MASYUK!
NGO KAUT KEUNTUNGAN 30 PERATUS KUTIPAN SUMBANGAN ORANG RAMAI
May 28, 2021
Semakin ramai
mengambil kesempatan dan ‘berselindung’ di sebalik tujuan asal menubuhkan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan kebajikan, tetapi pada masa
sama ‘terselit’ niat mahu mendapatkan ‘duit poket sendiri’.
Buktinya, sejak
beberapa tahun ini, ada ‘lambakan’ NGO ditubuhkan umpama cendawan tumbuh
selepas hujan.
Pengasas bersama
Scrut, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin membongkar rahsia NGO yang tidak
diketahui umum.
Katanya, NGO kini
menjadi lubuk menjana wang oleh segelintir individu untuk memperoleh kesenangan
hidup.
“Lebih-lebih lagi
apabila Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan mana-mana NGO mengutip sumbangan
awam boleh mengambil sehingga 30 peratus daripada dana itu sebagai caj
pengurusan.
“Caj ini biasanya
digunakan membayar gaji kumpulan NGO termasuk pengerusinya dan menampung kos
operasi pertubuhan terbabit.
“Contoh, jika NGO
berkenaan berjaya mengumpul dana RM100,000, maka RM30,000 digunakan untuk
tujuan itu (membayar gaji dan menampung kos operasi),” katanya.
Menurut beliau, dalam
erti kata mudah, ahli NGO ini seperti dibayar untuk melakukan kerja kebajikan
dengan menggunakan wang orang ramai atau penyumbang lain.
Ahmad Aliff berkata,
disebabkan peluang itu, ada yang mampu hidup senang lenang walaupun
terbabit dalam NGO secara sambilan.
“Tidak kurang juga,
ada yang sanggup berhenti kerja dan memilih melakukan aktiviti kebajikan NGO
sepenuh masa. Kehidupan mereka lebih senang daripada ketika makan gaji.
“Ada kawan saya yang
sebelum ini hidupnya agak susah, tetapi kehidupannya sekeluarga berubah selepas
menubuhkan NGO. Tidak kurang juga ada yang mampu berpoligami,” katanya.
Menurut Ahmad Aliff,
kebiasaannya, mereka yang menubuhkan NGO akan melantik diri sendiri sebagai
ketua dan rakan-rakannya sebagai ahli jawatankuasa.
Katanya, ini memudahkan
mereka menguruskan kewangan NGO itu mengikut citarasa sendiri.
“Bagaimanapun, agak
mengejutkan apabila ada NGO ketika ini sanggup menggunakan wang sumbangan untuk
membeli iklan sama ada di media digital, papan iklan, televisyen dan akhbar,
bagi mempromosikan aktiviti pertubuhan serta mendapatkan sumbangan yang lebih
banyak,” katanya.
Menurut beliau,
matlamat penubuhan NGO oleh segelintir pihak kini sudah berbeza. Dahulu, NGO
ini dikenali sebagai tempat aktiviti sukarelawan dan kebajikan.
“Kebiasaannya, NGO
yang mahu membantu pihak memerlukan ini hanya bergerak menerusi sumbangan
daripada ahli-ahlinya,” katanya.
Menurut Ahmad Aliff,
Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) perlu meletakkan syarat tegas iaitu tidak
semua NGO boleh melakukan tugasan mengutip dana awam.
“Sebelum ini, saya
dibesarkan dalam keluarga yang menyokong NGO sebuah parti politik dan melihat
banyak kecacatan dalam pengurusan.
“Ada NGO diragui
ketelusannya terutama berkaitan pengurusan dana,” katanya.
Menurut Ahmad Aliff,
semua NGO seharusnya berani menerbitkan laporan audit NGO mereka secara terbuka
di laman web rasmi masing-masing.
Begitu juga dokumen
pengurusan akaun (MA), penyata bank dan laporan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP).
“Semua dokumen ini
membolehkan masyarakat melakukan semak dan imbang terhadap penggunaan dana awam
terutama bayaran gaji pengurusan atasan,” katanya.
Namun, katanya, ada
banyak juga NGO yang sangat telus dan mengekalkan prinsip kesukarelawanan tanpa
sebarang agenda peribadi.
“Biasanya NGO ini
ditubuh dan dikendalikan oleh mereka yang sudah berjaya dalam karier, kehidupan
dan perniagaan.
“Mereka menggunakan
wang sendiri untuk pengurusan NGO yang ditubuhkan itu, tanpa mengambil dana
awam,” katanya.
Ketelusan elemen
terpenting
“Setiap NGO
(pertubuhan bukan kerajaan) perlu menghantar semakan perbelanjaan tahunan yang
disahkan oleh mana-mana pertubuhan juruaudit bertauliah.
