September 24, 2025

 FORMULA BIJAK RON95


Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan keputusan kerajaan untuk mengekalkan subsidi petrol RON95 kepada semua warganegara sebagai satu formula ekonomi yang bijak dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.

Menurutnya, walaupun rakyat biasa tidak begitu memahami falsafah "Madani" yang sering diangkat kerajaan, namun pengumuman mengenai dasar subsidi itu tetap mendapat sambutan positif kerana ia menyentuh terus kehidupan harian rakyat.


“Rakyat miskin dan kaya menyokong pengumuman kerajaan Madani bahawa subsidi petrol RON95 untuk semua warganegara.

“Dasar seperti ini popular kepada rakyat tanpa mengira kelas dan ras. Bukanlah satu kesalahan bagi kerajaan melaksanakan dasar yang popular.

“Pilihan raya negeri dan pilihan raya umum tak lama lagi akan tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut ahli parlimen PKR yang lantang itu, langkah tersebut membolehkan kerajaan menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, selain memberi ruang kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana menikmati lebihan pendapatan boleh guna.

Katanya lagi, bukan sahaja golongan B40 dan M40 yang gembira dengan pengumuman itu, malah kumpulan berpendapatan tinggi T20 juga tidak membantah kerana subsidi ini bersifat menyeluruh.



“Kerajaan dapat berjimat; rakyat juga dapat berjimat. Sedikit sebanyak pendapatan boleh belanja rakyat bertambah,” jelasnya.

Pada 2022, subsidi petrol, diesel dan LPG menjadi komponen terbesar perbelanjaan bantuan kerajaan apabila mencecah hampir RM50 bilion. Subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan lebih RM30 bilion kerana ia digunakan oleh majoriti pengguna kenderaan persendirian.

Sejak beberapa tahun lalu, kerajaan pernah menimbang pendekatan subsidi bersasar dengan tujuan mengurangkan ketirisan kepada golongan berpendapatan tinggi. Namun, rancangan itu beberapa kali ditangguhkan kerana dibimbangi menjejaskan kos sara hidup rakyat B40 dan M40 yang sedang berdepan tekanan inflasi.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan bekalan petrol RON95 kekal stabil dengan harga runcit RM2.05 seliter, meskipun harga minyak mentah dunia meningkat.


Bagi Hassan, dasar seperti ini berpotensi menjadi kelebihan politik buat kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekiranya ia dilaksanakan secara konsisten.

“Jika ada banyak formula ekonomi seperti ini, di mana semua rakyat suka; kos sara hidup tidak menyeksa, kadar inflasi kalau naik pun berpada-pada; gaji rakyat naik tinggi selaras kenaikan produktiviti, maka ada peluang kerajaan Madani jadi kerajaan semula pada PRU16 nanti,” katanya lagi.



No comments:

Post a Comment