BENDA TIDAK MENJADI ISU TETAPI SENGAJA DIJADIKAN ISU
Kita akan bersolat di belakang sesiapa sahaja
umat Islam termasuk para imam Wahhabi-Salafiyy sama ada di Saudi, Mesir
atau Malaysia. Tiada ulama ASWJ yang muktabar menghukumkan tidak sah solat di
belakang orang yang berbeza mazhab. Hatta solat di belakang ahli bid'ah seperti
Muktazilah, ahli maksiat, orang fasiq dan pelaku mungkar, perompak, pencuri
atau perasuah pun dihukum sah (walaupun makruh) selagi ianya Islam dan memenuhi
syarat imam.
Kalau pun ada fikrah² mereka yang dihukum
sesat pun perlu dibeza antara sesat (i) yang membawa kekufuran jelas atau (ii)
yang berdasarkan tafsiran (takwil) nas yang salah.
Seperti golongan Khawarij dahulu yang
menentang Saidina Ali RA, mereka sesat berdasarkan takwil yang fasid tetapi
mereka adalah muslim. Adapun solat di belakang mereka, masih sah. Saidina Ali
kata mereka adalah saudara² kita tetapi menentang kita (هم اخواننا لكن بغو
علينا). Setakat imam yang dikatakan berfahaman Wahhabi pada hari ini apalah
sangat jika dibandingkan dengan Muktazilah, Khawarij, Murji'ah atau golongan
fasiqin lain.
Orang ramai termasuk para asatizah yang
berimamkan Sheikh Maher Hamad Al-Muaiqly, Imam Masjidil Haram semalam
menunjukkan betapa terbukanya ulama ASWJ Asya'irah kepada saudara sesama Islam.
Mereka melayani Sheikh dengan penuh ikram. Sheikh datang ke sini pun bukan
untuk mengajar fahaman² beliau dan bijak meraikan mazhab setempat.
Berbeza dengan segelintir pihak yang memang
berada di sini tetapi sepanjang masa menyebarkan fahaman² yang bercanggah
dengan tetapan pihak berkuasa agama setempat. Tidak cukup itu, telah menjadi
habit pula mengajar orang ramai untuk memperlecehkan institusi agama seperti
JAKIM, IKIM dan jabatan agama yang berbeza dengan mereka.
Saya teringat kata² al-Marhum Sheikh Dato'
Abdul Hamid Tahir kepada saya dahulu, katanya "Ana pernah pesan kepada
Dato' Juanda semasa awal² dilantik menjadi mufti di sebuah negeri, kalau nak
jadi Wahhabi, contohilah sikap Wahhabi di Saudi. Jangan jadi Wahhabi
Malaysia!".
Sebenarnya tidak menjadi isu besar pun dengan
Sheikh Maher Hamad Al-Muaiqly. Yang menjadikannya masalah ialah pihak tertentu
sahaja yang suka menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat awam.
Melihat kepada sikap masyarakat yang dididik
oleh fahaman ASWJ aliran Asya'irah di Malaysia, kenapa perlu khuatirkan RUU
Mufti WP yang memasukkan Asya'irah dalam syarat perlantikannya?. Terbukti
aliran mubarakah ini bersikap muktadil sepanjang zaman.
No comments:
Post a Comment