaca buku lucah apabila
menghabiskan Until August. Bukan begitu tumpuan Marquez walau selalu muncul
cerita anak haram, hubungan sulit, kecurangan atau pelacur dalam karyanya”.
Kata beliau, Marquez
seperti sasterawan besar abad ke-20 mengupas persoalan budaya dan politik lebih
besar melalui watak dan ceritanya. Mendiang bercerita tentang kolonialisme
Eropah dan ingatan kolektif.
Lantas Fathi berkata
kepada pengecam PMX “saya cadang elok mereka berkenalan dengan buku ini untuk
mengenali siapa manusia bernama Gabriel Garcia Marquez”.
Nasihat yang bagus pada hemat saya. Cuma bagi pengecam Anwar mereka lihat apa yang mahu dilihat dan percaya apa yang mereka mahu percaya.
No comments:
Post a Comment