DARURAT MEROBEK KEYAKINAN PELABUR
TERHADAP KERAJAAN – ANWAR
Pengumuman oleh syarikat
gergasi International Business Machines Corporation (IBM) bahawa ia akan
menutup pusat operasinya di Cyberjaya pada 31 Mei baru-baru ini cukup
membimbangkan, dan ini menambah kerisauan kita semua apakah perkembangan
seperti ini akan terus bertambah dan semakin parah.
Pengumuman oleh IBM itu adalah selepas banyak pengumuman yang
hampir sama oleh pelbagai syarikat gergasi yang sudah mula meninggalkan
Malaysia, termasuk Hyundai dan Panasonic.
Namun terdapat juga laporan yang mengatakan terdapat negara lain
di rantau ini yang berjaya mendapat kadar pelaburan yang cukup memberangsangkan
dari syarikat-syarikat berasaskan teknologi yang tersenarai dalam Fortune 500.
Kerajaan PN nampaknya berkelakuan seperti tidak ada apa-apa yang
berlaku. Menteri kanan yang bertanggungjawab soal pelaburan asing juga telah
menyatakan bahawa Malaysia mampu untuk bersikap selektif, dan sedang berusaha
untuk mendapatkan pelabur-pelabur besar sambil tidak mengendahkan para pelabur
berskala kecil dan sederhana.
Situasi ini sangat memprihatinkan tatkala Malaysia terus
kehilangan ribuan pekerjaan di sektor teknologi dan pembuatan kepada
negara-negara tetangga di rantau Asean.
Kita juga turut bimbang tentang nasib rakyat yang terkesan
dengan langkah ini, dan apakah kerajaan PN punya keupayaan dan kemampuan untuk
mendepani permasalahan ini.
Kita juga mendapati bahawa reaksi santai menteri
bertanggungjawab itu hanya menonjolkan sikap pemerintah yang tidak faham
realiti semasa yang dihadapi negara ini, dan ini dapat diringkaskan oleh
laporan ini:
Laporan oleh United Nations Conference on Trade and Development
(Unctad) pada bulan Januari 2021 yang lalu menyatakan bahawa kadar pelaburan
asing (FDI) Malaysia merudum lebih dua pertiga kepada hanya $2.5 bilion pada
tahun 2020, langsung menjadikan ia penurunan yang paling dahsyat di rantau Asia
Tenggara.
Bulan Januari 2021 juga kita dikejutkan dengan komen oleh Ketua
Pengarah Eksekutif EU-Malaysia Chamber of Commerce and Industry (EUROCHAM) yang
menyuarakan “kebimbangan terkait Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang
ampuh”.
Kita juga digemparkan dengan semakan semula oleh agensi Fitch
Ratings terkait Penarafan Kemungkinan Penerbit (IDR) mata wang asing jangka
panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ dari ‘A-‘ pada bulan Disember tahun lalu sambil
menambah “ketidaktentuan politik susulan daripada perubahan dalam kerajaan pada
bulan Mac lalu memberi tekanan kepada jangkaan dasar serta prospek
penambahbaikan dalam piawaian tadbir urus”.
Setelah satu tahun berada di puncak kuasa, kerajaan PN masih
gagal mendepani secara jujur persoalan terkait keberkesanan mereka sebagai
kerajaan yang lemah tanpa mandat legislatif yang jelas.
Pengisytiharan darurat dan tindakan menggantung Parlimen
diandaikan oleh sektor swasta sebagai langkah terdesak untuk terus berpaut pada
kuasa.
Langkah darurat telah merobek keyakinan kepada kerajaan PN,
kerangka kebijakannya serta komitmen pada tatakelola yang baik dan negara
hukum.
Keputusan-keputusan yang dibuat kerajaan PN menampakkan
kecenderungannya pada kesepakatan tertutup dan rencana dalam gelap, di mana ia
bertentangan dengan usaha dan upaya kita untuk menarik pelaburan dan membina
keyakinan pada ekonomi.
Perencanaan pemerintah untuk meluncurkan pengedaran spektrum
teknologi generasi kelima (5G) menerusi Syarikat Bertujuan Khas (SPV) adalah
contoh yang tepat.
Projek ini boleh dikatakan sebagai strategi digital utama
kerajaan PN dengan jumlah RM15 bilion, tetapi tanpa penelitian, tanpa
perundingan dengan industri, dan menjadi satu-satunya tatanan di dunia ini yang
menggunapakai kaedah tersebut.
Syarat perjanjian terkait projek 5G ini juga tidak jelas.
Justeru, kita bimbang berapa banyak lagi pelabur yang akan meninggalkan
Malaysia dan mencari destinasi pelaburan lain yang lebih selamat dan boleh
dipercayai.
ANWAR IBRAHIM
Presiden PKR/Ketua Pembangkang.
No comments:
Post a Comment