PM PELAWA KOMUNITI PERNIAGAAN ARAB SAUDI MELABUR DI MALAYSIA
Anwar menyampaikan ucaptama pada Program Bersama Komuniti
Perniagaan Bank Pembangunan Islam, pada Khamis.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa komuniti
perniagaan di Arab Saudi untuk lebih banyak melabur di Malaysia berikutan
Malaysia mempunyai kerajaan yang stabil dengan dasar yang jelas.
Berucap di hadapan ratusan ahli perniagaan Arab Saudi dan Malaysia di sini,
beliau berkata, kerajaan baharu di bawah kepimpinannya komited untuk memudahkan
urusan perniagaan di negara ini dengan melakukan pembaharuan yang menyokong
perniagaan dan agenda MADANI.
"Sehubungan itu, saya meminta sebahagian daripada komuniti perniagaan
untuk menghantar delegasi selepas Ramadan dan mengadakan pertemuan dengan rakan
perniagaan anda. "Kami sudah tentu menggalakkan anda untuk melabur dalam
bidang seperti yang saya nyatakan sebagai keutamaan kami iaitu teknologi
digital, sekuriti makanan, dan sudah tentu, infrastruktur di negara ini dan
kami mengharapkan penglibatan aktif anda di Malaysia," katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucap tama pada majlis perjumpaan dengan komuniti
perniagaan Arab Saudi dan Malaysia di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam (IsDB)
di sini pada Jumaat.
Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital
Fahmi Fadzil tiba di Lapangan Terbang King Abdulaziz pada jam 6.40 pagi waktu
tempatan (11.40 pagi waktu Malaysia) semalam (Rabu) bagi memulakan lawatan
rasmi tiga hari ke negara itu.
Anwar berkata, kedua-dua negara menjalinkan perhubungan timbal balik yang baik
dari segi pelaburan. "Kami telah mempunyai beberapa bentuk pelaburan dalam
infrastruktur (dari Arab Saudi di Malaysia)... dan mengagumkan (Malaysia) yang
mempunyai ekonomi kecil berbanding Arab Saudi, mempunyai pelaburan di Arab
Saudi. Saya menggesa anda untuk memberikan segala sokongan yang diperlukan
berikutan langkah ini akan memberikan banyak perbezaan kepada dunia Islam,
justeru itu, menggalakkan ekonomi yang lebih rancak," katanya.
Beliau turut berkongsi dengan para hadirin berkenaan potensi
Malaysia dan daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan sehingga menarik minat
Amazon Web Services (AWS) baru-baru ini untuk membuat keputusan melabur
sebanyak RM25.5 bilion di negara ini.
Anwar yang juga gabenor IsDB bagi Malaysia berkata, usaha perlu dilaksanakan
untuk memastikan pusat bank itu di Kuala Lumpur menjadi benar-benar signifikan.
"Gunakan pusat ini untuk semua bidang termasuk penyelidikan halal, malah
vaksin, berikan tumpuan kepada cabaran baharu, sains, teknologi, inovasi,
sekuriti makanan, pendigitalan, dan kecerdasan buatan. Pusat Kecemerlangan IsDB
Kuala Lumpur mesti bersedia untuk meneroka bidang dan disiplin baharu ini yang boleh
memanfaatkan umat," katanya.
No comments:
Post a Comment