KES ANWAR, PEMFITNAH DAN HARGA DIRI
Saya ingin mencatatkan sebuah kisah penting yang tidak diberi keutamaan oleh media, terutama media arus perdana. Cerita ini sengaja digelapkan atau dijadikan kecil supaya ia tidak bakal menjadi contoh teladan betapa akhlak yang mulia dan prinsip yang teguh adalah kunci kepada peribadi luhur.
Pada bulan Mei 2005, seorang rakyat Palestin, Jamal Abder Rahman (Jamal Amro) hadir di mahkamah di Kuala Lumpur untuk memberi keterangan dalam kes Anwar Ibrahim.
Jamal Amro menjalankan perniagaan menyewa limousine di Amerika Syarikat. Antara yang menggunakan khidmat limousinenya ialah menteri-menteri kabinet termasuk Anwar (timbalan perdana menteri ketika itu). Dalam akuan bersumpahnya, Jamal mendedahkan bahawa beliau didekati oleh seorang pegawai kedutaan Malaysia yang menaiki limousinenya dan ketika sampai di jambatan Delaware berdekatan New Jersey, pegawai tersebut mula berbicara. Dalam perbualan itu, pegawai tersebut menawarkan wang USD200,000 sekiranya beliau sanggup membuat pengakuan pernah melakukan seks dengan Anwar. Jamal terkejut dan menolak. Nama pegawai itu dinyatakan dengan jelas dalam pengakuan bersumpah tersebut.
Ketika itu, mahkamah sedang membicarakan tuduhan yang dibuat oleh Azizan Abu Bakar bahawa Anwar meliwat beliau. Kes ini berlaku pada tahun 1999, ketika itu Dr Mahathir menjadi PM.
Dalam mahkamah, Azizan, ketika disoal balas oleh peguam Christopher Fernando (Allahyarham)
mengaku beliau tidak diliwat. Lebih
serius, Azizan juga menambah bahawa beliau diarahkan oleh pegawai penyiasat,
(nama pegawai itu disebut) untuk mengubah tarikh kejadian.
Azizan mulanya berkata bahawa perbuatan itu berlaku di Tivolli Villa pada tahun 1992. Tetapi kemudian menukar kepada 'satu hari dalam bulan Januari hingga Mac 1993' apabila peguam Anwar menunjukkan bukti bahawa Tivolli Villa belum siap pada tahun 1992.
Di sini disertakan perbualan dari rekod mahkamah:
Peguam Fernando: "Tarikh 1992
adalah palsu?"
Azizan: "Ya"
Fernando: "Saya katakan kepada
kamu tarikh pertuduhan dipinda kepada 1993 sebab bangunan (Tivoli Villa) belum
siap untuk diduduki?"
Azizan: "Saya tak tahu".
Fernando: "Adakah anda setuju
dengan cadangan saya tadi?"
Azizan: "Ya".
Fernando: "Siapa yang menyuruh
anda menukar tarikh kepada 1993?"
Azizan: "SAC ...." (nama
pegawai itu disebut).
Pengakuan Azizan ini tidak dicabar
dalam mahkamah oleh pihak pendakwa.
Nama pegawai polis dan pegawai kedutaan Malaysia dalam kes Jamal Amro didedahkan melalui proses undang-undang - satu dalam afidavit dan satu dalam kandang saksi di mahkamah.
Apakah ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap pegawai pegawai tersebut? Tidak! Sebaliknya Anwar tetap didapati bersalah dan dihukum hampir enam tahun lamanya dalam penjara.
Kemudian datang lagi kes pengakuan
Saiful Bukhari Azlan. Kali ini ketika Najib menjadi PM.
Kata Saiful, Anwar meliwat beliau di sebuah kondo. Untuk itu, beliau perlu bertemu doktor untuk membuat pemeriksaan perubatan. Doktor yang ditemui adalah doktor dari Hospital Pusrawi Dr Mohamad Osman Abdul Hamid.
Sebagai saksi kes, Dr Mohamad Osman
berkata bahawa selepas memerika
Saiful, didapati tidak ada kesan liwat, sebaliknya ada kesan tertuduh
memasukkan plastik dalam anusnya.
Itulah satu-satunya bukti yang ada
dalam kes tersebut, yang lain hanyalah pengakuan Saiful. Sebagai nota, dalam
proses perundangan, pengakuan tidak boleh diterima, yang boleh diterima adalah
keterangan dan bukti. Tetapi Anwar tetap didapati bersalah dan dipenjarakan.
Dr Mohamad Osman juga mendedahkan ugutan dari pihak berkuasa supaya beliau mengubah laporan perubatan, tetapi dia enggan berbuat demikian. Dalam afidavitnya, Jamal Amro juga mendedahkan bukanlah termasuk ajaran Islam untuk menerima tawaran wang bagi membuat fitnah. Kerana itu, beliau mengusahakan untuk bertemu dengan ulama terkenal Dr Taha Jabir Alalwani (Allahyarham) dan menceritakan mengenai habuan yang ditawarkan. Dr Taha berkata kepada beliau supaya menolak tawaran itu dan jangan berteman dengan syaitan.
Sebelum itu pada tahun 1998, adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaatmadja dan penulis ucapan mantan timbalan perdana menteri itu, Dr Munawar Anees juga dipaksa dengan ugutan dan penjara supaya mengaku mereka melakukan hubungan seks dengan Anwar, tetapi kedua-dua enggan.
Apa persamaan antara keempat-empat nama yang diatas? Kesemua mereka adalah warga asing. Jamal adalah warga Palestin, Dr Mohamad Osman adalah warga Myanmar, Sukma adalah warga Indonesia dan Dr Munawar adalah warga Amerika. Apakah pelajaran yang kita kutip dari mereka? Kesemua mereka dihubungi untuk terlibat konspirasi dengan cara sama ada imbuhan besar atau ugutan.
Jamal Amro di tawarkan sekitar RM838.000 hanya untuk sebuah pengakuan fitnah. Bayangkan berapa pula habuan yang didapati oleh rakyat Malaysia yang sanggup terlibat konspirasi ini? Orang-orang yang muncul membuat pengakuan terutama menjelang pilihanraya, orang-orang dari Jabatan Peguam Negara, segelintir para hakim dan segelintir pegawai polis. Dan senarai panjang akan berterusan.
Saya catatatkan sebuah kisah teladan dari empat tokoh. Mereka semua punya akhlak, punya prinsip dan tidak mahu memfinah orang yang tidak bersalah. Mereka tidak mahu menggadai maruah dan harga diri demi kantung peribadi.
Jika rakyat Malaysia yang dinyatakan dalam artikel ini juga punya akhlak yang tinggi dan prinsip yang teguh seperti mereka, tentu konspirator politik, termasuk beberapa bekas perdana menteri tidak dapat menjalankan kerja jahat mereka.
Dan politik Malaysia tidak akan menjadi sejijik ini. Tetapi malangnya, nama-nama akan terus muncul memfitnah dan memfitnah dan habuan demi habuan akan disodorkan oleh tuan-tuan politik.
Secara moral, kita dalam terjerumus ke lembah yang kotor dan berlumpur
No comments:
Post a Comment