TEGURAN SULTAN TAK
TERBATAS UNTUK PERAK SAHAJA
Presiden PKR Anwar
Ibrahim menegaskan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkait
situasi politik semasa boleh dibaca dan difahami melangkaui apa yang berlaku di
negeri itu sahaja.
Sebaliknya kata ketua
pembangkang itu, pandangan dan teguran Sultan Nazrin Shah itu turut meliputi
peringkat persekutuan.
"Saya mengambil
maklum dan menjunjung tinggi titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
yang mutakhir ini memberi gesaan terkait salah guna kuasa, rasuah dan percaturan
elit politik.
"Saya fikir
bahawa ia tidak hanya terbatas pada situasi politik di Perak, malah di
peringkat persekutuan juga," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Anwar berkata demikian
sebagai merujuk teguran Sultan Nazrin Shah ketika bertitah pada istiadat
pelantikan menteri besar Perak ketiga sejak PRU ke-14 di Istana Iskandariah,
Kuala Kangsar pada 10 Dis lalu.
Baginda berkata,
pelantikan yang mencatatkan sejarah baru itu tidak pernah berlaku dalam sesuatu
penggal DUN Perak dan bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.
"Tetapi perkara
ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan; perkara yang berlaku akan tercatat
dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.
"Kegagalan
kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu
secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus
negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat," titah baginda.
Sehubungan itu Anwar
berkata PKR berpandangan reformasi institusi harus segera digerakkan bagi
memungkinkan sebuah tatakelola yang baik dan bertanggungjawab diwujudkan.
Kata Anwar lagi
reformasi itu juga perlu bagi mengelak amalan mengkhianati amanah rakyat atau
mengabai kepentingan mereka.
"Kita juga harus
dengan tegas menolak amalan kerendahan akal budi dan adab budaya termasuk
terhadap Tuanku Sultan Perak.
"Menjunjung kasih
titah Tuanku Sultan Perak agar negara ini harus kembali ke landasan serta garis
besar perjuangan dan mengembalikan keabsahan, dan segera menghentikan imej
serta gelagat ahli politik yang rakus dan tamak haloba," katanya yang juga
anggota Parlimen Port Dickson.
No comments:
Post a Comment