PEMERINTAHAN TERKUTUK MENURUT
HAMKA
Di tengah ketidaktentuan politik
hari ini, saya fikir amat wajar untuk kita semua merenung kembali beberapa
pernyataan dasar tentang konsep negara yang pernah kita cita-citakan.
Politik seperti kita semua sedia
maklum, tercipta dengan corrupted element. Ertinya, bersih dan
kotor politik itu begitu anjal dan bergantung kepada pelakunya iaitu politikus.
Jika politikus itu bersih, maka bersihlah. Jika sebaliknya, maka politik tadi
akan terus rosak dan merosakkan.
Di dalam sejarah, kita melihat
ada beberapa kejarangan. Salah satunya ialah dalam sejarah pemerintahan empayar
Islam, kita lihat amat jarang ada khalifah yang didendang kerana keadilannya
yang jagat dan urus tadbirnya yang telus. Boleh dikira dengan jari sahaja
berapa sangat khalifah yang benar-benar berhasil mengurus tadbir berlandaskan
kepada ciri-ciri dan prinsip Islam; antaranya Umar Abdul Aziz di Bani Umayyah
dan Harun al-Rashid di Bani Abbasiyah.
Selebihnya, ada sahaja cerita
bawah meja atau dalam seluar yang dipalitkan.
Justeru, kita boleh simpulkan
bahawa, walaupun namanya pemerintahan Islam, empayar Islam, khalifahnya
beragama Islam, urus tadbirnya belum tentu Islam, polisi-polisinya belum tentu
Islam dan sikapnya belum tentu Islam. Begitulah.
Sudah ramai sarjana menulis dan
membahas berkaitan konsep negara Islam. Ada sarjana yang meletakkan garis yang
jelas bahawa tiada konsep negara Islam, yang ada cuma negara bercirikan
prinsip-prinsip pentadbiran dalam Islam. Boleh jadi ia negara sekular, tapi
ciri-ciri pentadbiran Islam seperti keadilan, ketelusan, tidak rasuah dan
korup, diamalkan dengan baik.
Cuma, untuk melihat menerusi
perspektif yang lebih menarik, saya fikir buku Negara Islam,
karangan Hamka, wajar didiskusikan.
Mungkin apa yang telah
dinukilkan Hamka telah banyak diperbahaskan oleh sarjana-sarjana besar yang
lain. Tetapi Hamka tidak pernah kurang dari memberi perspektif baru yang lebih
segar, dan sudah tentu memerlukan fikir ulang yang lebih mendalam.
Di dalam buku Negara
Islam misalnya, Hamka tidak terlalu berusaha merangka konsep dan rajah
pentadbiran Islam secara teknikal, tetapi memberikan tumpuan yang begitu
mendalam kepada inti dan dasarnya dengan melihat semua sejarah zaman Baginda
Nabi SAW dan kemudiannya mengorek beberapa prinsip yang perlu ditunjangi oleh
masyarakat zaman selepasnya.
Bahkan di dalam pendahuluan,
Hamka menitikberatkan bahawa, agama itu sifatnya bergerak dan alamat fiqih itu
adalah kerana pergerakan ijtihad oleh ulama mengikut situasi dan keperluan
masyarakat. Justeru itulah adanya empat mazhab yang diikuti ramai, kerana imam
mazhab itu berijtihad mencari jawapan kepada persoalan-persoalan baru yang
muncul.
“... fiqah namanya, ertinya
hasil faham, hasil pendapat, hasil kesungguhan ijtihad.” (Negara Islam, 5)
Oleh itu, kata Hamka lagi, tidak
perlulah kita memperdebat soal siapa benar dan siapa kurang benar kerana
akarnya tetap sama, semuanya bertunjang kepada al-Quran dan al-Hadis juga.
