Radzi jangan tidur,
kata Anwar
Ketua pembangkang Anwar Ibrahim mendesak Menteri Pendidikan
Radzi Jidin mengambil tindakan tegas untuk menamatkan budaya pemeriksaan haid
dalam kalangan pelajar perempuan di sekolah.
Dalam temu bual bersama Ain Husniza Saiful Nizam di Facebooknya
hari ini, Anwar juga berkata dia kecewa apabila tiada tindakan diambil terhadap
guru yang "bergurau mengenai rogol".
"Saya menggesa pengetua, guru-guru selain Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) dan menteri - maaf ya - dia agak lembap.
"Ini ada masalah dan kita kena siasat segera dan ambil
tindakan, kalau ada kes jenayah polis perlu bertindak.
“Menteri pendidikan jangan tidur, kena siasat segera. Saya
sebagai datuk dan bapa, saya tidak pandang hal ini ringan, beri ruang dan biar
terangkan dan pertahan kebenaran," katanya ketika sesi temu bual itu.
Sebelum ini Malaysiakini melaporkan pengakuan
seorang pelajar sekolah menengah, Ain Husniza Saiful Nizam, 17, yang
mendedahkan insiden guru bergurau mengenai rogol semasa pembelajaran di
sekolahnya.
Pendedahan itu kemudian mengundang seorang pelajar membuat
ugutan rogol ke atas Ain Husniza. Pelajar lelaki terbabit kemudian mengakui
keterlanjurannya dan meminta maaf.
Pendedahan itu kemudian membawa kritikan orang ramai terhadap
KPM.
Tak pernah dibuat orang
Selain itu Malaysiakini juga mendedahkan
mengenai amalan pemeriksaan haid ke atas pelajar wanita yang tidak menunaikan
solat. Perbuatan itu mengundang kritikan termasuk dalam kalangan pemimpin
politik baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Dalam sesi tadi Anwar turut mengkritik KPM kerana menganggap ia
gagal mempertahankan Ain Husniza.
“Mereka seharusnya tidak membiarkan dia menghadapi 'kesan
sampingan' sehingga dia takut untuk bersekolah.
"Masalah ini seharusnya dapat diatasi dan tidak dibiarkan
berlanjutan selama dua minggu," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
Polis kini menyiasat guru Ain Husniza setelah laporan polis
terhadapnya dibuat.
Radzi sebelum ini menjanjikan siasatan menyeluruh mengenai
tuduhan itu dan sekiranya benar KPM tidak akan berkompromi dengan guru yang
terbabit.
Sementara itu, Anwar juga mengkritik pemeriksaan haid terhadap
pelajar perempuan sekolah.
"Ini kerja gila, sejarah Islam 1,400 tahun orang tak pernah
buat kerja macam itu.
"Yang ini kalau benar berlaku dalam bentuk diceritakan
memang yang gatal sajalah," katanya.
Tambah presiden PKR itu lagi pihak yang berkenaan bukan saja
mesti menghentikannya malah mengambil tindakan yang sewajarnya.
"Mana ada kerja begini yang dilakukan... tak pernah saya
dengar, tak pernah saya baca.
"Kalau ibu sendiri check anak dia, munasabahlah. Tapi
(pelajar) pergi ke sekolah kena check begitu, kerana takut anak tipu [...]
"Apa mengarut ni?" katanya.
No comments:
Post a Comment