March 25, 2021

 

KETIKA DARURAT 1969, ADAKAH PARLIMEN TIDAK BERSIDANG SELAMA DUA TAHUN

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, ketika Darurat 1969 dulu, Parlimen tidak bersidang selama dua tahun. ‪Menteri Takiyuddin membayangkan seolah-olah bahawa penggantungan Parlimen pada Darurat 2021 adalah sama seperti Darurat 1969 yang mana Parlimen tak bersidang.

 

‪‪Semasa Darurat 1969, MP belum boleh mengangkat sumpah kerana PRU belum selesai. Tak berbangkit Parlimen digantung atau tak bersidang kerana Darurat 1969. ‪Pilihanraya umum Parlimen Ketiga Malaysia pada 1969 tidak berlangsung secara serentak di dalam negara, sebaliknya ia diadakan secara berperingkat seperti berikut:

 

‪▪️Semenanjung Malaysia pada 10 Mei 1969

‪▪️Sabah pada 25 Mei 1969

‪▪️Sarawak pada 7 Jun 1969

 

‪Setelah selesai pilihanraya di Semenanjung, insiden-insiden pertumpahan darah ekoran rusuhan kaum yang disebut sebagai Tragedi 13 Mei tercetus di ibunegara Kuala Lumpur. ‪Akibat keadaan keselamatan awam terjejas teruk dan di luar kawalan, Kerajaan pimpinan Perdana Menteri sementara (caretaker) Tunku Abdul Rahman Putra menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Darurat mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan.

 

‪Agong memperkenankannya dan Proklamasi Darurat diisytiharkan pada 15 Mei 1969.

 

‪Proklamasi Darurat itu disusuli dengan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1, 1969 melalui warta rasmi Kerajaan P.U. (A) 146 pada tarikh yang sama. ‪Ordinan itu rasminya dalam Bahasa Inggeris, iaitu Ordinance No. 1 Emergency (Essential Powers) Ordinance, 1969.

 

‪Antara kandungan utama Proklamasi Darurat itu menyebutkan, “Whereas Parliament was dissolved on the Twentieth day of March, 1969, and elections to the new Dewan Ra'ayat have not been completed.”, yakni, Darurat diisytiharkan pada masa Parlimen telah dibubarkan pada 20 Mac 1969, dan pilihanraya-pilihanraya untuk Dewan Rakyat yang baharu belum diselesaikan.

 

‪Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1, 1969 mengandungi sembilan seksyen. ‪Seksyen 7 Ordinan itu menyebutkan seperti berikut:

 

‪“ 7. The elections to the Dewan Ra'ayat and the Legislative Assembly of any State which have not been completed in any part of Malaysia shall upon the coming into force of this Ordinance be suspended until such date as the Yang di-Pertuan Agong may determine.”

 

‪Seksyen 7 itu menerangkan, pilihanraya-pilihanraya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan bagi mana-mana Negeri yang belum diselesaikan dalam mana-mana bahagian Malaysia, berikutan Ordinan ini berkuatkuasa, akan ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

 

‪Secara terang dan jelas, perakuan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat pada tahun 1969 menunjukkan bukannya Parlimen digantung atau tidak bersidang, sebaliknya pilihanraya umum belum selesai dan ditangguhkan oleh Agong. ‪Parlimen tidak digantung ketika Darurat 1969 kerana pilihanraya umum belum diselesaikan di Sabah dan Sarawak. Oleh yang demikian, tak berbangkit Parlimen digantung daripada bersidang pada ketika itu.

 

‪Telitikan fakta kronologi 1969 berikut:

‪▪️20 Mac: Parlimen dibubarkan

‪▪️10 Mei: Pilihanraya umum Parlimen di Semenanjung Malaysia

‪▪️13 Mei: Tragedi rusuhan kaum

‪▪️15 Mei: Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat

‪▪️25 Mei: Pilihanraya umum Parlimen di Sabah

‪▪️7 Jun: Pilihanraya umum Parlimen di Sarawak

 

‪Oleh kerana Darurat berkuatkuasa di seluruh negara, pilihanraya umum Parlimen di Sabah ditunda daripada 25 Mei 1969 kepada 6 Jun 1970, manakala di Sarawak ditunda daripada 7 Jun 1969 kepada 4 Julai 1970. ‪Parlimen Malaysia tidak bersidang selepas pilihanraya umum di Semenanjung selesai pada 10 Mei 1969 kerana pilihanraya Parlimen belum lagi diselesaikan di Sabah dan Sarawak.

 

‪Hakikatnya, Darurat 1969 hanya menunda pilihanraya Parlimen di Sabah dan Sarawak menyebabkan pilihanraya umum Malaysia belum selesai. ‪Dalam tempoh 11 Mei 1969 hingga 19 Februari 1971, tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah kerana Parlimen belum dipanggil bersidang kecuali pada 20 Februari 1971.

 

‪Setelah selesai semua pilihanraya umum Parlimen di Sabah dan Sarawak pada 1970, barulah Dewan Rakyat dipanggil bersidang bagi menjalankan persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ketiga bermula pada 20 Februari 1971.

 

‪Justeru, tak berbangkit Parlimen digantung selama Darurat 1969. Faktanya ialah pilihanraya umum Malaysia 1969 hanya selesai setelah diadakan secara berperingkat yang berakhir di Sarawak pada 4 Julai 1970.

 

‪Pendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan yang menyebut Parlimen tidak bersidang semasa Darurat 1969 tanpa disebut fakta secara nyata dan jelas adalah mengelirukan. ‪Fakta yang nyata dan jelas berlaku ialah pilihanraya umum Parlimen selesai di Semenanjung pada 1969, selesai di Sabah dan Sarawak pada 1970 dan setelah selesai pilihanraya semuanya, Parlimen bersidang pada 1971.

 

‪Bukanlah kerana Darurat 1969, maka Parlimen tak bersidang. Sebaliknya Darurat telah menundakan pilihanraya umum Parlimen bagi Sabah dan Sarawak dan diadakan kemudian. Selagi pilihanraya umum belum selesai, maka mana mungkin Parlimen boleh bersidang.

 

‪Sekian.

No comments:

Post a Comment