ADA YANG LEBIH BAIK DARIPADA ANWAR?
1.Adakah Anwar Ibrahim
bergerak sendiri berunding tidak rasmi dengan pemimpin UMNO sekarang?
Anggapan itu tidak
benar. Anwar Ibrahim sebenarnya mendapat mandat dari Presiden Amanah, Haji
Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk berunding dengan
mana-mana pihak untuk mendapatkan balik mandat rakyat kepada Pakatan Harapan
(PH) seperti yang diperolehinya dalam Pilihanraya Umum ke-14 lalu.
2.Adakah Anwar Ibrahim
begitu taksub untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia?
Tohmahan seperti itu
tidak betul dan amat menghina. Anwar Ibrahim menjalankan tugasnya sebagai
Pengerusi PH seperti mandat yang diberi oleh pimpinan PH yang lain.
Adakah pemimpin PH
yang lain sejuk kaki sekarang ini dan ingin menafikan fakta ini?
3.Adakah Anwar Ibrahim
lebih mengutamakan mendekati pemimpin UMNO daripada pemimpin Blok Pembangkang
yang lain seperti dari Warisan, Pejuang dan MUDA?
Anggapan seperti ini
tidak betul sama sekali. Anwar Ibrahim menurut rekod telah beberapa kali
bertemu dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Afdal di rumah Datuk Seri
Shafie Afdal, bukan di tempat yang neutral untuk bincang hal negara dan
kerjasama PH dengan parti-parti pembangkang yang lain.
Anwar Ibrahim sebagai
Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang yang rasmi di Parlimen sanggup mengalah dan merendahkan
dirinya ke rumah Datuk Seri Shafie Afdal. Bukan sekali, tetapi dua kali.
Masihkah sesiapa ingin
menyatakan Anwar tidak menghiraukan parti-parti pembangkang?
4.Adakah Anwar Ibrahim
tak sabar-sabar untuk ambil alih kerajaan dari Perikatan Nasional? Kenapa tidak
tunggu sehingga PRU-15 sampai?
Tidak betul jika
menuduh Anwar Ibrahim tak sabar-sabar.Seperti kata Martin Luther King, Jr :
“The time is always right to do what is right”. Ada bezanya menghadapi PRU15
jika PH yang jadi kerajaan berbanding jika Muhyiddin dan PN yang jadi kerajaan.
Pemimpin-pemimpin di Blok Pembangkang yang mengkritik Anwar Ibrahim tentu tidak
naif dalam soal ini.
5.Betulkah anggapan
bahawa Anwar Ibrahim tidak berprinsip dalam mengadakan rundingan kerjasama
dengan para pemimpin UMNO?
Anggapan dan tohmahan
melulu itu tidak betul. Setakat ini, belum ada persetujuan kerjasama dengan
UMNO. Perundingan ada, tetapi setakat ini, sekadar perbincangan tidak rasmi.
Ini diakui sendiri oleh Anwar Ibrahim.
Kalau dulu Anwar
Ibrahim boleh berunding dengan Dr Mahathir Mohamad yang dituduh diktator,
memusnahkan institusi-instutusi demokrasi negara dan menjalankan pemerintahan
secara kuku besi dan mengamalkan dasar ekonomi secara kronisme kepada anak-anak
sendiri dan kroni-kroni sendiri, tetapi kenapa kini Anwar dipandang serong
apabila berbincang dengan pemimpin UMNO?
Dari segi sejarah,
Presiden Roseevelt Amerika Syarikat dan Winston Churchill Perdana Menteri Great
Britain pernah berunding dan berpakat dengan Joseph Stalin Pemimpin Soviet
Union yang kuku besi dan komunis itu untuk melawan Nazi Jerman dibawah pimpinan
Aldof Hitler.
6.Adakah Anwar Ibrahim
pergi berbincang dan berunding dengan pemimpin UMNO itu secara sembang kosong
dan santai-santai?
