November 15, 2022

 PASTIKAN PH MENANG

 

Dalam sekian ramai orang tidak berparti yang saya temui dan berbual-bual dengan mereka, hampir kesemuanya tidak ragu-ragu mengatakan PH sedang berada di hadapan untuk memenangi PRU15 akan datang berbanding pesaingnya yang lain.

Daripada peniaga tepi jalan, orang biasa yang kebetulan ditemui di kedai makan, cafe dan sebagainya, pengusaha kedai, peniaga bukan Melayu, ahli perniagaan kaya, pengunjung kelab dan kaki golf yang sentiasa mengintai peluang perniagaan, mereka hampir senada meyakini bahawa kini PH paling hampir untuk menguasai Putrajaya.

Faktor utamanya tentulah kerana Anwar Ibrahim dilihat lebih mampu dan memiliki kelebihan untuk mentadbir negara selepas ini.

Begitu pun, mereka masih sangsi sama ada PH mampu melepasi majoriti paling minima untuk membentuk kerajaan iaitu 112 kerusi Parlimen. Keyakinan banyak pihak setakat ini ialah PH hanya mampu beroleh kemenangan antara 85 hingga 90 kerusi Parlimen saja, walaupun sedang mendahului persaingan.Se lebihnya dan untuk mencukupkan 112 kerusi, PH tetap dilihat perlu bergabung dengan parti-parti lain untuk membentuk kerajaan.

Meskipun dengan berbekalkan 85 hingga 90 kerusi itu bererti PH sudah mempunyai kelebihan dan menarik parti-parti daripada Sabah dan Sarawak adalah langkah paling munasabah untuk membentuk kerajaan, tetapi tidak semua melihat perkara itu sebagai mudah. Ia terutamanya kerana GPS di Sarawak begitu keras menolak DAP sejak dulu lagi dan tidak ternampak sedia untuk berubah.

Dengan yang demikian, mereka melihat PH mungkin perlu bergabung dengan parti-parti daripada Semenanjung terlebih dahulu sebelum perlu memulakan inisiatif bekerjasama dengan GPS di Sarawak dan GRS di Sabah.

Dalam hal ini, kebimbangan paling ketara dalam kepala ramai orang ialah PH akan bergabung dengan UMNO dan BN yang mana parti itu di mata umum terpahat kukuh dengan imej rasuah dan menyonglap duit rakyat. Lebih-lebih lagi, walaupun sudah beberapa kali dinafikan oleh PH dan juga BN, termasuk oleh Anwar sendiri, PN dan GTA begitu gemar serta berulang-ulang memainkan isu tersebut.

Tun Mahathir Mohamad malah mendakwa, jika kerjasama itu terbentuk dengan Anwar menjadi Perdana Menteri, Najib Razak akan dibebaskan dari penjara dan kes mahkamah Zahid Hamidi pula akan digugurkan. Tujuan GTA memberi gambaran menakutkan itu tidak lain ialah agar rakyat menolak PH dan BN, sebaliknya mengalihkan undi kepada mereka.

Di sisi rakyat, sementara penafian telah berulang kali dilakukan, masih ramai lagi yang terus bertanya tentang kemungkinan PH bekerjasama dengan UMNO dan BN untuk membentuk kerajaan.

Secara umumnya, walaupun PH sedang mendahului di hadapan dan rakyat juga secara majoritinya dilihat sedia memberi undi kepada gabungan itu untuk melihat Anwar menjadi Perdana Menteri, kebimbangan terhadap kemungkinan bekerjasama dengan UMNO dan BN itu adalah halangan yang mungkin menipiskan lagi harapan itu daripada menjadi kenyataan. Secara mudahnya, mereka mahu PH jadi kerajaan tapi tak mahu ada UMNO dan BN sekali di dalam kerajaan yang bakal dibentuk nanti.

Habis, apa pilihan yang harus dilakukan?

Takkan nak disokong PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin yang gagal sebagai Perdana Menteri sebelum ini dan penuh dengan pengkhianat di dalamnya sebagai kerajaan semula?

Takkan juga nak diberi undi kepada GTA pimpinan Tun Mahathir yang sejarah masa lalunya sebagai Perdana Menteri amat sukar dipercayai, bahkan suka pula mungkir janji?

Kadangkala pening juga dibuatnya.

Mengatasi hal ini, hanya satu pilihan yang ada – pengundi mesti sepakat dan bersatu hati memberi kemenangan yang mutlak iaitu melebihi 112 kerusi Parlimen kepada PH.

Apabila sudah memiliki 112 kerusi atau lagi baik jika lebih sehingga 120 kerusi, dengan sendirinya tiada keperluan lagi untuk PH bekerjasama dengan UMNO, BN atau sesiapa saja bagi membentuk kerajaan.

Dalam pada itu, apa yang paling buruk dan menakutkan sekali jika PH tidak diberi kemenangan sehingga 112 kerusi ialah ia juga memungkinkan kerajaan campuran PN dan BN sebagaimana yang ada sekarang akan terwujud semula.

Akhirnya, mengadakan PRU dengan kos lebih RM1 bilion hanyalah sia-sia dan membazir saja – wal hasil balik asal.

Untuk itu, rakyat mesti bangun dengan semangat serta azam untuk perubahan dan sisa-sisa kegagalan PN serta BN sebelum ini tidak seharusnya dibenarkan menjelma semula dalam kerajaan baharu nanti.

Ayuh rakyat Malaysia…buktikan kita boleh!

 

No comments:

Post a Comment