ROYALTI PETROLEUM
Serangan ditujukan kepada Kerajaan Perpaduan
kononnya menyekat royalti petroleum di negeri Melayu khususnya Kelantan dan
Terengganu dalam Belanjawan 2023 sangat tidak tepat.
Bagi Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi
Komuniti (J-KOM), Dr Mohammad Agus Yusoff, serangan tersebut sengaja
memesongkan pemahaman rakyat daripada fakta yang sebenar.
Katanya sepanjang tuntutan royalti petroleum
dari Kelantan ke atas Kerajaan Persekutuan, termasuk saman di mahkamah, istilah
royalti masih belum berjaya dikenakan secara rasmi merujuk kepada 'hasil minyak
di kedua dua negeri'.
Menurut Agus lagi, bagi kes Kelantan, pada
2019 semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerajaan negeri telah
menarik balik saman mahkamah setelah kerajaan pusat membayar Kelantan RM400
juta dalam apa yang dikenali sebagai bayaran "sekali sahaja".
Bagaimanapun katanya, ketika Perikatan
Nasional (PN) memerintah Menteri Kewangan gabungan itu Tengku Zafrul Tengku Abdul
Aziz sendiri menegaskan di Dewan Rakyat bahawa Petronas tidak akan membayar
royalti kepada mana-mana negeri di Semenanjung kerana kedudukan medan
pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri
masing-masing.
"Zafrul membuat kenyataan ini berdasarkan
kepada peruntukan Akta Laut Wilayah 2012 yang menetapkan negeri hanya boleh
menuntut hak sehingga tiga batu nautika dari pesisir pantai sahaja.
"Semasa kerajaan PN juga, Menteri
Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak membawa Akta Wilayah Laut 2012
ke Parlimen untuk dimansuhkan dan tidak juga membayar royalti kepada Kelantan
dan Terengganu, hanya sekadar wang ehsan sahaja.
"Menariknya, Kerajaan Negeri tidak bising
dan tidak juga menimbulkan soal mendiskriminasikan orang Melayu, kerana pada
waktu ini mereka berada dalam kerajaan Keluarga Malaysia," katanya dalam
kenyataan hari ini.
Tambah Dr Agus, menjadi masalah apabila
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan
hal tersebut di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2023, bahawa Kelantan dan
Terengganu tidak layak menerima royalti tunai.
Kenyataan itu digunakan pihak pembangkang
untuk menuduh Kerajaan Perpaduan menganiaya orang Melayu, sedangkan keputusan
berkenaan adalah selari dengan amalan pada era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin
Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi PM.
Hal itu, katanya, menimbulkan persoalan seluas
manakah hak perairan kerajaan negeri ke atas medan petroleum? Sejauh manakah
peruntukan Perlembagaan berkaitan hak negeri ke atas galian yang ditemui di
kawasan mereka? Salahkah tindakan kerajaan perpaduan menafikan hak negeri Kelantan
dan Terengganu ke atas royalti petroleum atau sejauh manakah penafian berkenaan
bertentangan dengan prinsip federalisme?
"Pertanyaan ini sukar dijawab kerana
pihak yang layak mengesahkan kedudukannya ialah mahkamah. Isunya ialah
mengapakah kerajaan negeri menarik balik samannya pada tahun 2019?
"Dengan latar ini, wajarkah pihak oposisi
menyatakan Kerajaan Perpaduan menafikan hak orang Melayu hanya kerana menolak
membayar royalti petroleum kepada dua negeri Melayu ini?
"Jawapannya tentulah tidak wajar kerana
tindakan Kerajaan Perpaduan tidak mencabul keluhuran Perlembagaan dan
kedaulatan undang-undang," katanya.
Justeru, tegas mantan profesor di UKM itu,
selagi tindakan Kerajaan Perpaduan mengikut lunas undang-undang maka tidak
bermakna Kerajaan Perpaduan menganiaya orang Melayu Kelantan dan Terengganu.
"Nasihat saya kepada pihak pembangkang
janganlah terus meniupkan sentimen perkauman untuk menentang sesuatu keputusan
kerajaan yang mereka tidak bersetuju kerana ini boleh mengancam keharmonian
hubungan kaum sesama kita.
"Dalam kes royalti petroleum, gunalah
saluran undang-undang dan lain-lain tindakan diplomasi supaya kita dapat
sama-sama mengangkat Malaysia Madani bagi mewujudkan negara yang stabil, makmur
dan bahagia," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment