MELURUSKAN KEMBALI PERJUANGAN REFORMASI
Apabila
Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022 ia
bermakna perjuangan reformasi kini memasuki tahaf yang kedua.
Dari fasa di luar kerajaan – menuntut
perubahan atas jalan raya dan di blok pembangkang di dalam Parlimen, sekarang
perjuangan reformasi berada di tengah-tengah kota pentadbiran di Putrajaya.
Hari ini, perjuangan reformasi berada
di tahaf perlaksanaan.
Institusi yang penting sekarang ialah
Perkhidmatan Awam yang diterajui oleh pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar
Ibrahim. Perkhidmatan Awam ini adalah teras kepada Badan Eksekutif yang
bertanggungjawab melaksanakan segala dasar-dasar reformasi Anwar Ibrahim yang
kini diberi jenama baru Malaysia Madani.
Menentang rasuah adalah agenda utama
pentadbiran Anwar Ibrahim. Menyelamatkan wang negara, mencegah ketirisan dan
langkah-langkah berjimat dalam pentadbiran kerajaan adalah contoh-contoh
pengumuman positif yang disambut baik oleh rakyat. Termasuklah menentang
kronisme dan segala bentuk nepotisme.
Rakyat percaya kepada integriti Anwar
Ibrahim. Rakyat menutup sebelah mata apabila Anwar melantik Ahmad Zahid Hamidi
sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Rakyat memberi tafsiran mereka
sendiri bahawa Anwar Ibrahim dalam keadaan tiada pilihan. Rakyat memaafkan.
Rakyat sayang pada Anwar. Rakyat faham dan akur, kecuali pihak pembangkang dan
pengkritik termasuk si penulis ini.
Rakyat mahu Anwar Ibrahim berjaya
sebagai Perdana Menteri. Rakyat mahu Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim
ini stabil dan tidak tumbang.
Rakyat ingin beri peluang kepada
Anwar. Rakyat menutup sebelah mata lagi apabila Anwar melantik dirinya sebagai
Menteri Kewangan. Rakyat bersangka baik kepada Anwar. Rakyat amat percaya
kepada tokoh reformasi ini.
Kesangsian tentang bahayanya jawatan
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipegang oleh orang yang sama, semakin
berkurangan kedengaran apabila Anwar mengambil beberapa langkah meyakinkan
untuk menjaga kewangan dan ekonomi negara.
Tetapi apabila Anwar melantik anaknya
sendiri menjadi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepadanya sebagai Perdana
Menteri, maka banyak pihak yang telah mengangkat bendera merah tanda bahaya.
Anwar Ibrahim sebagai peribadi tiada
masalah sebenarnya. Sikap amanah dan intergritinya dalam soal kewangan dan
ekonomi adalah terpuji.
Pernah menjadi Menteri Kewangan yang
terbaik. Dia tidak pernah terkait dengan isu rasuah, pecah amanah jenayah
ataupun pengubahan wang haram.
Tetapi yang kita bicarakan di sini
bukan soal peribadi tetapi ialah soal sistem tatakelola pentadbiran atau sering
disebut “good governance”. Malaysia menuntut sistem pentadbiran yang telus dan
berintegriti.
Sebenarnya, ini adalah intipati perjuangan
reformasi pentadbiran yang diperjuangkan oleh Anwar Ibrahim berserta ratusan
ribu penyokongnya di seluruh negara selama ini.
Benarlah ini satu cabaran. Perjuangan
reformasi yang berliku-liku dan kadang-kadang berlengkang-lengkok selama hampir
suku abad ini yang dipimpin oleh Perdana Menteri ke-10 kita ini sudah sampai
masanya untuk diluruskan kembali.
Gading mana yang tak retak. Bumi mana
yang tidak ditimpa hujan. Begitu juga, pemimpin mana yang tidak berbuat silap,
sama ada kecil ataupun besar.
No comments:
Post a Comment