SEJARAH HIGH SCHOOL BUKIT MERTAJAM
SEKOLAH Tinggi Bukit Mertajam atau lebih dikenali sebagai High
School Bukit Mertajam (HSBM) ditubuhkan 82 tahun lalu iaitu 18 Januari 1927.
HSBM adalah sekolah kerajaan pertama yang diwujudkan di Pulau
Pinang (tanah besar) menerima kumpulan pelajar pertama seramai 385 murid daripada pelbagai kaum untuk melanjutkan
pelajaran di peringkat sekolah menengah.
Hari ini, HSBM mempunyai lebih 1,000 pelajar yang menuntut dalam
tingkatan satu hingga ke tingkatan enam.
Walaupun rekaan asal bangunan sekolah itu diambil daripada
sekolah rendah di Jalan Rangoon, Singapura namun bangunan lama sekolah yang
terletak di blok C hari ini dikekalkan.
Harold Ambrose Robinson Cheeseman adalah individu yang
bertanggung jawab menubuhkan HSBM kerana ketika itu, sebagai Pengarah Pelajaran
Tanah Melayu, Harold Ambrose merangka pelan, perancangan dan pengisian sekolah
tersebut.
Ketika itu, sekolah hanya menerima murid-murid lelaki sahaja.
Pengetua atau Guru Besar pertama HSBM ialah Edgar De La Mothe
Stowell yang berpengalaman luas mentadbir sekolah awam seperti Sedbergh English
Public School. Beliau turut terkenal dengan penekanan disiplin yang tinggi di
kalangan pelajar yang belajar di sekolah awam.
Bangunan asal sekolah diperbuat daripada kayu, dibina pada 1926
terletak di atas bukit dan menghadap ke Bukit Mertajam dan tiga tahun selepas
selesai kerja-kerja pembinaan, bangunan itu dijadikan dewan sekolah.
Ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 sehingga
tentera Jepun menyerah kalah kepada British pada tahun 1945, kawasan HSBM
dijadikan tempat untuk menempatkan tentera Australia.
Sekolah pula dipindahkan ke kawasan sawah padi di belakang
Hospital Daerah Bukit Mertajam. Menjelang 13 Disember 1941, Pulau Pinang dibom
dan saban hari, murid-murid sekolah dapat melihat jet pejuang 'Zero Japanese
Zero' milik tentera udara Jepun, melintasi ruang udara Bukit Mertajam menuju ke
pulau.
Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada September 1945,
sekolah dibuka semula dan menerima pendaftaran murid-murid yang ingin
melanjutkan pelajaran mereka.
No comments:
Post a Comment