ROHINGYA
Pulau Bidong Sudah Mengajar Kita
Atas dasar kemanusiaan kita membantu
tetapi dalam masa sama negara juga perlu memikirkan soal keselamatan dan
perancangan jangka panjang. Foto hiasan
APABILA bercakap tentang pelarian
Rohingya, teringat satu kisah lama yang mungkin sudah dilupakan ramai iaitu
tragedi rusuhan Pulau Bidong.
Pada penghujung 1970-an, Malaysia
menerima pelarian Vietnam yang melarikan diri akibat peperangan. Bermula dengan
hanya 121 orang, jumlah mereka akhirnya meningkat sehingga hampir 250,000
orang.
Malaysia membantu mereka selama
kira-kira 12 tahun atas dasar kemanusiaan. Namun menjelang awal 1990-an,
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan pelarian yang layak akan
ditempatkan di negara ketiga, manakala yang gagal saringan perlu dihantar
pulang ke Vietnam. Keputusan itu tidak diterima sebahagian pelarian.
Mereka merusuh menggunakan lembing,
parang, pedang dan senapang patah kerana enggan pulang. Ada yang menganggap
Pulau Bidong sudah menjadi tempat mereka. Akibat kejadian itu, 10 anggota
keselamatan Malaysia cedera ketika menjalankan tugas.
Pelarian Vietnam dan Rohingya tidak sama,
tetapi sejarah mengajar bahawa isu pelarian yang berlarutan terlalu lama tanpa
penyelesaian jelas boleh menjadi cabaran besar kepada sesebuah negara.
Hari ini Malaysia menempatkan ratusan
ribu pelarian dan pencari suaka. Atas dasar kemanusiaan kita membantu tetapi
dalam masa sama negara juga perlu memikirkan soal keselamatan dan perancangan
jangka panjang.
Pulau Bidong pernah menjadi bukti bahawa
sesuatu yang bermula dengan simpati boleh bertukar menjadi masalah yang lebih
besar jika dibiarkan terlalu lama.
Sejarah tidak semestinya berulang tetapi
tragedi Pulau Bidong itu sudah mengajar kita. Jangan pernah kita lupa.

No comments:
Post a Comment