Kalau ada anggapan
sedemikian, tolong perbetulkan. Anwar telah mendapat mandat dari partinya
sendiri Parti Keadilan Rakyat supaya mengketengahkan agenda reformasi apabila
berunding dengan pemimpin-pemimpin UMNO seperti isu pentadbiran kerajaan yang
baik (good governance), kebebasan kehakiman, memulihkan ekonomi dan memacu
pertumbuhan; ditekankan lagi tidak ada campur tangan urusan mahkamah khususnya
dalam kes-kes berprofil tinggi yang sedang dibicarakan dan banyak lagi reform
terhadap agensi penting negara seperti PDRM, SPRM.
Anwar Ibrahim juga
sebagai Ketua Pembangkang membawa agenda supaya Parlimen Malaysia diselamatkan
dan penggantunggannya sekarang ini ditamatkan.
Adakah Anwar Ibrahim
tidak boleh bincaang hal-hal sepenting ini dengan para pemimpin UMNO?
7.Apakah track record
Anwar Ibrahim dalam membina kerjasama politik dari pelbagai aliran, pelbagai
fahaman dan pelbagai ideologi demi keepentingan rakyat dan negara?
Ini faktanya, ada
empat. Pertama, Anwar Ibrahim dari dalam penjara, berjaya membina kerjasama
Barisan Alternatif menentang Mahathir Mohamad dan UMNO/BN pada tahun 1999.
Beliau berjaya mengwujudkan penyatuan Parti Keadilan Nasional (PKN), PAS, DAP
dan PRM.
Kedua, Anwar Ibrahim,
ketika itu masih dari dalam penjara, berjaya membawa Parti Rakyat Malaysia
(PRM) bergabung dengan PKN menjadi satu entiti politik pelbagai kaum yang baru
yang diberi nama Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang logonya menjadi logo bersama
dalam PRU14 sehingga Kerajaan BN pimpinan Najib Razak tumbang.
Ketiga,Pada tahun 2008
Anwar Ibrahim sudah keluar penjara, kali ini beliau berjaya membentuk Pakatan
Rakyat yang terdiri daripada Keadilan, PAS dan DAP dan menang besar dalam
Pilihanraya Umum. Lima negeri pimpinan Umno/BN tumbang dalam PRU tahun 2008
itu.
Keempat, apabila Anwar
Ibrahim merengkok sekali lagi dalam penjara, Pakatan Rakyat pecah. PAS keluar
dari Pakatan Rakyat. Tetapi dari PAS muncul Parti Amanah Negara (Amanah).
Dari dalam penjara,
Anwar Ibrahim membina semula gabungan baru tiga parti yang bernama Pakatan
Harapan yang terdiri daripada Keadilan, DAP dan Amanah dengan Anwar dilantik
sebagai Ketua Umum PH, gabungan tiga parti itu.
Apabila Mahathir
Mohamad memanjat tangga Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beberapa kali untuk
bertemu dengan Anwar Ibrahim untuk berjabat tangan tanda Mahathir dan Anwar
bekerjsama, maka Anwar Ibrahim sanggup memaafkan hal yang sudah-sudah dan
sanggup bergabung dengan Mahathir Mohamad untuk menghadapi Najib dan BN dalam
PRU14 pada tahun 2018.
Anwar Ibrahim
bersetuju Parti Besatu (PPBM) yang masih belum diluluskan pendaftarannya oleh
Pendaftar Pertubuhan menjadi komponen keempat Pakatan Harapan. Anwar Ibrahim
yang masih berada di dalam penjara ketika itu adalah arkitek sebenar kejayaan
Pakatan Harapan dalam PRU-14.
8. Jadi kali ini,
apabila Anwar Ibrahim berunding dengan berhati-hati sejak mula, secara tak
rasmi, janganlah pihak-pihak lain cepat menuduh Presiden Keadilan itu taksub
sangat untuk jadi Perdana Menteri Malaysia.
Tidak perlulah
diberitahu bahawa Anwar lakukan itu semua untuk selamatkan negara dan
selamatkan rakyat. Inilah tekadnya selama ini dengan pendirian kental dan
cekalnya: “membujur lalu; melintang patah”. Kerana pendirian seperti inilah
Anwar Ibrahim keluar masuk penjara.
Jika ada sesiapa yang
sanggup buat lebih baik daripada Anwar Ibrahim, maka penulis berkata:
“Silakanlah…”
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir
Gudang
18 Mac 2021 (Khamis).
No comments:
Post a Comment