Hamka mengarang Negara
Islam kerana desakan dan idea dari beberapa orang rakan, antaranya
Za’ba sendiri yang menyuarakan kekecewaan kepada pergerakan Islam (baca:
jemaah) dan meminta Hamka menghurai dan menjelaskan kepada mereka konsep negara
Islam yang sebenar. Maka, lahirlah buku ini.
Kritikan Hamka
“... kemenangan tentera Islam
menghadapi musuh dari benua Eropah itu menyebabkan kebanggaan dan kesombongan,
sehingga timbul iktikad bahawa Islam senantiasa ditolong Tuhan, lalu tidak
perlu berusaha lagi. Segala sesuatu pun telah mundur, mundur pemerintahan,
hilang persatuan, dan mundur pula peri penghidupan, mundur pula cara
berfikir...” (Negara Islam, 11).
Terdapat beberapa perspektif
yang penting dan barangkali, jarang kita jumpa penghuraian yang sedemikian rupa
di dalam lambakan buku-buku berkaitannya.
Hamka menggambarkan bagaimana
sikap pekerja-pekerja Islam, politikus-politikus Islam, homo-Islamicus,
yang sering menganggap bahawa kemuliaan niat mengatasi keperluan ikhtiar. Dan
apabila kerja-kerja urus tadbir negara menjadi pincang dan huru-hara, mereka
menganggap bahawa itu semua tidak penting kerana niat mereka dan tujuan mereka
lebih kudus dan mulia.
Sikap ini melahirkan politikus
yang percaya bahawa kedudukan mereka lebih mulia (self-pious),
keberadaan mereka lebih penting dan kudus berbanding orang lain, hanya kerana
mereka melaungkan syiar mahu menegakkan sistem pemerintahan Islam dan
mengenakan jubah dan kopiah.
Sehingga akhirnya “Segala
sesuatu pun telah mundur, mundur pemerintahan, hilang persatuan, dan mundur
pula peri penghidupan, mundur pula cara berfikir...” (Negara Islam,
11).
Kenyataan ini menunjukkan
konsekuensi yang sangat parah apabila politikus Islam tidak memahami
kepentingan urus tadbir, ketelusan dan kompetensi dalam pemerintahan negara
sehingga akhirnya ia melahirkan pula puak yang mundur cara berfikir.
Kebenaran tidak dimonopoli oleh
satu golongan sahaja
Konsep negara Islam juga harus
bertunjangkan kepada prinsip bahawa: “Kebenaran itu bukanlah kepunyaan
satu golongan sahaja, tetapi kebenaran ialah tali perhubungan Tuhan dengan
seluruh manusia, dan seluruh bangsa (Negara Islam, 15-16).
Mulanya saya tertanya kenapa
Hamka memasukkan perbahasan berkaitan kebenaran ini, yang selalunya muncul
dalam wacana-wacana post-modernisme, etika dan moral, dalam karangan tentang
konsep negara Islam.
Rupanya perkaitannya amat kuat
kerana bagi Hamka, ada dua asas dalam pemerintahan Islam yang harus
dititikberatkan.
Satunya ialah takwa, dan satu
lagi ialah litaarafu, konsep keharmonian kaum di sebalik
pesan saling kenal-mengenal dalam al-Quran.
Kebenaran tidak boleh dimonopoli
oleh sesebuah golongan sahaja kerana konsep kebenaran sangat berkait rapat
kepada soal takwa. Sebab itu apabila suatu golongan berpandangan bahawa mereka
yang paling benar, itu satu bentuk kebatilan kerana ia membatalkan golongan
lain yang juga berusaha untuk menunjangi takwa dalam pergerakan mereka.
Malah jika sesebuah golongan
menganggap mereka paling benar, ia menyalahi konsep litaarafu yang
harus menjadi asas dalam pemerintahan kerana pemerintahan itu haruslan harmoni,
damai, adil dan menyatukan.