“Kita di Muslim Care
(Muslim Care Malaysia) juga terbitkan buku laporan aktiviti setiap tahun sekali
gus mengamalkan prinsip pengurusan yang telus.”
Itu jelas Presiden
Muslim Care Malaysia (MCM) Zulkifli Wahijan berhubung pengurusan perbelanjaan
dana diperoleh.
Zulkifli turut mahu
memaklumkan elemen ketelusan sangat penting berkaitan kegiatan serta pengurusan
kewangan MCM.
Pada masa sama, beliau
mengakui kewujudan beberapa NGO yang melaksanakan kutipan derma daripada orang
awam, tetapi tiada aktiviti dilakukan.
Kegiatan itu
menimbulkan 1,001 persoalan berhubung ke manakah wang kutipan berkenaan
disalurkan atau ia digunakan untuk tujuan peribadi.
Zulkifli berkata,
setiap NGO perlu mengemukakan laporan kewangan hasil daripada aktiviti tahunan
dengan pengesahan mana-mana badan juruaudit bertauliah.
“ROS tidak menerima
laporan kewangan sesebuah NGO yang tidak mendapat pengesahan juruaudit, ia
sebahagian prosedur tahunan dan MCM tidak pernah gagal menghantar laporan
kewangan berkenaan.
“Saya sendiri tahu ada
beberapa NGO melakukan kutipan derma, tetapi tiada aktiviti dibuat dan keadaan
itu memberi tempias kepada pertubuhan lain yang jujur.
“Kita di MCM melakukan
kutipan derma berasaskan projek tertentu. Contoh, jika kita ingin memberi
bantuan kepada asnaf, kita akan war-warkan di laman Facebook (FB) kami,”
katanya.
Beliau berkata,
pendekatan MCM termasuk mengajak pihak berkepentingan yang menyalurkan bantuan
dengan dana besar untuk bersama-sama turun padang merealisasikan sesebuah
projek kemanusiaan.
Katanya, NGO
berasaskan kepada misi bantuan ini memerlukan keyakinan orang awam dan tindakan
tidak bertanggungjawab sesetengah NGO hanya akan menghilangkan keyakinan
masyarakat.
Pantau NGO tak
berdaftar
“Saya belum pernah
dengar ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil sehingga 30 peratus
daripada sumbangan awam untuk caj pengurusan,” kata pengasas NGO The 3rd Force,
Raja Shamri Raja Husin.
Beliau berkata, semua
NGO berdaftar dikawal selia perlembagaan dan undang-undang tubuh yang dipantau
ketat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Katanya, namun ada
klausa dalam perlembagaan tubuh NGO membolehkan mereka menggunakan sumbangan
awam untuk pengurusan seperti yang diluluskan.
“Selagi NGO itu
beroperasi dalam ruang lingkup perlembagaan dan undang-undang tubuhnya, maka
Insya-Allah tak ada apa yang nak dirisaukan.
“Cuma apabila ada yang
mengaku NGO tapi hakikatnya mereka tak berdaftar dan ambil kesempatan,
contohnya ambil 30 peratus daripada sumbangan awam sesuka hati maka itu perlu
dipantau,” katanya.
Beliau berkata,
dakwaan bahawa NGO boleh mengambil 30 peratus itu terlalu melampau.
“Sebagai NGO
berdaftar, kita tetapkan klausa hanya boleh ambil RM10,000 untuk pengurusan.
Itupun perlu melalui kelulusan jawatankuasa terlebih dahulu dan prosesnya bukan
semudah yang disangka.
“Ada kalanya kita
tidak ambil pun RM10,000 itu kerana sudah menerima sumbangan daripada pihak
korporat atau usahawan dalam The 3rd Force sendiri. Kami juga gunakan wang
poket sendiri sebagai penceramah dan syarikat perunding, juga untuk menampung
kos pengurusan The 3rd Force,” katanya.
Malah, katanya, setiap
tahun, semua audit dibuat juruaudit bertauliah akan diserahkan kepada RoS.
Jelasnya, sumbangan
yang diamanahkan untuk diserahkan sepenuhnya kepada asnaf akan ditunaikan
berdasarkan permintaan penyumbang.
“Adakalanya,
penyumbang turut berniat menyediakan peratusan tertentu daripada jumlah
keseluruhan sumbangan untuk sukarelawan. Ini kerana bukan semua sukarelawan ini
orang senang.
“Ada situasi apabila
NGO perlu keluarkan wang sendiri atau dapatkan bantuan rakan apabila sumbangan
awam diterima tidak mencukupi bagi membantu pihak memerlukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment