PAS LEBIH SELESA DENGAN PPBM BERBANDING UMNO
Walaupun ia bermula dengan kerjasama dengan Umno
dalam Muakafat Nasional (MN), PAS dilihat lebih selesa bekerja dalam Perikatan
Nasional (PN) dengan PPBM, kata seorang penganalisis.
Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia berkata,
terdapat tiga sebab yang menyumbang kepada keadaan itu.
Pertama, PPBM memberikan representasi politik terbesar kepada
PAS di peringkat persekutuan.
Kedua, PAS percaya ia mempunyai sokongan pilihan raya lebih baik
daripada Umno, dan berpendapat kolaborasinya dalam MN lebih banyak membantu
Umno berbanding parti itu sendiri.
“Sebab ketiga adalah kerana PPBM membenarkan PAS menjalankan
agendanya dari segi mempromosi politik Islam.
“Kita lihat isu melibatkan penjualan alkohol dan kuil. Ini adalah perkara-perkara yang menyaksikan PAS memajukan agenda mereka,” katanya.
Bridget Welsh.
Welsh berkata, sebab-sebab itu mungkin menjelaskan keputusan PAS
untuk tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan baru Perak yang mungkin
dipimpin Umno, berikutan tumbangnya kerajaan pimpinan Menteri Besar Ahmad
Faizal Azumu.
Welsh berkata, masih terlalu awal untuk menentukan jika
ketegangan antara PAS dan Umno akan meningkat ke peringkat pusat dan nasional
kerana sifat politik Malaysia yang tidak dapat diramal.
Katanya, hanya masa yang akan menentukan.
“Keadaan sentiasa berubah, ia tidak tetap. Suatu hari anda
adalah musuh dan keesokan harinya anda adalah kawan, kemudian anda menjadi
musuh semula.
“Kita melihat politik Melayu yang biasanya berada di belakang
tabir secara terbuka sekarang,” katanya.
Beliau meramalkan akan berlaku limpahan di peringkat negeri.
“Terdapat lima negeri yang mudah terjejas. Kita mesti lihat
apakah yang berlaku di Kedah dan juga isu-isu di Johor. Ini negeri yang penting
untuk diperhatikan.”
Beliau berkata, belum jelas siapakah pemenang terbesar dalam
perubahan kerajaan di Perak, walaupun hubungan baru mungkin berkembang dari
situ.
James Chin.
James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, PAS
hanya mahu kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan.
Oleh sebab itulah ia masih menjadi sebahagian daripada kerajaan
PN sehingga kini.
PAS tidak mesra sama ada
dengan PPBM maupun Umno, tetapi hanya mahu kekal di posisi kuasa untuk
menggerakkan Islamisasi.
“PAS tiada kesetiaan. Ia akan menyingkirkan PPBM dengan satu
syarat – bahawa ia kekal berada dalam kerajaan.
“PAS mahukan sebuah kerajaan Melayu atau Islam. Justeru mereka
lebih bersedia untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini
kerana berpendapat kerajaan itu terlalu dipengaruhi oleh orang bukan Melayu dan
bukan Islam,” katanya.
Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti di DUN Perak selepas
48 ADUN menolak dalam undian usul percaya. Hanya 10 menyokong dan satu undi
rosak.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tidak
akan menyertai kerajaan baru negeri Perak yang bakal ditubuhkan, dengan
menambah bahawa tiga wakil rakyatnya mengundi menyokong Faizal dalam undian
tersebut
No comments:
Post a Comment