Takwa sangat berkait rapat
dengan akhlak dan sikap. Seseorang pemimpin tidak boleh merasa dirinya paling
benar dan tidak boleh ditegur. Pemimpin harus insaf bahawa mereka cuma insan
yang berusaha mencapai takwa tadi. Kata Hamka,
“Martabat yang dapat dicapai
manusia ialah buah ketinggian budinya, buah keteguhan imannya dan buah keluasan
ilmunya. Bukan kerana dia keturunan bangsawan, kerana keturunan bangsawan
katanya itu, tidak lebih daripada salasilah pertaliannya pada Bani Adam.”
(Negara Islam, 35).
Pokoknya, bangsa, kedudukan,
bukanlah penentu kepada kelayakan memerintah, tetapi sikap, akhlak, dan
kefahaman terhadap ciri-ciri pemerintahan Islam tadi dan kemampuan bekerja,
itulah penentunya.
Sikap pemimpin dan penolakan
jelas kepada pemerintahan yang zalim
Hamka mengutip beberapa
pandangan filsuf besar seperti Ernest Renan yang mengatakan bahawa suatu nation itu
tidak terbentuk kerana persatuan agama, bangsa, suku kaum, daerah atau
geopolitik, tetapi dibentuk oleh keinginan untuk bersatu, dan keinginan bercita-cita.
Propaganda murahan bernada
perkauman, agama, walaupun kedengaran bingit dan memenangi persepsi, tetapi
menurut Hamka, tidak akan mampu membentuk suatu nation yang
berfungsi kerana ia telah terbukti menjadi barah yang menjatuhkan pemerintahan
Islam.
Hamka mengenang semula peristiwa
Ali dan Muawiyah, peristiwa Yazid dan Hussein, juga peristiwa-peristiwa yang
sangat menyedihkan kerana politik kaum itu telah mengatasi asal tujuan kepada
pemerintahan iaitu takwa dan litaarafu tadi.
Di dalam sebuah buku yang lain
iaitu Di Tepi Sungai Dajlah, Hamka menuliskan sejarah kejatuhan
Bani Umayyah dan Bani Abbasiah semuanya berpunca daripada sikap perkauman yang
melampau dari dalam negeri itu sendiri dan dari puak dan bangsa yang sama.
Justeru konsep menyatukan bangsa
dan agama ini ialah propaganda yang terbukti bakal merosakkan dan dibumbui pula
dengan sikap pemimpin dan politikus Islam yang self-pious dan arrogance (seperti
disebutkan oleh Hamza Yusuf).
Sebaliknya konsep akhlak, takwa
dan keharmonian kaum (litaarafu) yang sepatutnya diutamakan.
Konsep akhlak ini merangkumi amanah, kompetensi dan ketelusan urus tadbir.
Hamka juga menegaskan bahawa
pemerintahan Islam mestilah tidak berlaku zalim kepada rakyat. Kata Hamka:
“Pemerintahan yang berlaku
zalim, adalah pemerintahan yang terkutuk. Pemerintahan demikian mesti jatuh.”
(Negara Islam, 87).
Hamka berijtihad bahawa perlu
ada usaha untuk menjatuhkan pemerintahan zalim walaupun pemerintah itu
pemerintah yang menggelar diri mereka kumpulan Islam kerana kezaliman sangat
bahaya. Kesannya kata Hamka:
“Jika raja-raja, jika
pegawai-pegawai melakukan kezaliman, maka dunia akhirat, akan hidup dalam
kegelapan. Negara tidak ada suluh, tidak tentu ke mana haluannya.” (Negara
Islam, 87).
Sebagai rakyat yang mempunyai
impian dan cita-cita kenegaraan, pesan Hamka ini wajar direnung semula. Sebagai
pemimpin yang memegang tampuk kekuasaan, pesan Hamka harus direnung dengan
insaf dan seandainya samada secara langsung atau tidak terjebak di dalam
baur-baur pemerintahan yang zalim, bertaubatlah.
*Buku Negara Islam telah
diterbitkan semula JT Books dengan kata pengantarnya disediakan oleh Menteri
Agama, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
No comments:
Post a Comment